Skip to main content

Singapura

Semakin ramai penduduk SG bekerja dalam sektor berkemahiran tinggi pada 2024

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 19 Mar 2025 12:13PM Dikemas Kini : 19 Mar 2025 11:05PM
SINGAPURA: Semakin ramai penduduk bekerja dalam sektor-sektor berkemahiran tinggi seperti kewangan pada 2024, manakala pengambilan pekerja dalam kalangan penduduk bagi sektor-sektor berkemahiran rendah seperti makanan dan minuman (F&B) merosot.

Secara keseluruhannya, pengambilan pekerja dalam kalangan penduduk meningkat sebanyak 8,800 tahun lalu berbanding 4,600 pada 2023, menurut data terkini yang dikeluarkan oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Rabu (19 Mac).

Dalam sektor-sektor berkemahiran tinggi, lagi 5,300 penduduk bekerja dalam perkhidmatan kewangan dan insurans, 5,200 lagi dalam bidang kesihatan dan kerja sosial, lagi 5,000 dalam perkhidmatan profesional dan 4,200 lagi dalam infokom.

Dalam sektor-sektor berkemahiran rendah, pengambilan pekerja dalam kalangan penduduk turun sebanyak 2,100 dalam perkhidmatan makanan dan minuman (F&B), dan sebanyak 700 dalam perkhidmatan pentadbiran dan sokongan.

Pasaran buruh kekal ketat pada suku keempat tahun lalu, dengan 1.64 kerja kosong bagi setiap penganggur pada Disember 2024.

Terdapat sebanyak 77,500 kerja kosong pada Disember 2024 berbanding 61,500 pada September 2024.

Sekitar 70 peratus daripada kerja kosong itu adalah untuk pekerjaan yang biasanya diisi oleh penduduk. Kerja kosong itu adalah pekerjaan dalam perkhidmatan profesional, infokom, perkhidmatan kewangan dan insurans serta kesihatan dan khidmat sosial, kata MOM.

Peranan-peranan termasuk penganalisis dan penasihat kewangan, sofwe, pembangun web dan berbilang media, penganalisis sistem, akauntan, pengurus jualan dan pembangunan perniagaan, serta perunding pengurusan dan perniagaan.

Pertumbuhan pengambilan pekerja dalam kalangan bukan penduduk naik lebih perlahan kepada 35,700 pada tahun lalu berbanding 83,500 pada 2023. Pertumbuhan itu kebanyakannya dalam kalangan pemegang permit kerja yang mengisi pekerjaan kolar biru yang kurang berkemungkinan diambil oleh penduduk tempatan, kata MOM.

"Jumlah pemegang Pas Kerja dan Pas S secara amnya stabil berikutan peningkatan ketara dalam tempoh dua tahun lalu apabila syarikat-syarikat menyesuaikan diri dengan COMPASS dan syarat gaji yang lebih tinggi," tambah kementerian itu.

Jumlah pertumbuhan pengambilan pekerja ialah 44,500 pada tahun lalu, turun daripada 78,800 pada 2023. Pengembangan pasaran buruh semakin perlahan mulai suku ketiga, mencecah 7,700 pada suku keempat.

PENGANGGURAN RENDAH, PEMBERHENTIAN PEKERJA BERKURANGAN

Kadar pengangguran kekal rendah dan stabil pada Disember 2024, pada 1.9 peratus secara keseluruhannya, 2.8 peratus untuk penduduk dan 2.9 peratus bagi rakyat tempatan.

Seramai 13,020 pekerja diberhentikan kerja pada tahun lalu, kurang daripada 14,590 pada 2023.

Sungguhpun demikian, pemberhentian pekerja meningkat daripada 3,050 pada suku ketiga kepada 3,680 pada suku keempat. Peningkatan ini terutamanya dalam perkhidmatan kewangan dan insurans kerana sebahagian besar firma memberhentikan pekerja disebabkan oleh kos yang tinggi.

Jumlah pekerja yang diletakkan dalam aturan minggu kerja yang pendek atau diberhentikan buat sementara waktu meningkat kepada 660. MOM menyatakan bahawa perangkaan itu masih rendah, pada tahap sebelum pandemik, iaitu kurang 1,000.

Kadar kemasukan semula ke pasaran pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas diberhentikan kerja turun sedikit, daripada 60.4 peratus pada suku ketiga kepada 58.1 peratus pada suku keempat.

MOM menarik perhatian bahawa ekonomi diunjurkan berkembang pada kadar yang lebih perlahan antara 1 hingga 3 peratus pada 2024, berikutan pergeseran perdagangan global yang berterusan dan potensi berlaku gangguan global.

“Berlatarbelakangkan ini, MOM menjangkakan pasaran buruh akan terus berkembang pada 2025, sekurang-kurangnya pada suku pertama 2025,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan media.

“Berdasarkan tinjauan MOM, jumlah majikan yang menjangkakan kenaikan gaji dan peningkatan pada jumlah pekerja dalam tempoh tiga bulan akan datang meningkat pada Disember 2024 berbanding September 2024.

"Bagaimanapun, sekiranya ketegangan perdagangan meningkat dan memperlahankan ekonomi Singapura, prestasi pasaran buruh mungkin hambar walaupun pasaran buruh ketat."
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita