Skip to main content

Singapura

Seminar Pathways MENDAKI: Peranan Karyawan dalam membentuk kejayaan belia

Kira-kira 350 belia dan ibu bapa hadir ke acara 'Pathways to Success: Shaping YOUth's Future' anjuran MENDAKI untuk meneroka laluan pasca-sekolah dan sektor-sektor yang berkembang di Pusat Konvensyen Suntec pada Sabtu (22 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Seminar Pathways MENDAKI: Peranan Karyawan dalam membentuk kejayaan belia

Sekitar 350 belia dan ibu bapa hadir ke acara 'Pathways to Success: Shaping YOUth's Future' anjuran MENDAKI. (Gambar: BERITA Mediacorp)

SINGAPURA: Kira-kira 350 belia dan ibu bapa hadir ke acara 'Pathways to Success: Shaping YOUth's Future' anjuran MENDAKI untuk meneroka laluan pasca-sekolah dan sektor-sektor yang berkembang di Pusat Konvensyen Suntec pada Sabtu (22 Feb).

Acara sulung pada November tahun lalu menyaksikan kehadiran 250 ibu bapa dan anak-anak mereka.

Masing-masing mereka memperolehi pandangan berharga untuk mengemudi landskap pendidikan yang berkembang dalam pendidikan prasekolah dan sekolah rendah.

Namun seminar laluan-laluan kejayaan kali ini beralih tumpuan kepada menyediakan golongan belia untuk laluan pasca menengah pula.

TUMPUAN BANTUAN BERALIH KEPADA GOLONGAN BELIA

Dalam ucapannya,, Naib Pengerusi MENDAKI, Encik Zaqy Mohamad, menegaskan peranan penting yang dapat dimainkan golongan karyawan dalam mempersiapkan belia untuk menghadapi cabaran pendidikan pasca-menengah.

"Sesungguhnya, ini penting kerana masyarakat Melayu mempunyai jumlah golongan belia yang besar iaitu 31.9 peratus berumur 15 hingga 34 tahun, dan ini memastikan kejayaan masa depan anda kekal menjadi keutamaan utama kita.

"Para karyawan kami memainkan peranan penting dalam membantu belia membina keyakinan dan mengejar peluang dalam sektor pertumbuhan di Singapura. Selain daripada bimbingan, abang dan kakak berpengalaman kami turut menganjurkan lawatan pembelajaran serta berkongsi pengalaman mereka sebagai penceramah dalam sesi libat urus kami," jelasnya.

Encik Zaqy berkata MENDAKI terus komited untuk membantu belia meraih kejayaan.

"MENDAKI kekal komited untuk membantu belia kita berkembang maju dengan menyediakan pelbagai peluang untuk mencapai matlamat dan aspirasi masa depan mereka," kata Encik Zaqy.

Beliau juga berkongsi tentang Emery Nabil Aydan, seorang pelajar tahun kedua Kejuruteraan Komputer di Politeknik Singapura yang mendapat manfaat daripada bimbingan Nur Hakiima Zainol Abidin, seorang ahli Rangkaian Profesional MENDAKI bagi Teknologi.

Timbalan CEO MENDAKI, Dr Noraslinda berkata para karyawan daripada Rangkaian Karyawan MENDAKI membimbing dan memberi inspirasi kepada belia untuk menceburi sektor pertumbuhan.

Tahun lalu, Rangkaian Karyawan MENDAKI bagi Perbankan dan Kewangan telah menjalankan Program Literasi Kewangan selama dua hari untuk lebih 80 pelajar, memperkukuh pengetahuan kewangan mereka dan menyediakan peluang untuk membina rangkaian dalam industri tersebut.

Rangkaian Karyawan MENDAKI bagi Penerbangan, Kejuruteraan dan Teknologi juga telah menganjurkan rumah terbuka untuk belia mengenai laluan kerjaya yang berpotensi.

"Kami ingin persiapkan belia untuk laluan posmenengah. Ibu bapa juga boleh mendapatkan tip bagaimana mereka boleh menyokong anak-anak mereka dalam pembelajaran.

"Karyawan kami daripada MENDAKI Professional Networks juga berada di sini untuk membimbing dan memberi inspirasi kepada belia kita untuk menceburi sektor pertumbuhan. Kami harap dengan acara ini, kita dapat memperkasa masyarakat untuk melakukan perancangan awal, mengenal pasti potensi mereka dan juga meningkatkan mobiliti sosial melalui pendidikan dan pembelajaran sepanjang hayat," kata Dr Noraslinda.

Di antara karyawan dari sektor teknologi yang terlibat ialah Pengarah Jabatan Sumber Manusia, Khairilanwar Baharudin, 38 tahun.

"Saya rasa acara seperti hari ini memberi banyak faedah kepada belia kita kerana mereka boleh berinteraksi dengan karyawan daripada pelbagai sektor dan membuat pilihan yang lebih bijak secara langsung," ujar beliau.

Di antara belia yang memanfaatkan program semalam ialah pelajar berusia 16 tahun dari Sekolah Menengah New Town, Nur Myiesha Zulkarnain.

Beliau berkongsi, "Saya berpeluang berjumpa karyawan daripada sektor-sektor yang boleh saya ceburi setelah tamat sekolah menengah."

Ibu Myiesha, Ciik Marlinda Mohamed Idris, 50 tahun, mengakui, "Bagi saya, acara ini baik untuk ibu bapa kerana banyak yang kita pelajari dari segi berbicara dengan anak-anak dan bagaimana untuk memahami perkara-perkara yang diterapkan dalam pendidikan anak-anak kita sekarang."
Sumber : BERITA Mediacorp/RL/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita