Skip to main content

Singapura

Semakin ramai rakyat SG sokong hukuman mati atas kesalahan edar sejumlah besar dadah: Shanmugam

Satu tinjauan menunjukkan bahawa semakin ramai penduduk di Singapura bersetuju bahawa hukuman mati mandatori adalah sesuai sebagai hukuman kerana mengedar sejumlah besar dadah, menurut Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara K Shanmugam pada Khamis (12 Mac).
Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 12 Mar 2026 12:26PM Dikemas Kini : 08 Apr 2026 10:45PM
SINGAPURA: Satu tinjauan menunjukkan bahawa semakin ramai penduduk di Singapura bersetuju bahawa hukuman mati mandatori adalah sesuai sebagai hukuman kerana mengedar sejumlah besar dadah, menurut Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara K Shanmugam pada Khamis (12 Mac).

Mendedahkan hasil tinjauan mengenai persepsi awam yang dijalankan tahun lalu berhubung sikap terhadap hukuman mati, Encik Shanmugam berkata hampir 77 peratus responden bersetuju atau sangat bersetuju dengan pandangan tersebut, meningkat daripada 69 peratus pada 2023.

Tinjauan tahun lalu juga mendapati hampir 87 peratus responden bersetuju atau sangat bersetuju bahawa hukuman mati harus digunakan bagi jenayah-jenayah paling serius, termasuk mengedar dadah – naik daripada sekitar 77 peratus pada 2023.

Sebelum 2025, tinjauan seumpama itu pertama kalinya dijalankan pada 2021, dengan kali kedua pada 2023.

Encik Shanmugam turut merujuk kepada perangkaan terbaharu itu ketika menyampaikan ucaptama di acara meja bulat Community Resilience Against Drug Abuse berhubung situasi dadah global dan pendekatan Singapura terhadap dadah.

Encik Shanmugam menarik perhatian bahawa Singapura sebelum ini memberkas sekitar 6,000 penyalah guna dadah setiap tahun pada 1990-an. Jumlah itu sudah merosot hampir separuh, dengan sekitar 3,000 penangkapan setiap tahun.

Walaupun sesetengah pengkritik mula mengakui tahap sokongan awam yang tinggi terhadap hukuman mati, mereka berpendapat ini kerana pemerintah “menggunakan propaganda dengan begitu berkesan sehingga membanjiri masyarakat dengan mesej-mesej pro-hukuman mati dan pro-perang terhadap dadah”, kata Encik Shanmugam, yang juga Menteri Ehwal Dalam Negeri.

“Ini adalah hujah yang tidak berasas dan kebudak-budakan jika boleh saya katakan sedemikian … rakyat Singapura berpendidikan dan berpengetahuan luas. Kita dapat melihat apa yang berlaku di seluruh dunia serta kesannya di tempat-tempat lain,” kata Encik Shanmugam.

“Masyarakat Singapura tahu apa yang menjadi kepentingan mereka, apa yang menjadi kepentingan anak-anak mereka. Mereka boleh melihat apa yang berlaku di negara-negara lain.

“Pendekatan kita berasaskan bukti, dan bukti menunjukkan bahawa apa yang telah kita lakukan, pelaksanaan undang-undang serta pemulihan – semuanya berkesan dari segi kedudukan Singapura,” kata beliau.

“Jika terdapat bukti yang sebaliknya, kita akan mengubah pendirian tersebut.”

Beliau menambah bahawa tanggungjawab pemerintah bukanlah untuk tunduk kepada pihak lain, tetapi untuk melakukan yang terbaik bagi rakyat Singapura.

“Walaupun ia kelihatan seperti kita tidak sehaluan dengan bahagian-bahagian lain di dunia. Dan walaupun kita dikritik oleh media antarabangsa atas sebab itu,” kata Encik Shanmugam.

SOKONGAN AWAM

Pendekatan Singapura memberi tumpuan kepada pencegahan kemudaratan dan dasar-dasar yang berlandaskan penguatkuasaan, pendidikan serta pemulihan.

Negara ini mempunyai rangka kerja undang-undang yang tegas dan penguatkuasaan yang kukuh, selain melabur dengan besar dalam pendidikan pencegahan di peringkat awal.

Encik Shanmugam menyorot Hari Memperingati Mangsa Dadah yang diperkenalkan pada 2024, yang diperingati setiap Jumaat ketiga pada bulan Mei, bagi mengenang mereka yang menjadi mangsa dadah.

Mengenai pemulihan, beliau berkata pendekatannya berbeza bagi pengedar dadah dan penyalah guna dadah. Walaupun Singapura berpendirian tegas terhadap pengedar, penyalah guna dadah yang tidak melakukan kesalahan jenayah lain akan menerima rawatan dan pemulihan tanpa rekod jenayah.

“Kami melabur dengan sangat besar dalam program pemulihan untuk membantu mereka memutuskan kitaran ketagihan dan memberi mereka sokongan untuk meneruskan kehidupan,” kata Encik Shanmugam.

Walaupun pendirian terhadap dadah semakin longgar di peringkat global, keadaannya berbeza di Singapura.

Memetik hasil Tinjauan Persepsi Dadah Kebangsaan 2025, Encik Shanmugam berkata hampir 93 peratus responden belia dan lebih 96 peratus orang dewasa yang ditinjau berkata Singapura harus terus mengekalkan undang-undang yang tegas untuk memastikan dadah tidak memasuki dan berakar di negara ini.

Sokongan dalam kalangan responden belia juga meningkat sejak tinjauan terakhir pada 2023.

“Walaupun banyak bahagian dunia sama ada telah menyerah kalah dalam usaha memerangi dadah atau mengatakan bahawa mereka akan membenarkannya atas pelbagai sebab … kita sebaliknya melawan arus tersebut,” kata Encik Shanmugam sambil menyifatkan hasil tinjauan itu sebagai “sangat menggalakkan”.

“Dan kita sebenarnya telah meningkatkan sokongan daripada masyarakat, termasuk golongan muda kita.”

KUMPULAN JENAYAH

Apabila pemerintah bersikap lebih bertolak ansur atau kurang berkesan dalam menangani dadah, kumpulan-kumpulan jenayah akan mengambil kesempatan, kata Encik Shanmugam dalam ucapannya itu.

Beliau memberi contoh keadaan di tempat-tempat seperti Amerika Selatan, yang menjadi sumber utama dadah dan laluan transit bagi kokain, menurutnya.

Di Uruguay, misalnya, kumpulan-kumpulan jenayah semakin berani sehingga menyerang rumah seorang pendakwa anti-narkotik dengan senjata api.

Di Amerika Utara, ganja dibenarkan, yang menurut Encik Shanmugam, membawa kesan besar terhadap kesihatan awam.

Di Eropah pula, terdapat kebimbangan yang semakin meningkat berhubung kokain. Walaupun pihak berkuasa cuba mempertingkatkan penguatkuasaan bagi membanteras pengedaran dadah, pendekatan mereka masih dianggap “agak bertolak ansur”, tambah beliau.

“Kumpulan-kumpulan jenayah semakin berakar umbi … Mereka kini menyogok para pegawai, serta merekrut golongan muda untuk mengedar dadah dan membunuh orang lain.”

Dadah juga menimbulkan kos sosioekonomi yang besar kepada seluruh masyarakat, tambah beliau.

PELANCARAN BUKU

Semasa acara pada Khamis(12 Mac), Encik Shanmugam turut merasmikan pelancaran sebuah buku yang dihasilkan oleh ahli psikologi Home Team serta pakar pemulihan.

Bertajuk "Island of Hope: Psychological Perspectives of Drug Harm Prevention", buku tersebut menyentuh bagaimana prinsip psikologi dapat memperkukuh daya tahan serta menggalakkan pemulihan dan penyepaduan semula dalam kalangan individu, keluarga dan masyarakat bagi melindungi masyarakat daripada kemudaratan dan bahaya dadah.

Buku itu menghimpunkan penyelidikan psikologi tempatan yang menyokong usaha pencegahan dadah di Singapura, alat-alat penilaian serta strategi-strategi pemulihan, kata Encik Shanmugam.

Para penyumbangnya meluangkan masa selama bertahun-tahun untuk menjalankan penyelidikan dan memahami apa yang mendorong seseorang terjebak dengan dadah, apa yang membantu mereka melepaskan diri, dan apa yang menyokong proses pemulihan mereka.

“Saya fikir ia akan menjadi panduan yang bernilai sedang kita meneruskan usaha ini,” kata Encik Shanmugam.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita