Skip to main content

Singapura

Sembawang bakal jadi tempat tinggal baharu bagi lebih 100 kuda dari Turf City

Lebih 100 ekor kuda dari tapak lama Turf City di Bukit Timah akan mendapat kediaman baharu di Sembawang tidak lama lagi.

Anggaran Waktu Membaca:
Sembawang bakal jadi tempat tinggal baharu bagi lebih 100 kuda dari Turf City

Menteri Kesihatan, Ong Ye Kung, berkongsi perancangan bagi perkembangan di Sembawang pada 23 Mac 2025. (Gambar: CNA)

Diterbitkan : 24 Mar 2025 10:32PM Dikemas Kini : 24 Mar 2025 10:33PM
SINGAPURA: Lebih 100 ekor kuda dari tapak lama Turf City di Bukit Timah akan mendapat kediaman baharu di Sembawang tidak lama lagi.

Kandang kuda sudahpun disiapkan untuk pemindahan tersebut yang dijadualkan pada pertengahan tahun ini, dedah Menteri Kesihatan Ong Ye Kung, yang merupakan Anggota Parlimen (AP) GRC Sembawang, pada Ahad (23 Mac).

Langkah itu adalah sebahagian daripada rancangan untuk menyegarkan semula kawasan itu, kata Encik Ong, yang menghadiri acara perasmian kawasan permainan air untuk kanak-kanak di hab sukan dan masyarakat bersepadu Bukit Canberra.

MENUNGGANG KUDA SEBAGAI, TERAPI

Tapak lama Turf City kini sedang dibangunkan semula untuk menjadi kawasan kediaman baharu dengan sekitar 15,000 hingga 20,000 perumahan awam dan privet, yang akan dilancarkan secara progresif dalam tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang.

Turf City sebelum ini menjadi tapak lumba kuda kedua Singapura dari 1933 hingga 1999 dan tempat lumba kuda yang popular, sehingga Singapore Turf Club berpindah ke Kranji.

Tapak itu sebahagian besarnya telah dikhaskan untuk kegunaan kediaman sejak 1998, tetapi telah dipajak untuk kegunaan gaya hidup dan rekreasi sehingga akhir tahun 2023.

"Lebih 100 ekor kuda dari Turf City akan dipindahkan ke Sembawang pada pertengahan tahun ini. Jadi akan ada kegiatan menunggang kuda di Sembawang," kata Encik Ong.

"Ia juga akan digunakan sebagai satu bentuk terapi. Terapi kuda menggunakan kuda untuk membantu orang ramai meningkatkan kesihatan mental mereka, (yang) juga akan diperkenalkan di Sembawang," katanya.

SEKOLAH RENDAH BAHARU, PERPUSTAKAAN AWAM

Encik Ong berkata bahawa 20 banglo kolonial hitam putih di Sembawang juga akan digunakan semula.

Penguasa Tanah Singapura (SLA) baru-baru ini telah membuka tender bagi penginapan jangka pendek, tambahnya.

"Sesetengah rumah boleh digunakan untuk runcit, beberapa lagi untuk restoran, beberapa untuk chalet, yang anda boleh menginap selama seminggu atau lebih," katanya.

"Jadi ini adalah tempat di mana anda boleh bercuti. Anda boleh bercuti sejenak di Sembawang berhampiran pantai."

Semasa acara itu, Encik Ong juga mengumumkan rancangan untuk membantu keluarga muda di East Canberra.

Beliau berkata lagi 1,000 tempat prasekolah akan disediakan seawal 2027.

Tambahnya, Kementerian Pendidikan (MOE) telah menyokong cadangannya untuk membina sebuah lagi sekolah rendah di East Canberra.

"Saya berharap dalam masa yang tidak terlalu jauh, dalam masa terdekat, kita akan mendapat berita baik daripada MOE bahawa kita akan membina sebuah lagi sekolah rendah baharu," kata Encik Ong.

"Jika semuanya berjalan lancar, menjelang 2029, kita akan mempunyai sebuah lagi sekolah rendah."

Lebih banyak kemudahan untuk dinikmati penduduk sedang dirancangkan, seperti taman anjing pada separuh kedua tahun ini.

Terdapat juga sebuah lagi perpustakaan awam, selain di Sun Plaza, yang dijangka dibuka pada pertengahan 2026.

"Secara keseluruhannya, ini adalah tempat yang sangat istimewa," kata Encik Ong. "Dan apabila semua ini bersatu, ia akan menjadikan Sembawang untuk semua orang."
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita