Semakin ramai pilih pes rencah dan lauk dibekukan untuk siapkan juadah Raya, permintaan naik sehingga 50%
Pes rencah siap dimasak dan lauk Raya yang dibekukan kian menjadi pilihan ramai untuk sajian pagi Lebaran.
Ini termasuk hidangan seperti rendang, ayam masak merah dan kuah kacang yang merupakan antara juadah "wajib" setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Bagi syarikat Pondok Abang misalnya, permintaan bagi lauk Raya yang dibekukan meningkat sebanyak 30 peratus berbanding musim perayaan tahun lalu.

Selain memenuhi permintaan daripada pelanggan yang sibuk bekerja ataupun tidak mahir menyediakan juadah Raya, Pondok Abang juga rancak memasarkan produk mereka menerusi platform media sosial.

GUNA TEKNOLOGI 'QUICK FREEZE' UNTUK PASTIKAN PRODUK TAHAN LAMA TANPA BAHAN PENGAWET
Selain di pasar raya, produk Pondok Abang juga boleh didapatkan secara online dan syarikat itu juga mendapati bahawa kini terdapat lebih ramai kaum lelaki yang turut membuat tempahan menerusi lelaman sesawangnya.

"Ia sangat mudah. Satu hidangan bungkus boleh di hidangkan dalam masa kurang daripada 5 minit. Caranya adalah kami memanaskannya di microwave ataupun di atas dapur. Malah, yang unik tentang produk kami adalah para pelanggan boleh mengubah suai produk itu seperti mungkin ayam masak merah. Jika anda suka memakan ayam masak merah bersama kentang, anda boleh menambah kentang dan sayur-sayuran. Jadi tak semestinya anda makan seperti mana yang anda dapat," ujar Encik Hassan.
Beliau juga berkongsi bahawa Pondok Abang menggunakan kaedah 'quick freeze' untuk memastikan produk-produk itu tahan lama tanpa bahan pengawet.
Encik Hasan menjelaskan, "Alhamdulillah kami dapat bahan-bahan organik yang boleh digunakan dan juga menggunakan teknologi "quick freeze" untuk memastikan produknya boleh tahan sehingga setahun. Teknologi "quick freeze" adalah sangat mudah di mana setelah kami memasak, kami akan membungkus makanannya dan kemudian akan memasukkan ke dalam peti sejuk beku dan suhunya akan turun secara mendadak supaya produk itu tidak mudah rosak."
PERMINTAAN REMPAH MAKLONG BY RESIPI IBUNDA NAIK 50%

Selain makanan yang dibekukan, permintaan bagi pes rencah lauk Raya juga meningkat.
Sebuah lagi perniagaan yang semakin mendapat perhatian di wadah online ialah 'Rempah Maklong by Recipe Ibunda' yang menjual pes rencah siap masak.
Antaranya seperti hidangan lauk lemak lodeh, sambal tumis dan bermacam-macam lagi.
Pengasas bersama Rempah Mak Long by Recipe Ibunda, Nur' Ainniza Abdul Rahman mendedahkan bahawa tujuan utamanya mengusahakan perniagaan itu bersama rakannya adalah untuk melestarikan resipi-resipi warisan kedua-dua ibu mereka.
Ini selain daripada mempermudahkan proses masakan lauk-pauk Melayu yang rata-ratanya rumit untuk disediakan kerana menggunakan pelbagai jenis bahan dan proses menumis yang lama.
Menurutnya, sekitar 75 peratus daripada pelanggannya dalam lingkungan usia 30-an tahun hingga 50-an tahun.

Tambahnya, permintaan bagi pes-pes yang dijualnya meningkat sebanyak 50 peratus ketika musim perayaan ini berbanding sebelum Ramadan.
REMPAH DISERTAKAN DENGAN HERBA, BAHAN TAMBAHAN UNTUK SEDAPKAN MASAKAN
Bagi memastikan hasil masakan daripada pes-pes itu enak dimakan, Cik Ain berkongsi bahawa rencah yang disediakan juga mengandungi bahan-bahan lain untuk menyedapkan lagi masakan.

Setiap bungkus pes rencah mereka seberat 500 gram.
Kata Cik Ain: "Kebanyakan rempah yang dijual di luar sana ringan. Kami tidak mahu jual yang ringan sebab kalau kita mahu masakan kita sedap, kita tidak boleh lokek rempah. Memadailah. Yang keduanya sebab bahan-bahan yang kami adakan di dalam pes itu tidak seperti pes-pes lain.
"Contohnya, kami ada pes nasi minyak. Selalunya pes nasi minyak itu cuma pes sahaja kan? Tapi kami dah ada gajus, kismis di dalamnya untuk menyenangkan para pelanggan kami. Bagi asam pedas pula, sudah ada daun kesum dan serai di dalamnya. Terutamanya, golongan muda seperti kami tidak ada daun daun ini semua tapi sebenarnya daun-daun ini memainkan peranan penting dalam setiap lauk - untuk membuatkannya sedap dan wangi."
Bagi memastikan rencah masakan mereka lebih tahan lama iaitu sehingga 2 tahun, mereka menggunakan teknologi 'retort'.
Ini membolehkan pes-pes yang dihasilkannya diletakkan dalam suhu bilik dan tidak perlu dimasukkan ke dalam peti sejuk.
"Dengan teknologi ini juga ia sebenarnya membuatkan rempah-rempah kami lebih segar. Tiada bakteria yang di dalamnya sebab suhu panas digunakan untuk mematikan bakteria-bakteria supaya rempah-rempah ni boleh bertahan dan kekal segar," ujar Cik Ain lagi.
Pada musim perayaan ini, mereka juga mengeluarkan produk khas seperti Sate Goreng dan Kuah Kacang yang dibekukan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.