Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Semua 900 jemaah haji S'pura selamat tiba di Makkah; urusan ketibaan berjalan licin

Kesemua 900 jemaah haji Singapura tahun ini sudah selamat berada di Makkah atau Shisha untuk persiapan menjelang bermulanya ibadah haji pada Jumaat (8 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
MAKKAH: Kesemua 900 jemaah haji Singapura tahun ini sudah selamat berada di Makkah atau Shisha untuk persiapan menjelang bermulanya ibadah haji pada Jumaat (8 Jul).

Rombongan terakhir jemaah dari Singapura, termasuk Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Islam Masagos Zulkifli, tiba di Jeddah sekitar pukul 7.30 pagi Isnin (4 Jul) waktu Singapura.

Hari ini merupakan hari terakhir bagi semua jemaah haji dari merata dunia untuk tiba di Jeddah, sebelum bermulanya ibadah wukuf di Arafah pada Jumaat.

Semua urusan ketibaan para jemaah di Lapangan Terbang Raja Abdul Aziz di Jeddah berjalan lancar dengan para jemaah tidak perlu menunggu lama untuk mengambil bagasi dan menaiki bas ke tempat penginapan masing-masing.

Semua pemeriksaan rekod vaksin COVID-19 dan ujian PCR jemaah sudahpun dilakukan di Singapura sebelum keberangkatan ke Jeddah pada Ahad.

Maka itu, semua rekod perubatan para jemaah haji sudah disertakan dan dikemas kini apabila mereka tiba di kaunter imigresen Saudi.

Ini bermakna urusan imigresen para jemaah haji dapat diselesaikan dengan pantas dan tanpa sebarang masalah.

Malah, ini juga kali pertama semua urusan permohonan visa haji dilakukan secara online tanpa perlu ke kedutaan Saudi di Singapura. Matlamatnya, untuk melicinkan lagi proses visa haji.

Untuk dua hingga tiga hari mendatang, para jemaah haji Singapura akan membuat persiapan terakhir seperti mengulang kaji manasik haji menjelang bermulanya kemuncak haji Jumaat ini.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan