Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Semangat Raikan Ilmu kunci mencapai visi Masyarakat Gemilang: Presiden Halimah

Masyarakat Melayu/Islam sudah menunjukkan banyak kemajuan dalam bidang pendidikan dan MENDAKI telah memainkan peranan penting dalam meningkatkan tahap pencapaian tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Masyarakat Melayu/Islam sudah menunjukkan banyak kemajuan dalam bidang pendidikan dan MENDAKI telah memainkan peranan penting dalam meningkatkan tahap pencapaian tersebut.

Namun, masih banyak yang harus dilakukan dalam bidang-bidang lain termasuk meluaskan penakrifan kejayaan bukan sekadar cemerlang dalam akademik sahaja.

Presiden Halimah Yacob berkata demikian semasa merasmikan Bulan Raikan Ilmu hari ini (5 Okt) di Wisma Mendaki di Kee Sun Avenue.

Kempen sepanjang bulan itu dianjurkan Yayasan MENDAKI buat pertama kali, dengan kerjasama lebih 50 rakan kerja di serata Singapura bagi membudayakan pembelajaran sepanjang hayat.

Dalam ucapannya, Presiden Halimah mengajak masyarakat Melayu/Islam terus menguasai ilmu pengetahuan dan teknologi dalam rangka mencapai visi Masyarakat Gemilang.

Ini lebih penting lagi sedang Singapura berdepan dengan cabaran-cabaran baru seperti landskap ekonomi yang berubah-ubah dan teknologi baru.

DARI SEKOLAH PONDOK KE MENARA GADING

Membuka tirai kempen Bulan Raikan Ilmu, Puan Halimah merasmikan pameran Galeri Warisan di Wisma Mendaki yang menyusuri perjalanan masyarakat dalam mengejar ilmu dari sekolah pondok ke menara gading.

Pameran itu, menurut Puan Halimah, adalah bukti semangat kental dan ikhtiar keras masyarakat Melayu/Islam untuk mencapai kejayaan dari zaman ke zaman.

Beliau memberi contoh bagaimana apabila tertubuhnya MENDAKI pada 1982, hanya satu daripada lapan pelajar Melayu/Islam lulus sekurang-kurangnya lima mata pelajaran GCE 'O'.

Namun, dalam masa sedekad, bilangannya meningkat seganda dan kini dua pertiga pelajar meraih sekurang-kurangnya lima mata pelajaran GCE 'O'.

Namun begitu, Puan Halimah berkata perlu bagi masyarakat terus memperluaskan kejayaan mereka ke bidang-bidang lain selain pencapaian akademik.

Ini supaya dapat memastikan permulaan yang baik bagi generasi seterusnya.

"Sedang kita meraikan kemajuan ini, masih ada ruang lagi yang boleh kita perbaiki. Dari sudut pendidikan, kita perlu memperluaskan maksud kejayaan untuk menyertakan mereka yang bukan saja cemerlang secara akdemik tetapi juga mereka yang mempunyai kebolehan dan berjaya dalam bidang-bidang lain.

"Dari sudut pekerjaan, kita perlu memahami bagaimana penyusunan semula ekonomi Singapura akan menjejas kita, terutama sekali perubahan struktur kepada pekerjaan-pekerjaan yang sedang berlaku disebabkan automasi dan kecerdasan buatan," kata beliau.

M³ MAINKAN PERANAN PENTING BAGI GENERASI SETERUSNYA

Lantaran itu, Puan Halimah berkata inisiatif seperti Raikan Ilmu dan juga rangka kerja M³ penting dalam menyepadukan usaha dan keupayaan agensi Melayu/Islam supaya lebih berkesan dalam memberi khidmat kekepada masyarakat.

Malah, beliau menekankan pendekatan M³ penting dalam memastikan generasi seterusnya dilengkapi dengan permulaan yang baik supaya dapat menyumbang kepada masyarakat masa depan, sejajar dengan visi Masyarakat Gemilang.

Peranan M³ itu disokong Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli yang memperkenalkan rangka kerja gabungan tiga badan terdiri daripada MUIS, MENDAKI dan MESRA kepada masyarakat tahun lalu.

Kerjasama itu juga bagi mengisi jurang atau menjadi jambatan di fasa terakhir dalam penyampaian khidmat kepada masyarakat.

"Kita mahu bersama-sama dengan masyarakat untuk ingatkan kita bersama pentingnya ilmu dalam kehidupan kita di sebuah negara metropolitan seperti Singapura. Kita bukan setakat hanya mendapat pendidikan yang rasmi tetapi juga harus mempunyai budaya yang mahu mendapat pendidikan sepanjang hayat," kata Encik Masagos yang juga Pengerusi MENDAKI.

"Oleh kerana Singapura adalah sebuah negara yang terbuka, kita sebagai rakyat akan dapat meraih manfaat jika kita siap untuk meningkatkan dan juga merubah kepakaran kita demi mendapat manfaat yang baru,"ujarnya.

Perkembangan menimba ilmu dalam masyarakat Melayu/Islam turut dirakamkan dalam sebuah buku yang dijual S$100 senaskah.

Hasil jualan buku itu disalurkan kepada Dana Amanah Pendidikan (ETF) MENDAKI. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan