Skip to main content

Singapura

Semakin ramai pembeli dari China tidak mungkin jejas harga hartanah SG

Anggaran Waktu Membaca:
Semakin ramai pembeli dari China tidak mungkin jejas harga hartanah SG

(Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 23 Feb 2023 07:51AM
SINGAPURA: Langkah-langkah COVID-19 yang dilonggarkan di China dijangka akan menyaksikan minat yang diperbaharui daripada warganya untuk membeli hartanah di Singapura, namun bukan dalam jumlah di mana ia akan banyak menjejas harga di sini, menurut para penganalisis hartanah.

Dengan China memansuhkan dasar sifar COVID-19 dan pelonggaran semua sekatan pandemik di Singapura, para pembeli dijangka kembali ke pasaran hartanah tempatan.

"Kami menjangkakan lebih ramai pembeli luar negara dan penduduk tetap untuk kembali ke pasaran hartanah Singapura, terutama sekali dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa China," jelas Cik Christine Sun, naib presiden kanan kajian dan analitik di OrangeTee & Tie.

"Ramai pembeli dari China mungkin mula melakukan perjalanan ke sini selepas cuti Tahun Baru Cina. Sebilangan mereka mungkin datang untuk bekerja, belajar atau menjalankan perniagaan. Ada juga mungkin menyewa sementara mereka mengambil masa untuk menyesuaikan diri di Singapura."

Encik Lee Sze Teck, pengarah kanan kajian di Huttons juga berkata para pembeli luar negara kini "sudah kembali pada bulan Januari", dengan 57 unit dibeli pada Januari, iaitu 58.3 peratus lebih tinggi berbanding bulan sebelumnya.

Sejak 10 tahun lalu, para pembeli dari China membentuk kumpulan paling besar pembeli luar negara bagi hartanah di sini.

Dalam jawapan bertulis di parlimen pada Januari, Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee berkongsi peratusan urus niaga hartanah perumahan privet oleh rakyat Singapura, pembeli luar negara, penduduk tetap dan syarikat sejak 10 tahun lalu.

Jumlah unit yang dibeli rakyat Singapura naik dari 73.7 peratus pada 2013 kepada 82.6 peratus pada 2021. Ia kemudian susut kepada 79.9 peratus pada 2022, iaitu serupa dengan paras sebelum COVID-19 pada 2019.

Namun begitu, meskipun minat yang diperbaharui dijangkakan, ia tidak mungkin akan memberi kesan yang banyak terhadap pasaran hartanah tempatan.

Ini memandangkan pembelian daripada pembeli luar negara membentuk jumlah kecil daripada urus niaga secara keseluruhannya, dedah Ketua Pegawai Eksekutif PropNex Ismail Gafoor.

Beliau juga merujuk kepada tahun lalu, di mana 78 peratus urus niaga perumahan privet bukan berhalaman dibeli oleh pembeli Singapura, dengan warga lain hanya membentuk 4.8 peratus.

Penduduk tetap Singapura pula membentuk sekitar 17.6 peratus penjualan.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita