Skip to main content

Singapura

Semakin ramai warga muda SG melancong ke Malaysia guna bas privet & kereta sewa

Anggaran Waktu Membaca:
Semakin ramai warga muda SG melancong ke Malaysia guna bas privet & kereta sewa

(Gambar: CNA/Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 06 Jun 2024 10:31AM
SINGAPURA: Semakin ramai warga muda Singapura yang melancong ke Malaysia dengan menaiki kereta sewa dan bas privet sedang mereka bercuti lebih jauh ke negara jiran itu.

Firma sewa kereta Lylo, yang membenarkan para penyewa memandu kenderaannya merentasi sempadan telah menyaksikan peningkatan 40 peratus pada jumlah permintaan sejak ia memulakan perkhidmatan itu kira-kira setahun lalu.

Menurut ketua perniagaan syarikat itu, Encik Marcus Low, biasanya penyewa berusia dalam lingkungan 20-an dan 30-an tahun dan juga keluarga-keluarga muda.

Jumlah kereta yang disewakan meningkat tiga kali ganda daripada kira-kira 100 kepada menjangkaui 300, tambahnya.

Khidmat premium Lylo, di mana pemandu akan membawa pelanggan bersiar-siar di Malaysia, yang sering digunakan oleh keluarga muda, juga meningkat lima kali ganda berbanding tahun lalu.

"Kami meyaksikan permintaan yang sangat memberangsangkan bagi khidmat tersebut, terutama semasa cuti sekolah, di mana keluarga kurang berminat untuk memandu sendiri," katanya.

MELANCONG LEBIH JAUH

Sesetengah penyewa kini menyewa kereta bagi tempoh lebih lama, kira-kira seminggu berbanding tiga malam yang sering disewa oleh sebahagian besar penyewa, untuk memandu ke Pulau Pinang, kata Encik Low.

Mereka yang menggunakan khidmat bas privet juga melancong lebih jauh, dedah beberapa syarikat dalam industri tersebut.

Seorang jurucakap WTS Travel berkata selain Pulau Pinang, yang mengambil masa kira-kira 10 jam menggunakan bas, Ipoh dan Hat Yai juga merupakan destinasi popular. Pengalaman budaya yang pelbagai turut menjadi tarikan pelancong.

Permintaan bagi khidmat bas syarikat itu meningkat tahun ini, yang mendorongnya untuk menambah jumlah bas, menurut jurucakap tersebut.

Menurut pengarah KKKL Travel & Tours Yee Hon Ve, sesetengah pelanggannya menaiki bas ke Mersing dan Pulau Tioman.

Trend menaiki bas untuk ke destinasi lebih jauh dipacu oleh pelanggan lebih muda, tambanya.

PELBAGAI JENIS PELANGGAN

"Kami melihat terdapat lebih ramai anak muda yang melakukan perjalanan seorang diri, pelanggan seperti golongan Gen Z dan Milenium. Mereka ingin meneroka lebih banyak destinasi di Malaysia," kata Encik Yee.

WTS Travel juga menyaksikan "perubahan ketara" pada demografi penumpang, dengan peningkatan sekitar 20 peratus pada pelancong muda berbanding tahun lalu.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita