Skip to main content

Singapura

Semua 3 pelajar Sekolah Menengah Monfort dalam video viral 'kongsi tanggungjawab; akan terima 'hukuman sesuai'

Anggaran Waktu Membaca:
Semua 3 pelajar Sekolah Menengah Monfort dalam video viral 'kongsi tanggungjawab; akan terima 'hukuman sesuai'

Petikan skrin video pelajar Sekolah Menengah Montford menendang seorang rakan sekolah dan menyebabkannya terjatuh. (Gambar: Facebook/Jonden Chan)

Diterbitkan : 03 Mar 2025 09:15PM Dikemas Kini : 03 Mar 2025 10:19PM
SINGAPURA: Ketiga-tiga pelajar Sekolah Menengah Montfort yang terlibat dalam video yang tular pada Februari berkongsi tanggungjawab dalam insiden tersebut, dan akan menerima "hukuman yang sesuai", menurut Kementerian Pendidikan (MOE) pada Isnin (3 Mac).

Dalam video yang disiarkan di Facebook pada 22 Februari lalu, sekumpulan pelajar Montfort kelihatan mendekati budak lelaki itu dari belakang.

Seorang pelajar menyebabkan remaja itu tersungkur dan menolaknya hingga jatuh, sementara yang lain menendangnya dua kali. Pelajar ketiga kemudian berdiri dan berlalu pergi, sebelum seorang pelajar datang dari belakang dan menjatuhkannya lagi.

Video itu dikongsi di Facebook lebih 10,000 kali. Ia tidak lagi tersedia pada pukul 11.00 malam pada 23 Februari.

Pelajar Menengah satu yang dilihat ditolak oleh pelajar lain dalam video itu bergaduh dengan dua rakan sekelas sebelumnya, menurut MOE dalam kenyataannya pada Isnin.

Seorang guru menghentikan pergaduhan di dalam kelas. Selepas waktu persekolahan, dua rakan sekelas itu mengikuti pelajar tersebut ke tangga dan kantin, di mana pergaduhan itu berterusan, menurut kenyataan itu.

"Oleh kerana semua pihak berkongsi tanggungjawab atas kejadian itu, tindakan disiplin telah diambil untuk membantu mereka memahami betapa serius tindakan mereka dan akibatnya," menurut Kementerian Pendidikan.

Tiga pelajar Menengah 1 yang terlibat akan menerima "hukuman yang sesuai", termasuk sebatan, penahanan dan penggantungan sekolah, menurut MOE dalam kenyataannya.

Ketiga-tiga mereka juga sudah diberi kaunseling, dan sekolah sudahpun melibatkan ibu bapa mereka mengenai tindakan disiplin tersebut.

MOE juga mengesahkan bahawa ia sedar laporan polis sudah dibuat dan siasatan sedang dijalankan.

"Sebarang bentuk tingkah laku yang menyebabkan kesakitan tidak boleh diterima dan tidak ada tempat di sekolah-sekolah kita," menurut Kementerian Pendidikan dalam kenyataannya.

"Apabila terdapat laporan tuduhan buli dan pergaduhan, kakitangan sekolah kami berusaha untuk memahami punca tingkah laku tersebut, membantu pelajar mempelajari akibat tindakan dan pilihan mereka dan mengambil tanggungjawab agar tidak mengulangi kesilapan mereka."

Selepas video itu tersebar di internet, seorang pengguna Facebook bernama Joleen Wee, yang mengatakan dia adalah ibu kepada budak lelaki yang ditolak dalam video itu, memuat naik satu catatan pada 23 Februari mengenai "pengalaman traumatik" anaknya.

"Tindak balas sekolah dan MOE menimbulkan kebimbangan tentang kegagalan sekolah untuk melindungi pelajarnya," tulisnya dalam catatan itu.

Beliau berkata anaknya mengalami fobia untuk pergi ke sekolah dan bergaul dengan rakan-rakan selepas kejadian itu.

"Melalui catatan ini, saya ingin menjelaskan bahawa anak saya bukan sekadar dibuli! Dia telah diserang!" tulisnya, menambah bahawa dia telah membuat laporan polis.

Dalam kenyataannya pada Isnin, MOE menggesa orang ramai untuk memberi masa dan ruang kepada sekolah dan guru untuk menyiasat kejadian sedemikian dan bekerjasama dengan pelajar dan ibu bapa mereka untuk menanganinya.

"Kami sedar bahawa mungkin ada pihak luar yang cuba mempengaruhi apabila kejadian ini berlaku, dan kami berharap kita dapat bekerjasama untuk melindungi sekolah sebagai ruang yang selamat untuk kanak-kanak belajar dan membesar," menurut kenyataan itu.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita