Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sempadan baharu kawasan undi dapat sorotan utama sedang SG siap sedia bagi GE2025

Anggaran Waktu Membaca:
Sempadan baharu kawasan undi dapat sorotan utama sedang SG siap sedia bagi GE2025

Gambar fail pusat mengundi di Singapura. (Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 22 Jan 2025 11:36PM Dikemas Kini : 16 Feb 2025 11:28PM
SINGAPURA: Sempadan-sempadan baharu kawasan undi mendapat sorotan utama sedang Singapura melakukan persiapan untuk mengadakan pilihan raya umum menjelang lewat tahun ini.

Dengan perubahan penduduk yang dipacu pembangunan perumahan baharu, beberapa kawasan undi dijangka menghadapi semakan ke atas sempadannya.

Landskap pilihan raya di Singapura terus-menerus bertukar, dengan berubahnya bilangan pengundi dan kawasan undi.

Kini, terdapat lebih 2.7 juta pengundi di serata negara.

Mereka terbahagi kepada 17 Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) dan 14 Kawasan Undi Perseorangan (SMC).

Bagi memastikan perwakilan yang adil, EBRC menetapkan julat tertentu jumlah pengundi bagi setiap Anggota Parlimen (AP).

Sasarannya, antara 20,000 hingga 38,000 pengundi bagi setiap AP.

Satu kawasan undi yang menyaksikan perubahan ketara ialah Hong Kah North, sebuah SMC.

Bahkan, ia menjadi satu-satunya kawasan undi yang mempunyai jumlah pengundi melebihi had yang ditetapkan.

Dari 2020 hingga 2024, Hong Kah North menyaksikan peningkatan ketara hampir 65.5 peratus pada jumlah pengundinya.

Lonjakan ini terutamanya disebabkan oleh pembangunan pesat estet Tengah, di mana beribu-ribu rumah baharu dibina, membawa bersama ramai penduduk baharu.

Oleh sebab jumlah pengundi di sini melebihi had yang ditetapkan, kemungkinan besar Hong Kah North akan melalui perubahan pada sempadan kawasan undinya.

Ia mungkin bercantum dengan kawasan-kawasan undi berhampiran atau sempadannya disusun semula.

Satu lagi kawasan undi yang menyaksikan perubahan ketara ialah Potong Pasir, yang sekian lama mempunyai sejarah politik unik.

Sejak beberapa tahun lalu, jumlah pengundi di kawasan ini naik mendadak.

Dalam hanya tempoh empat tahun, jumlah pengundi di daerah Potong Pasir naik lebih 68 peratus.

Lonjakan ini dikaitkan dengan bertambahnya penduduk yang berpindah ke estet baharu, Bidadari.

Dengan pembangunan pesat estet tersebut, jumlah pengundi di Potong Pasir bakal terus meningkat.

Ini mungkin mendorong perubahan lanjut ke atas sempadan kawasan undinya pada masa depan.

Beralih ke GRC - Pasir Ris-Punggol ialah satu lagi kawasan yang menyaksikan perubahan besar.

Ia kini mempunyai lebih 180,000 pengundi, menandakan peningkatan ketara sebanyak 11 peratus sejak 2020.

Ini membawa GRC yang dianggotai lima AP itu semakin hampir kepada had teratas sebanyak 190,000 pengundi, yang ditetapkan EBRC bagi jenis kawasan undi sedemikian.

Dengan bertambahnya jumlah pengundi, menjadi semakin penting untuk memastikan perwakilan yang benar-benar berkesan.

GRC Ang Mo Kio juga berdepan dengan isu serupa.

Kawasan undi yang diterajui lima AP ini semakin menghampiri had teratas pengundi, dengan jumlah pengundinya sekarang hampir 189,000 orang.

Jumlah penduduk yang meningkat di kawasan seperti Fernvale menyumbang kepada lonjakan tersebut.

Seperti GRC Pasir Ris-Punggol, Ang Mo Kio juga mungkin menyaksikan perubahan pada sempadan kawasan undinya.

Sempadan beberapa GRC sudahpun dikecilkan pada pilihan raya umum lalu, dan trend ini mungkin berterusan.

Kini timbul persoalan - Mungkinkah berlaku perubahan sempadan pada setiap kawasan undi dalam pilihan raya yang bakal menjelang?

Kemungkinan, tidak semua akan berubah.

Pada pilihan raya umum lalu, EBRC memutuskan untuk tidak mengubah sempadan bagi 12 kawasan undi.

"Saya rasa kakitangan awam dalam EBRC juga tahu bahawa sebarang perubahan ketara dari segi sempadan kawasan undi akan turut menjejas pengurusan majlis bandaran, yang menyusul selepas pilihan raya umum. Maka itu, jika ada sebarang perubahan besar, ia juga akan menjejas semua keadaan di lapangan.

"Lantaran itu, menyedari akan kesan perubahan ini, saya rasa anggota EBRC mungkin akan membuat langkah lebih berhati-hati dan mereka mungkin mengubah satu atau dua SMC, serta satu atau dua GRC, tetapi kita tidak menjangkakan sebarang perubahan menyeluruh," kata Penolong Profesor, Jabatan Sains Politik, Universiti Nasional Singapura, Dr Elvin Ong.

Namun, para pengamat meramalkan lebih banyak SMC mungkin diperkenalkan di samping saiz GRC yang lebih kecil.

Ini bermakna jumlah kerusi Parlimen yang dipertandingkan dalam pilihan raya akan datang mungkin bertambah dari 93 sekarang kepada 97 atau 98 kerusi, bergantung kepada bagaimana sempadan kawasan undi disusun semula.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan