Seminar online PPIS galak kongsi pengalaman, dalami isu keluarga titipan dalam konteks Islam
Lebih 50 pasangan menghadiri seminar online anjuran PPIS Oasis dan PERGAS bertajuk 'Islam dan Titipan: Webinar 2020' hari ini (18 Jul), bagi mendalami pengetahuan mereka mengenai konsep keluarga titipan menurut pandangan Islam.
SINGAPURA: Lebih 50 pasangan menghadiri seminar online anjuran PPIS Oasis dan PERGAS bertajuk 'Islam dan Titipan: Webinar 2020' hari ini (18 Jul), bagi mendalami pengetahuan mereka mengenai konsep keluarga titipan menurut pandangan Islam.
Perbincangan maya selama tiga jam itu juga diharap memberi ruang bagi keluarga titipan berkongsi pengalaman mereka, sekali gus menggalak lebih ramai anggota masyarakat tampil membantu kanak-kanak yang memerlukan penjagaan titipan.
Inilah yang ingin diraih menerusi acara online tersebut yang pertama kali dianjurkan kedua-dua pertubuhan itu.

ANAK-ANAK DAPAT MANFAAT DARI KELUARGA TITIPAN PENYAYANG
Disertai Setiausaha Parlimen Kanan MSF Dr Faishal Ibrahim, beliau menegaskan adalah penting masyarakat bersatu dalam membantu mereka yang memerlukan dalam masa sukar ini.
Ini termasuk, kata beliau, kanak-kanak yang dapat meraih manfaat apabila dijaga dalam keluarga titipan penyayang bagi memberikan setiap kanak-kanak permulaan baik dalam kehidupan.
Meskipun akur menjadi ibu bapa titipan tidak mudah, Presiden PPIS Rahayu Mohamad berkongsi masyarakat mempamerkan semangat menggalakkan, dengan lebih 80 ibu bapa titipan disokong sejauh ini.
"Secara purata dari sudut semangat daripada masyarakat, ramai sebenarnya yang tampil ke hadapan untuk menjadi ibu bapa titipan, tetapi sama ada mereka memenuhi kriteria yang digariskan MSF itu satu perkara yang lain, secara amnya ramai yang ke depan untuk menunjukkan hasrat mereka untuk menjadi ibu bapa titipan," jelasnya.
DUA KEPRIHATINAN UTAMA
Beberapa keprihatinan wujud dalam usaha menjadi keluarga titipan, kata Ustaz Mohammad Yusri Yubhi Md Yusoff.
"Terutamanya bila anak tersebut dah meningkat dewasa, sudah mencapai usia baligh di mana isu dari sudut aurat, yang mana ada panduan daripada pejabat Mufti dalam hal ini mengenai aurat antara ibu bapa titipan dengan anak titipan mereka, di mana antaranya ada keringanan dari sudut aurat antara mereka dengan anak-anak mereka sendiri," kata Ustaz Yusri.
Malah satu lagi keprihatinan adalah perlunya mengembalikan anak titipan itu kepada ibu bapa kandung walaupun sudah dipupuk dengan kasih sayang.
Seorang ibu titipan berusia 39 tahun, Cik Siti Jamilah Hamzah berkongsi: "Mereka ini hanya pinjaman untuk kita, untuk kita laksanakan tanggungjawab kita sebagai ibu bapa walaupun ibu bapa titipan, jadi berikan yang terbaik, anggap ini sebagai amanah dari Allah.

"Lebih banyak kita berikan yang terbaik bila dia kanak-kanak, jadi dia boleh jadi dewasa yang lebih baik dan menyumbang kepada masyarakat."
Cik Siti Jamilah yang mempunyai tiga orang anak kini menjaga dua anak titipan berusia bawah lima tahun.
Acara online itu turut disertai Ustaz Irwan Hadi Mohd Shuhaimy dan Ustazah Nadia Hanim Abdul Rahman.

Selaku agensi titipan ketiga dilantik Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga, PPIS berharap penjagaan titipan dalam masyarakat dapat terus diperluas demi membantu membesarkan anak-anak dalam sekitaran yang stabil.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.