Semangat berbakti oleh datuk dan ayah kini disemai kepada murid
Cik Faridah Mohamed Ali memulakan kerjayanya sebagai guru di Sekolah Rendah Fuhua pada 2018 dan kekal berkhidmat di sekolah itu sehingga kini. (Gambar: BERITA Mediacorp/Batrisyia Kamal Baharim)
Malah, guru Bahasa Melayu itu melihat bilik darjah sebagai ruang di mana nilai-nilai disemai.
Beliau berusaha membentuk murid yang bukan sahaja berani bersuara, tetapi juga membesar dengan rasa tanggungjawab untuk berbakti kepada masyarakat.
Bagi Cik Faridah, 33 tahun, demikian merupakan nilai yang diharap akan terus hidup dalam diri murid-muridnya jauh selepas mereka meninggalkan alam persekolahan.
Ibu kepada tiga orang anak itu percaya pendidikan bukan sekadar membentuk murid yang cemerlang, tetapi insan yang akan membawa manfaat kepada masyarakat.
Usaha serta dedikasinya dalam membentuk murid secara menyeluruh itu melayakkan beliau sebagai penerima Anugerah Belia Cemerlang dalam Pendidikan (OYEA) 2026.
Anugerah itu disampaikan oleh Menteri Pendidikan, Desmond Lee, di Majlis Penyampaian Watikah Guru di Institut Pendidikan Nasional (NIE) pada Rabu (1 Jul).
Ia mengiktiraf sumbangan guru-guru berusia 35 tahun ke bawah yang menunjukkan semangat, kreativiti dan penglibatan aktif dalam pembangunan holistik murid.
BENIH YANG DISEMAI SEJAK KECIL
Nilai berbakti kepada masyarakat sangat dipegang teguh oleh guru bahasa Melayu itu.
Nilai itu, katanya, bukan sesuatu yang dipelajari apabila beliau bergelar guru.
Sejak kecil, beliau didedahkan kepada erti berbakti kepada masyarakat melalui datuknya, seorang guru silat yang mengajar anak-anak muda di kampung Jawa.
Beliau melihat bagaimana ilmu bukan sekadar untuk dimiliki, tetapi dikongsi demi membentuk insan.
Jika datuknya menanam nilai itu melalui ilmu, ayahnya, Encik Mohamed Ali Yusoff, pula menunjukkan teladan melalui kerja-kerja sukarelawan, sekali gus membuktikan bahawa berbakti kepada masyarakat bukan sekadar kata-kata, tetapi perlu diterjemahkan melalui perbuatan.
"Ayah saya sentiasa menasihati saya, bersama ibu saya juga, bahawa kami merupakan sebahagian daripada komuniti yang besar dan kami harus sentiasa peka akan apa yang berlaku di sekeliling kami," katanya.
TERUS MENYEMAI NILAI BERBAKTI DI DALAM BILIK DARJAH
Hari ini, nilai yang diwarisi daripada datuk dan diperkukuh oleh ayahnya itu diterjemahkan dalam setiap pengajaran di bilik darjah.
Cik Faridah, yang juga Ketua Subjek Kepimpinan Pelajar, sering berkongsi kisah tokoh-tokoh Singapura agar murid memahami bahawa setiap orang mempunyai tanggungjawab untuk menyumbang kepada masyarakat mengikut kemampuan masing-masing.
Semangat itu turut diterapkan menerusi pendekatan kreatifnya di dalam kelas, termasuk penggunaan mikrofon sebagai alat untuk menggalakkan murid tampil bersuara.
"Mikrofon itu bukan sekadar alat untuk membesarkan suara tetapi ia merupakan lambang kepercayaan kepada murid bahawa setiap suara mempunyai tempat dan setiap idea mempunyai nilai," katanya.
Menurutnya, penggunaan mikrofon itu diharap akan menjadi "pemangkin semangat untuk murid datang ke sekolah dan menyumbang kepada suasana sekolah yang ingin mereka bina".
Hasilnya, murid-murid tampil mencetuskan pelbagai inisiatif seperti Focus Friends Hub dan program sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia bagi meningkatkan motivasi serta kesejahteraan rakan-rakan mereka.
"Sebagai seorang guru, tugas saya adalah untuk menanam benih-benih itulah. Jadi, saya harap mereka akan sentiasa menabur bakti kepada orang di sekeliling mereka dan membawa nilai-nilai empati untuk memperkukuhkan lagi masyarakat demi negara yang maju dan makmur," ujarnya.
Selain Cik Faridah, lima lagi guru turut menerima anugerah yang sama.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.