Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Semakin ramai pembantu rumah hijrahan jadi mangsa kegiatan keldai wang haram

Anggaran Waktu Membaca:
Semakin ramai pembantu rumah hijrahan jadi mangsa kegiatan keldai wang haram

Ilustrasi: takayib/iStock

Diterbitkan : 27 Dec 2024 09:24PM Dikemas Kini : 27 Dec 2024 09:25PM
SINGAPURA: Pembantu rumah "Gina" berkenalan dengan seorang individu melalui aplikasi 'dating' pada 2018.

Mereka menjalin hubungan secara maya, tetapi kesudahannya tidak berakhir seperti yang diimpikannya apabila dia dijadikan sebagai keldai wang oleh sindiket haram.

Dia berkata: "Ia seolah-olah detik yang membahagiakan. Dan selepas itu dia memberitahu saya: 'Anda lihat, saya mempunyai perniagaan di negara yang anda tinggal sekarang dan saya memerlukan seseorang untuk membantu saya.'"

Gina, yang ketika itu berusia 31 tahun dan telah bekerja di sini selama kira-kira enam tahun, terpedaya dengan tipu muslihatnya.

Gina bertanya kepadanya mengenai bantuan yang diperlukan dan dia telah diminta untuk mengeluarkan wang yang telah dimasukkan ke dalam akaun banknya dan kemudian memindahkannya ke akaun lain.

Apabila dia kemudian cuba mengeluarkan gajinya, pihak bank memberitahunya bahawa akaunnya telah dibekukan. Dia seterusnya dihubungi oleh pihak polis dan majikannya juga telah dimaklumkan mengenai perkara itu.

Tanpa disedari, dia telah memindahkan hasil wang haram berjumlah kira-kira S$30,000.

Majikannya memarahi Gina dan membatalkan kontraknya. Gina akan dihantar pulang, tetapi seorang pekerja kes di Centre for Domestic Employees (CDE) membantunya untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu, sambil memberinya kaunseling dan sokongan emosi.

MASALAH KES PENIPUAN

Keldai wang biasanya melibatkan individu yang menyerahkan akaun bank mereka kepada penjenayah, atau yang menggunakan akaun mereka untuk menerima atau memindahkan wang atas arahan penjenayah, jelas Pasukan Polis Singapura (SPF) kepada Mediacorp.

Sindiket-sindiket penipuan biasanya mewujudkan rangkaian keldai wang untuk memudahkan jenayah mereka atau untuk melakukan pengubahan wang haram, tambah SPF.

Akaun bank keldai wang itu membentuk rangkaian berbilang akaun, di mana wang yang ditipu boleh dibahagikan kepada denominasi mata wang yang berbeza dan dipindahkan.

"Proses ini diulang berkali-kali, supaya wang itu melalui pelbagai lapisan akaun bank, dipindahkan keluar dari Singapura ke tangan sindiket haram," kata seorang jurucakap polis.

"Ini menyukarkan pihak berkuasa untuk memantau wang tersebut dan mengesan pelakunya."

Polis menambah bahawa pihaknya biasanya mengesan kegiatan keldai wang melalui maklumat yang diberikan oleh pihak bank, kerjasama dengan bank untuk mengenal pasti transaksi dan akaun bank yang mendedahkan tingkah laku keldai wang yang, serta perkongsian maklumat dan siasatan bersama dengan rakan-rakan sejawatan mereka dari luar negara.

Hampir S$400 juta hangus di tangan penjenayah pada separuh pertama tahun ini.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada Khamis (26 Dis), polis menyatakan pihaknya telah memberkas 189 penipu dan keldai wang dalam operasi yang dijalankan selama dua minggu di merata negara.

Para suspek dipercayai terlibat dalam lebih 1,000 kes, termasuk penipuan pelaburan, penipuan e-dagang dan penipuan pekerjaan, di mana mangsa dilaporkan kehilangan lebih S$6.65 juta.

Para suspek sedang disiasat atas tuduhan menipu, pengubahan wang haram atau menyediakan khidmat pembayaran tanpa lesen, yang membawa hukuman penjara dan denda.

KEBIMBANGAN KIAN MENINGKAT BERHUBUNG AMAH YANG JADI MANGSA

CDE, yang dikendalikan oleh Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) menyatakan bahawa meskipun ia tidak mempunyai sebarang data, namun berdasarkan maklum balas yang diterima daripada para sukarelawan yang mendampingi pembantu rumah, terdapat kebimbangan yang kian meningkat terhadap pembantu rumah hijrahan yang menjadi mangsa jenayah tersebut.

"Kami sedang memperhebatkan usaha dan cuba mendekati (mereka) untuk terus meningkatkan kesedaran (dalam kalangan mereka)," tekan Encik Michael Lim, pengarah cabang pekerja hijrahan itu yang menyelia CDE.

"Kami juga bekerjasama dengan pihak berkuasa dari segi melengkapi pembantu rumah dengan kesedaran antipenipuan, mendapatkan pandangan tentang beberapa trend baharu yang mungkin berlaku di luar sana," tambahnya.

Sungguhpun demikian, beliau berkata lebih banyak yang boleh dilakukan, termasuk menyekat akses pembantu rumah kepada "jenis perkhidmatan runcit yang lebih bersifat eksploitatif" seperti pelan ansuran tanpa faedah yang boleh memerangkap mereka ke dalam kitaran hutang dan menjadikan mereka terdedah kepada kegiatan haram.

Humanitarian Organization for Migration Economics (HOME), yang menyokong hak para pekerja hijrahan, menarik perhatian bahawa pihaknya telah menyaksikan lebih banyak kes pembantu rumah hijrahan disiasat gara-gara kegiatan keldai wang sejak dua tahun lalu.

APAKAH YANG BOLEH DILAKUKAN UNTUK BANTU AMAH?

Disebabkan tahap keseriusan kegiatan haram sedemikian, beberapa agensi pembantu rumah mengambil langkah berjaga-jaga tambahan untuk mendidik para pembantu rumah hijrahan. We Are Caring, misalnya, menyaring semua pembantu rumah apabila mereka dihantar ke Singapura, dan menganjurkan bengkel mingguan untuk melatih mereka mengesan kegiatan jenayah.

Terdapat juga saluran sokongan lain bagi para pembantu rumah. Pertubuhan bukan pemerintah Aidha, misalnya, menjalankan kursus percuma mengenai celik kewangan.

Bank-bank juga mendedahkan bahawa pihak mereka turut memainkan peranan dalam membantu usaha itu. DBS menyatakan meskipun sesiapa sahaja mungkin boleh menjadi keldai wang, kumpulan-kumpulan tertentu, seperti pelajar, individu yang lebih muda, dan pembantu rumah hijrahan, mungkin lebih terdedah disebabkan oleh pelbagai faktor, seperti mencari keuntungan yang pantas atau peluang pekerjaan yang kelihatan lumayan.

Bank tersebut menarik perhatian bahawa pihaknya membanteras kegiatan keldai wang secara proaktif menerusi pasukan antikeldai wang yang ditubuhkan pada September tahun lalu, yang bekerja rapat dengan pihak polis.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan