Skip to main content

Singapura

'Semangat kampung' di Keat Hong: Lebih 100 sukarelawan bantu 131 keluarga memerlukan

Demi menghidupkan semangat gotong royong atau semangat kampung, lebih 100 sukarelawan masyarakat dari kumpulan berbeza bergabung tenaga untuk membantu penduduk memerlukan di kawasan Keat Hong hari ini (3 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 03 Jul 2021 09:41PM Dikemas Kini : 03 Jul 2021 09:45PM

SINGAPURA: Demi menghidupkan semangat gotong royong atau semangat kampung, lebih 100 sukarelawan masyarakat dari kumpulan berbeza bergabung tenaga untuk membantu penduduk memerlukan di kawasan Keat Hong hari ini (3 Jul).

Sekitar 30 sukarelawan dari SG Assist - sebuah syarikat pemula perusahaan sosial - tampil untuk membantu mengagihkan barang-barang keperluan dapur bagi lebih 130 keluarga memerlukan di lapan zon kawasan Keat Hong.

Related article image

Turut sama membantu adalah lebih 70 anggota Persatuan Rakyat dan akar umbi dari Jawatankuasa Pengurusan Kelab Masyarakat Keat Hong (CCMC) yang bertindak selaku penganjur acara.

Sebenarnya menerusi aplikasi tersebut juga, sesiapa sahaja yang perlukan bantuan dari sukarelawan, boleh memintanya - termasuk bantuan membeli keperluan dapur ataupun bagi keperluan kecemasan di rumah.

Sukarelawan SG Assist yang tinggal berdekatan akan segera diberitahu menerusi app itu dan segera datang membantu.

Untuk memupuk kesedaran tentang kewujudan khidmat tersebut, setiap penerima agihan bantuan hari ini juga diperkenalkan kepada aplikasi SG Assist itu.

Related article image

Pengasas Bersama aplikasi tersebut, Encik Tan Tze Kai Greg berkata: "Saya rasa ia mudah, dalam kalangan masyarakat, di mana orang seperti kita yang boleh membantu meskipun dalam hal ringan, yang sebenarnya membantu kehidupan orang lain juga. Jadi (seperti) membantu mereka membeli barangan dapur sebab mereka tidak mudah bergerak atau menemani mereka mendapatkan ubat-ubatan di poliklinik dan sebagainya.

"Saya rasa ia dapat mengembalikan semangat kampung dan saya berharap bahawa lebih ramai orang akan tampil dan membantu antara satu sama lain dan pada masa yang sama, menjalin persahabatan di kalangan penduduk."

Related article image

POTENSI PERBANYAK JUMLAH SUKARELAWAN YANG UPAYA MEMBANTU

Anggota Parlimen dan penasihat akar umbi kawasan Keat Hong Encik Zhulkarnain Abdul Rahim berkata kerjasama antara pihak beliau dengan SG Assist berpotensi mendekati lebih ramai penduduk yang berupaya membantu. Ini terutama sekali dalam tempoh Kewaspadaan Dipertingkat sekarang ini.

"Kita ingin memupuk sifat keprihatinan dan kejiranan antara satu sama lain dan bagi para penduduk yang terkesan akibat pandemik, mungkin ini akan meringankan beban mereka dan diharapkan ini akan berterusan selepas ini," kata Encik Zhulkarnain.

"Dengan wadah-wadah berpelbagai untuk penduduk mendapatkan bantuan, dengan adanya aplikasi SG Assist dan bantuan akar umbi dan badan-badan kebajikan tertentu, mereka akan lebih mudah untuk mendapatkan bantuan dan boleh lebih berhubung antara satu sama lain," ujarnya lagi.

AP GRC Choa Chu Kang itu turut berharap semangat saling membantu seperti itu akan berterusan walaupun selepas pandemik COVID-19 nanti.

Related article image

Antara 131 keluarga yang menjadi penerima bantuan kerjasama akar umbi Keat Hong dan SG Assist itu ialah keluarga Encik Salaman Afwee, 66 tahun dan isteri Cik Radziah Samadi, 62 tahun yang sudah lebih 10 tahun menginap di kawasan tersebut.

"Alhamdulillah kita dalam suasana COVID-19 ini, apa yang diberi ini, Alhamdulillah, kita terima, sikit ke banyak ke kecil ke besar ke, Alhamdulillah," ujar Cik Radziah.

Sehingga kini, SG Assist yang punya lebih 2,500 sukarelawan berdaftar, sudah menangani lebih 5,000 permintaan bantuan sejak tahun lalu.  

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita