Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SemangatSG: Guru prasekolah dan pustakawan rujukan ini menyumbang bakti jadikan sistem pendidikan S'pura antara terunggul di dunia

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Meskipun sudah 25 tahun mengajar, tidak sedikit pun luntur semangat cikgu Siti Raudhah Halimi untuk mendidik muridnya hingga ke hari ini.

Ada sahaja cara baru dan kreatif yang beliau guna untuk turunkan ilmu kepada generasi muda lebih-lebih lagi di peringkat tadika.

Ini kerana bagi dirinya, kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Guru tadika MOE @ Horizon itu berkata: "Dalam masa saya membina (keupayaan) anak-anak ini, saya menyelitkan dan memasukkan pelbagai nilai dan elemen yang membantu mereka membesar dengan baik. Saya juga menyelitkan kemahiran-kemahiran yang perlu untuk ada untuk generasi ini buat masa depan. Misalnya, kita memastikan anak-anak ini tidak mudah berputus asa dan mencuba sedaya upaya untuk menjadi lebih baik."

Dalam menggilap potensi dan membina asas pembangunan kanak-kanak dari awal, guru-guru tadika seperti cikgu Siti memainkan peranan yang sangat penting.

Guru kanan bahasa ibunda itu bukan sekadar memberi fokus kepada gred dan markah tetapi juga memastikan para muridnya mendapat pendidikan yang menyeluruh.

"Saya rasa sebagai seorang guru prasekolah, boleh ibaratkan kita menanam benih. Apabila kita menanam benih, ia tidak boleh tumbuh dengan sendirinya. Kita perlu faktor dan bahan seperti tanah, nutrien, untuk menyuburkan dan menyegarkan pokok-pokok tumbuh."

"Begitu juga dengan kanak-kanak, seperti pokok, kanak-kanak juga perlukan sentuhan, belaian kasih sayang. Ini semua harus dianyam dan digilap kebolehan anak-anak, sebagai guru ini semua perlu kita lakukan supaya mereka menjadi anak-anak berdikari, berjiwa besar," kata cikgu Siti.

Bagi memastikan pendidikan prasekolah lebih mudah diakses, pemerintah akan menambah jumlah tadika MOE sebanyak 30 peratus kepada 57 pusat menjelang 2025.


GENERASI PELAJAR CEMERLANG, ANTARA TERBAIK DI DUNIA

Pelaburan bagi pembangunan sistem pendidikan di Singapura juga sejajar dengan transformasi dan kemajuan ekonomi negara, sehingga menjadikannya sebagai antara yang terbaik di dunia.

Sistem yang baik juga dipercayai dapat menghasilkan golongan pelajar yang cemerlang.

Misalnya, pelajar Singapura menduduki tangga pertama dari segi Kecekapan Global (GC) - mendahului 26 negara lain termasuk Kanada dan Hong Kong.

Selain itu, Singapura dinamakan antara negara yang mendapat penilaian tertinggi di dunia dalam kategori membaca, Sains dan Matematik.

Kemasyhuran sistem pendidikan Singapura di mata dunia juga menarik golongan pelajar antarabangsa untuk ke mari.

Pada 2020, hampir 70,000 pelajar antarabangsa mengejar ilmu di Singapura, kebanyakannya dari bahagian lain benua Asia.

Di peringkat sekolah rendah, menengah dan maktab rendah, pelajar dari luar negara membentuk sekitar 5 peratus daripada keseluruhan pelajar.

Jumlah itu lebih tinggi bagi peringkat universiti iaitu sebanyak 20 peratus.

Kehebatan institusi-institusi pengajian tinggi Singapura malah diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Misalnya, Universiti Teknologi Nanyang misalnya dinobatkan sebagai antara 20 universiti terbaik di dunia.

Universiti Nasional Singapura (NUS) pula muncul sebagai universiti terbaik di Asia buat lima tahun berturut-turut selain menduduki tempat ke-11 universiti terunggul di dunia.

PELAJAR DAN PENGKAJI DARI LUAR NEGARA BUAT RUJUKAN DI NUS KERANA JUMLAH BAHAN YANG KAYA

Kejayaan universiti tempatan pula tidak datang bergolek tanpa kerja keras para pegawai pendidikan dan kakitangannya.

Antaranya ialah Cik Nur Diyana Abdul Kader, pustakawan rujukan di Perpustakaan Central di NUS.

Perpustakaan kajian terbesar di Singapura itu mengandungi lebih 3 juta bahan rujukan.

Tugas beliau bukan sekadar mengatur buku di perpustakaan sahaja.

"Saya menawarkan khidmat rujukan di mana para penyelidik dan pelajar merujuk kepada kami untuk mencari sumber maklumat untuk kertas kajian mereka. Mereka merujuk kepada kami kerana kami ada kepakaran dalam bidang dan kajian yang mereka ingin jalankan," kata Cik Diyana yang sudah bertugas sebagai pustakawan rujukan selama lima tahun.

Sebagai seorang pustakawan rujukan, Cik Diyana juga berperanan sebagai seorang pendidik kepada para mahasiswa.

"Kami adakan kelas dan sesi konsultasi untuk menerangkan cara bagaimana untuk melakukan kajian supaya mereka boleh gunakan kemahiran tersebut untuk menulis kertas kajian dan ini diperlukan dalam setiap kerja atau untuk menulis kertas tesis mereka'" jelas Cik Diyana.

Antara tugas utama Cik Diyana pula adalah untuk memperkayakan koleksi Singapura Malaysia yang terdapat di perpustakaan tersebut, yang kini mempunyai lebih 375,000 bahan rujukan.

Oleh itu, Cik Diyana memainkan peranan penting bagi membantu para penuntut atau penyelidik mencari bahan rujukan yang diperlukan.

Cik Diyana berkata: "Mereka yang merujuk kepada koleksi Singapura-Malaysia bukan sahaja para pelajar NUS, ada juga pelajar pertukaran dan para pelajar universiti lain, yang tahu bahawa koleksi Singapura-Malaysia kita di sini mempunyai sumber maklumat yang mereka perlukan dan tidak ada perpustakaan lain di dunia."

Tumpuan pada setiap peringkat pembangunan, dari tadika hinggalah ke menara gading bersertakan dedikasi dan semangat kakitangan pendidikan menjadikan sistem pendidikan Singapura antara yang terbaik di dunia, membuatkan negara ini lebih istimewa.

Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan