Skip to main content

Singapura

Semangat kesyukuran, perpaduan Ramadan perlu terus diperkukuh: Dr Faishal

Anggaran Waktu Membaca:

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 20 Mar 2026 08:07PM Dikemas Kini : 09 Apr 2026 12:40AM
SINGAPURA: Semangat kesyukuran dan perpaduan yang dipupuk sepanjang Ramadan harus terus diperkukuhkan dalam kalangan masyarakat, khususnya ketika menyambut Syawal dalam dunia yang semakin mencabar.

Demikian ditekankan Pemangku Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim dalam 'Bingkisan Hari Raya Aidilfitri' yang disampaikan pada Jumaat (20 Mac).

Beliau menegaskan bahawa Hari Raya bukan sekadar satu perayaan tetapi peluang untuk umat Islam kembali kepada fitrah dengan hati yang lebih jernih, tenang dan prihatin.

Dalam ucapannya, Dr Faishal turut menggesa agar nilai-nilai seperti kesopanan, kesantunan serta semangat memberi dan berkongsi terus diamalkan, walau dalam apa jua keadaan.

Beliau berharap semangat Syawal dapat menguatkan azam masyarakat untuk menjadi versi terbaik diri dan melangkah bersama ke arah masa depan yang lebih cerah.

Dalam bingkisannya itu yang dirakamkan di Masjid Jamae Chulia, Dr Faishal juga menekankan kepentingan warisan dan legasi masyarakat.

Pemilihan monumen negara yang kaya dengan sejarah sejak 1820-an itu sebagai lokasi rakaman kali ini mencerminkan hal itu.

Menurut Dr Faishal, masjid wakaf itu menjadi lambang pengorbanan dan sumbangan para perintis masyarakat Islam Chulia serta mengingatkan setiap generasi tentang amanah untuk terus menyumbang dan memperkasa masyarakat.

Beliau turut menyorot peranan masjid tersebut sebagai simbol keharmonian antara agama, dengan kedudukannya berdekatan rumah ibadat lain serta hubungan kejiranan yang erat yang telah lama terjalin.

Ia terletak bersebelahan dengan kuil Sri Mariaman dan kuil Buddha Tooth Relic.

Selain itu, kejayaan masyarakat hari ini juga kata Dr Faishal adalah hasil usaha bersama pelbagai pihak termasuk masjid, madrasah, sukarelawan dan badan-badan masyarakat.

Beliau melahirkan rasa bangga terhadap kesungguhan semua pihak yang terus bekerjasama demi kemaslahatan masyarakat.

Dalam masa yang sama, beliau mengingatkan agar masyarakat tidak melupakan mereka yang sedang berdepan dengan cabaran dan pergolakan di seluruh dunia.

Di Singapura, beliau menyeru agar masyarakat terus kekal tenang dan bersatu, kerana dalam kebersamaan itulah terletaknya kekuatan untuk saling memahami dan menjaga antara satu sama lain.

Berikut ialah teks penuh Bingkisan Hari Raya Aidilfitri Dr Muhammad Faishal Ibrahim:

Saudara-saudari sekalian,

Di ambang Syawal, kita menyambut kemenangan, lahir daripada sebulan kesabaran, renungan diri dan pembaharuan jiwa. Hari Raya bukan hanya satu perayaan, tetapi juga ruang untuk kita kembali kepada fitrah dengan hati yang lebih jernih, tenang dan prihatin.

Dalam dunia yang tidak menentu, nilai-nilai yang kita semai sepanjang Ramadan menjadi semakin bermakna. Kita menzahirkan rasa syukur atas nikmat yang dikurniakan, sopan dan santun dalam tutur kata dan perbuatan kita serta kesediaan untuk memberi dan berkongsi, walau dalam apa jua keadaan.

Semoga semangat Syawal ini membawa keberkatan dan menguatkan azam kita untuk menjadi versi terbaik diri kita. Bersama-sama, kita melangkah ke hadapan bersama, menuju masa depan yang lebih cerah dan penuh harapan.

Saya berbesar hati dapat menyampaikan Bingkisan Hari Raya saya yang pertama di Masjid Jamae Chulia, sebuah monumen negara yang kaya dengan sejarah. Dibina pada tahun 1820-an, masjid wakaf ini menjadi saksi kepada titik peluh, pengorbanan dan sumbangan para perintis masyarakat Islam Chulia lebih dua ratus tahun yang lalu. Mereka bukan hanya membina masjid untuk kita beribadah, tetapi juga telah menanam semangat berbakti kepada masyarakat. Warisan ini mengingatkan kita bahawa setiap generasi memikul amanah untuk memperkasa diri, menyumbang dengan ikhlas dan meninggalkan legasi yang lebih baik buat generasi seterusnya.

Antara cara kita melaksanakan amanah ini adalah dengan memelihara dan memupuk semangat keharmonian antara agama, lebih-lebih lagi dalam dunia yang kian berpecah belah. Masjid ini berdiri sebagai lambang perpaduan agama yang teguh di Singapura. Terletak berdekatan dua buah kuil berlainan agama, masjid ini telah lama menjalin hubungan kejiranan yang erat, sekaligus menjadi penghubung untuk memperkukuhkan persefahaman. Pintunya sentiasa terbuka kepada semua, tanpa mengira bangsa mahupun agama. Begitulah juga semangat Hari Raya, yang menggalakkan kita untuk melangkaui kepentingan diri demi mengukuhkan jalinan ukhuwah dalam masyarakat majmuk kita.

Bak kata pepatah: “ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni”. Segala kemajuan dan kejayaan yang kita kecapi hari ini terbina atas kekuatan dan usaha masyarakat kita bersama. Sejak menggalas tanggungjawab sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, saya bangga melihat kesungguhan masyarakat kita, daripada masjid, madrasah, para sukeralawan, badan-badan Melayu/Islam dan India/Islam hinggalah kepada kumpulan-kumpulan tidak rasmi, bekerjasama demi kemaslahatan masyarakat. Apabila kita memainkan peranan masing-masing dengan keikhlasan dan tujuan yang sama, kita boleh melangkah ke hadapan bersama-sama sebagai satu masyarakat dan negara, dengan satu hati.

Dalam bulan Syawal yang penuh keberkatan ini, ramai di seluruh dunia sedang berdepan dengan cabaran dan pergolakan. Sedang kita menyambut Hari Raya, jangan pula kita lupakan nasib mereka. Marilah kita berdoa agar mereka sentiasa dilindungi. Semoga ketenangan serta kebijaksanaan mengatasi keganasan dan pertelingkahan. Di Singapura, marilah kita kekal tenang dan bersatu. Dalam kebersamaan inilah terletaknya kekuatan kita untuk saling menjaga dan memahami antara satu sama lain.

Hari Raya ini, marilah kita terus bersatu hati dalam semangat dan tujuan untuk membina masyarakat yang kukuh berteraskan kesyukuran, kesopanan dan kesantunan. Bagi pihak rakan-rakan Anggota Parlimen, saya Faishal Ibrahim mengucapkan, Selamat Hari Raya Aidilfitri. Maaf Zahir dan Batin.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita