Semakin ramai rakyat SG anggap agama faktor penting bentuk identiti mereka: Kajian IPS
Semakin ramai rakyat Singapura menganggap agama sebagai elemen utama dalam hidup mereka, dengan sebilangan besar yang ditinjau menyatakan kepercayaan agama mempengaruhi pandangan mereka dalam bidang-bidang lain, menurut kajian baharu oleh Institut Kajian Dasar (IPS).

Pemimpin pelbagai agama dan kepercayaan membacakan doa di Singapura. (Gambar: AFP/Roslan Rahman)
Lebih tiga perempat daripada 4,000 orang yang ditinjau pada 2024 menyatakan pandangan mereka mengenai agama atau kerohanian adalah salah satu aspek paling penting yang membimbing falsafah hidup mereka.
Pandangan tersebut juga memberi kesan besar terhadap bagaimana mereka menjaga tingkah laku di tempat kerja atau dalam strategi perniagaan.
Peratusan itu meningkat berbanding kajian yang dijalankan sebelum ini pada 2018.
Dijalankan oleh penyelidik Mathew Mathews, Teo Kay Key, Izzul Haziq Murad dan Melvin Tay, hasil kajian itu diterbitkan pada Rabu (20 Ogos) dalam kertas kerja yang bertajuk "Identiti Agama dan Amalan dalam Kalangan Rakyat Singapura (Religious Identity and Practice Among Singaporeans)".
"Dari segi kepentingan agama, 61.1 peratus daripada jumlah sampel menganggapnya penting atau sangat penting pada 2024.
"Namun apabila hanya responden dengan pengisytiharan agama diambil kira, peratusan itu meningkat kepada 73.7 peratus," menurut kertas kerja itu.
Kajian itu juga mendapati 73.9 peratus responden bersetuju bahawa kepercayaan kerohanian mereka memberi makna kepada suka duka dalam kehidupan, manakala 68.3 peratus menyatakan mereka cuba mendapat tahu apakah pandangan Tuhan atau agama mereka mengenai langkah terbaik apabila perlu membuat pilihan dalam kehidupan.
Lebih enam daripada 10 responden bersetuju kehidupan seharian terasa tidak bermakna tanpa sebarang kerohanian dalam hidup; bahawa mereka menerima ajaran guru agaman masing-masing mengenai bagaimana mereka harus menjalani kehidupan; dan mempunyai agama adalah penting untuk meraih kepuasan dalam hidup.
"Kadar persetujuan mengenai pengaruh agama terhadap kehidupan responden meningkat pada 2024 berbanding dengan 2018 bagi kesemua kenyataan yang dikemukakan kepada responden," menurut para penyelidik kajian itu.

Kajian itu yang dijalankan selama 45 minit dan mempunyai kira-kira 350 soalan, dijalankan dari April hingga Ogos tahun lalu.
Setiap soalan merangkumi topik seperti penanda identiti, pengalaman harian dalam masyarakat berbilang kaum dan pelbagai isu-isu dasar.
"Dalam setiap pusingan kajian, kewarganegaraan secara konsisten disebut sebagai faktor paling penting yang membentuk identiti mereka.
"Singapura secara konsisten dinilai sebagai komponen identiti paling penting dalam setiap pusingan dan ciri demografi," kata para penyelidik.
Para responden kemudian diminta supaya menyusun bahagian paling penting yang membentuk identiti mereka berdasarkan sembilan faktor iaitu kaum, agama, kewarganegaraan, kecenderungan seksual, negara asal, umur, jantina, pekerjaan dan latar belakang pendidikan.
Kerakyatan adalah pilihan paling popular dengan ianya membentuk 35.9 peratus, disusuli dengan kaum (20.6 peratus) dan agama (16.1 peratus).
Sementara itu, negara asal keluarga responden berada pada kedudukan terendah secara konsisten.

Para responden yang lebih berusia, kurang berpendidikan dan kurang berkemampuan juga lebih berkemungkinan melihat agama sebagai penting kepada identiti mereka.
Berhubung tradisi keagamaan, satu daripada tiga responden merasakan agaman perlu dikekalkan dalam bentuk sedia adanya atau tradisional, iaitu naik sedikit berbanding 2018.
"Para penganut agama Kristian dan Islam lebih cenderung memilih agama dalam bentuknya yang asli atau tradisional, manakala terdapat penurunan ketara dalam purata penganut Katolik yang berpendapatan sedemikian apabila membandingkan antara 2024 dengan 2018," menurut para penyelidik.
Mereka juga mendapati mengerjakan ibadah di luar sekitaran keagamaan - seperti gereja dan masjid - adalah amalan yang paling kerap dilakukan dengan 15.7 peratus responden pada 2014 berkata mereka melakukannya hampir setiap hari.
Jumlah itu merosot berbanding 20.4 peratus pada 2013 dan 16.3 peratus pada 2018.
Kajian IPS itu menyatakan mereka yang menganut agama Kristian melaporkan mereka kurang kerap mengikuti acara di gereja atau beribadat, namun terdapat peningkatan dalam penggunaan kandungan agama dalam media.
Bagi para responden yang beragama Islam, kekerapan bagi kesemua amalan agama meningkat sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini.
KESAN TERHADAP MASYARAKAT SINGAPURA
Hasil kajian itu menunjukkan terdapat peningkatan dalam identiti agama dan
Hasil tinjauan menunjukkan peningkatan identiti dan orientasi agama dalam kalangan rakyat Singapura yang beragama, kata penyelidik.
Dengan identiti agama semakin menonjol di Singapura, terdapat kemungkinan kumpulan-kumpulan agama akan mendesak supaya kepercayaan agama mereka dipertimbangkan dalam penggubalan dasar," katanya.
"Para individu yang beragama mungkin merasakan tradisi mereka wajar diberikan lebih perhatian dan ruang awam.
"Pada masa ini, Singapura berjaya mengekalkan keseimbangan antara membenarkan amalan agama di ruang awam berkaitan dengan sekularisme," katanya.
Mereka memberi contoh para jururawat wanita Muslim yang dibenarkan memakai tudung di tempat kerja.
"Walaupun jati diri dan masyarakat yang lebih kukuh dalam kalangan ahli agama boleh memberi sokongan, terutama pada waktu sukar, ia juga mungkin menimbulkan kesan akibat terhadap keharmonian agama, jika hubungan yang semakin erat itu mencetuskan perebutan ruang dan pengaruh antara kumpulan-kumpulan agama," kata para penyelidik.
Sebarang potensi peningkatan dalam pergeseran antara kumpulan boleh ditangani dengan rangka kerja Singapura bagi memelihara keharmonian agama, kata para penyelidik, namun penyesuaian sentiasa diperlukan bagi menguruskan keseimbangan ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.