Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SemangatSG: Tenaga kerja yang berdedikasi, kemahiran tinggi kukuhkan S'pura sebagai hab perniagaan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Vakum robot Dyson 360 Heurist antara yang tercanggih pernah dihasilkan syarikat Dyson kerana mampu mengesan kotoran di sekelilingnya seluas 360 darjah.

Untuk itu ia memerlukan hampir separuh juta barisan kod perisian dan bakat tempatan, Encik Saiful Jumari adalah orangnya yang bertanggungjawab bagi menghasilkan kod-kod itu.

Jurutera sofwe tersebut dan pasukannya menghasilkan motor yang digunakan dalam mesin-mesin Dyson.

Lantaran itu, antara tanggungjawabnya adalah untuk membina ciri-ciri perisian yang baru agar robot itu dapat melakukan ciri-ciri dan kebolehan robotik terkini.

--

Menurut Encik Saiful: "Saya rasa amat memuaskan apabila kita dapat menghasilkan huraian-huraian sofwe bagi menyelesaikan masalah-masalah teknikal untuk kami membina ciri-ciri perisian yang baru yang lebih canggih untuk robot kami melakukan perkara yang tidak boleh dilakukan sebelum ini."

Bagi membolehkan syarikat Dyson kekal berdaya saing, ia memerlukan pekerja yang mampu berinovasi dan mencipta sesuatu yang unik dalam pasaran.

Tambah Encik Saiful: "Robot ini memang ada perisian tapi kita membina ciri-ciri yang baru bagi memenuhi permintaan pelanggan dan membersihkan rumah dengan cara-cara yang baru. Saya rasa ia adalah satu cara di mana saya boleh memberi kembali kepada masyarakat dengan menyumbang kepada syarikat ini melalui produk ini."

Kemahiran bakat tempatan seperti Encik Saiful adalah antara faktor yang memikat syarikat gergasi Dyson untuk melabur S$1.5 bilion di Singapura.

Ketua Robotiks Dyson, Encik Kashyap Chandrasekar berkata bahawa landskap robotik kini sedang berkembang pesat memandangkan ramai jurutera di Singapura yang meminati industri tersebut.

--

"Pada awalnya Dyson ke sini bagi pengilangan. Namun kami menyedari tentang bekalan bakat-bakat dan nilai yang ditekankan oleh Pemerintah dalam sumbangan yang para jurutera dan syarikat teknologi boleh sumbang," ujar Encik Kashyap Chandrasekar.

Lantaran itu, cabarannya kini adalah untuk memenuhi ekosistem tersebut iaitu bagi syarikat-syarikat seperti Dyson untuk bekerjasama dengan institusi pendidikan bagi melatih generasi jurutera yang seterusnya.

LEBIH 7,000 SYARIKAT MNC BERPANGKALAN DI S'PURA

Dyson kini menggajikan lebih 1,400 individu di Singapura, di mana 560 daripada mereka memegang peranan dalam bidang kejuruteraan dan kajian.

--

Sehubungan itu, kedatangan syarikat-syarikat itu ke Singapura menjana pelaburan bernilai S$11.8 bilion dalam aset tetap pada 2021.

Ia juga dijangka mewujudkan lebih 17,000 pekerjaan sepanjang lima tahun akan datang.

Pengeluaran bioperubatan pula menjadi antara sumber utama pelaburan pada tahun lalu, dengan memperolehi pelaburan sebanyak hampir S$5 bilion.

--

Kini terdapat lebih 500,000 syarikat yang berdaftar di Singapura. Malah, Singapura dinobatkan sebagai negara paling inovatif di Asia Tenggara. Maka itu, tidak hairan lah mengapa lebih 7,000 syarikat berbilang negara (MNC) menjadikan Singapura sebagai pangkalan serantau mereka. Ini termasuk syarikat GlaxoSmithKline (GSK) yang melabur lebih S$2.5 bilion kepada industri sains bioperubatan di sini.

GSK FIRMA JAGAAN KESIHATAN GLOBAL DI S'PURA

Syarikat GSK juga merupakan firma jagaan kesihatan global yang pertama untuk membuka pusat pengeluarannya di sini iaitu pada tahun 1973.

Singapura juga terpilih untuk menjadi lokasi pengilangan dan pembekalan utamanya di dunia.

--

"Hubungan yang baik antara syarikat-syarikat, kesatuan dan semua agensi pemerintah mengukuhkan asas untuk perniagaan-perniagaan maju. Penting sekali, ia adalah para individu; tenaga kerja yang berkemahiran. Itu yang membezakan," kata VP & Pengarah Tapak dan Ketua Projek Strategik, GSK Encik Lim Hock Heng.

Tanggapan tentang sikap pekerja itu lebih kukuh lagi apabila adanya kakitangan seperti Encik Rohaizad Yahya yang sudah berkhidmat selama 25 tahun dengan GSK.

"Pada saya yang betul-betul membanggakan ialah syarikat saya membuat ubat untuk pesakit dan mereka dapat menikmati ubat yang berkualiti, selamat dan dapat di hantar kepada pesakit secepat mungkin.

"Kita rasa gembira dapat memastikan loji kita dapat berjalan dengan lancar dan pengilangan ubatan kita dapat hantar kepada pesakit kita secepat mungkin," kongsi Encik Rohaizad kepada BERITAmediacorp.

--

Sebagai Ketua Kumpulan Syif Penyelenggaraan, Encik Rohaizad Yahya memikul tanggungjawab besar bagi memastikan kemudahan-kemudahan pengilangan yang bertaraf antarabangsa itu 'terjaga'.

Tambahnya: "Peranan saya untuk memeriksa peralatan. Saya mesti memastikan mengikut teknisyen saya apabila dia datang ke lokasi. Saya mesti pastikan kerja-kerja pemeriksaan atau pembaikan mesti dibuat dengan teliti dan juga mengikut spesifikasi."

Semangat dan dedikasi dua bakat tempatan itu bukan sahaja berjaya menarik gergasi dunia korporat ke negara ini tetapi juga mengukuhkan lagi kedudukan Singapura sebagai hab perniagaan yang disegani seantero dunia.
 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan