Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Semakin ramai buru ijazah dalam sektor keselamatan, permintaan meningkat didorong kedudukan SG sebagai hab global

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kursus profesional bagi sektor keselamatan di institut pengajian tinggi terus mendapat permintaan.

Di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) misalnya, Program Keselamatan Awam dan Keselamatan menyaksikan peningkatan hampir seganda dalam masa tiga tahun.

Pada 2020, jumlah peserta yang mahu meraih ijazah dalam sektor keselamatan menerusi program itu seramai 59 orang dan tahun lalu, jumlahnya meningkat kepada 102 mahasiswa.

Ini lebih-lebih lagi dengan perkembangan kemahiran dan ilmu teknologi baharu dalam bidang tersebut yang diperlukan untuk menghadapi ancaman keselamatan yang kian pelbagai dan sentiasa berubah.

Ketua Program Keselamatan Awam & Keselamatan di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), Profesor Madya Razwana Begum mendapati golongan pekerja dan penuntut dewasa juga mengikuti kursus itu untuk meningkatkan kemahiran masing-masing.

"Memang ada permintaan untuk pekerjaan dari segi ini (sektor keselamatan). Kalau kita lihat (sektor) keselamatan, kita perlu melihatnya secara luas daripada keselamatan makanan, pengangkutan, lapangan terbang dan banyak lagi. Jadi saya rasa rasa dari segi peningkatan permintaan untuk sektor keselamatan, ia mungkin boleh meningkat sehingga lebih 50 peratus sebab kita memerlukan kemahiran dalam bidang ini," kongsi Dr Razwana kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

"Dari sektor perniagaan, pembangunan infrastruktur dan juga untuk menghadapi ancaman keselamatan yang semakin pelbagai dan berubah-ubah. Jadi kalau kita lihat ancaman dari segi serangan pengganasan atau siber, kita memerlukan kemahiran bukan sahaja dari segi teknologi, malah dari segi keselamatan juga," tambah beliau.

Menurut kajian pasaran oleh Allied Market Research, pasaran bagi keselamatan privet bagi peringkat global dijangka meningkat lebih seganda dalam masa sedekad kepada A$531.5 bilion menjelang 2032.

PENTING TINGKATKAN DIRI UNTUK FAHAM & TANGANI ANCAMAN KESELAMATAN YANG RUMIT

(Gambar hiasan: AFP/Roslan Rahman)

Menjawab pertanyaan sama ada penting bagi pekerja dalam sektor itu meningkatkan dari sehingga ke peringkat siswazah, Dr Razwana berkongsi bahawa ia adalah penting untuk melakukan demikian lebih-lebih lagi dengan kepelbagaian ancaman keselamatan hari ini, dan sektor dan industri tersebut yang sentiasa berubah.

Ia termasuk keselamatan siber, infrastruktur dan makanan yang sudah menyaksikan perubahan.

"Penting untuk mereka dalam sektor keselamatan meningkatkan kemahiran mereka sehingga peringkat ijazah kerana mereka perlu memahami dan menangani ancaman keselamatan ini yang semakin kompleks, dengan kerumitannya yang sedang berubah," ujar Dr Razwana.

"Ia berubah dengan jangka masa yang cepat sekali, jadi kalau tidak ada pengetahuan yang mendalam dan kemahiran yang lebih tinggi, mereka akan rasa keliru. Jadi kalau kita ingin menjadikan perkhidmatan keselamatan yang berkesan dan proaktif untuk masyarakat dan pertubuhan, kita perlu ada pengetahuannya dan perlu belajar dengan lebih mendalam dan secepat mungkin untuk mengetahui risiko-risikonya," tambah beliau.

KHAIRUL RIDUAN ASMAN TINGKATKAN DIRI DALAM SEKTOR KESELAMATAN
 

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Selain di peringkat universiti, ada juga yang melanjutkan pengajian di peringkat diploma di politeknik-politeknik.

Antara individu yang mengambil kesempatan untuk meningkatkan dirinya dalam sektor keselamatan itu termasuk Encik Khairul Riduan Asman, 35 tahun.

Minatnya terhadap sektor itu kian mendalam apabila mula bekerja sambilan sebagai pegawai keselamatan.

Akur bahawa bidang keselamatan itu bukan sekadar kerja yang menuntut kekuatan fizikal sahaja, Encik Khairul terdorong untuk mengetahui lebih lanjut dalam bidang itu.

Beliau mengambil keputusan untuk meningkatkan lagi kemahirannya menerusi kursus keselamatan WSQ dengan Institut Industri Keselamatan (SII) serta diploma sambilan yang ditawarkan Politeknik Temasek (TP) dalam Pengajian Keselamatan dan Keselamatan Kebakaran pada 2017.

"Saya memilih untuk meningkatkan lagi kemahiran saya di Politeknik Temasek dalam bidang keselamatan kerana saya sedar akan pentingnya mempunyai pengetahuan dan kebolehan yang terkini dalam bidang yang berkaitan dengan keselamatan," kongsi Encik Khairul kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

"Dengan memperkukuhkan kemahiran saya dalam aspek ini, saya yakin saya boleh memberikan sumbangan yang lebih berkesan dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan individu serta masyarakat," tambahnya.

CABARAN IMBANGI WAKTU - KELUARGA, PELAJARAN DAN KERJA

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Meskipun menghadapi cabaran untuk mengimbangi waktu semasa program dua tahun setengah itu, Encik Khairul berjaya tangani segala cabaran dengan sistem sokongan yang ada.

"Cabaran terbesar sewaktu saya menyambung pelajaran ialah pasangan saya sedang mengandung (pada waktu itu). Jadi mengimbangi masa dalam pelajaran saya dan juga komitmen keluarga, itulah cabaran terbesar untuk saya pada waktu itu," ujar Encik Khairul.

Pada ketika itu, isterinya juga sedang sarat mengandung dan mempunyai lagi seorang anak kecil.

"Saya dapat mengatasinya dengan pertolongan dari keluarga saya yang lain dan juga rakan-rakan sekolah saya. Jika saya menghadapi masalah dalam pelajaran, rakan-rakan saya akan menolong saya dan juga mengulang kaji bersama saya jika saya ketinggalan sewaktu dalam kursus itu," tambahnya.

Bukan sahaja beliau berjaya menghabiskan diploma itu, malah ilmu dan kemahiran yang diraih Encik Khairul banyak membantunya dalam kerjaya.

"Saya telah meraih pemahaman yang lebih mendalam tentang prinsip-prinsip keselamatan serta kemahiran teknikal yang diperlukan dalam mengenalpasti dan mengurangkan risiko keselamatan," ujar Encik Khairul.

"Ini telah membantu saya untuk memperbaiki profil profesional saya dan membuka peluang untuk peningkatan kerjaya dalam bidang keselamatan," tambahnya.

BURU IJAZAH UNTUK TINGKATKAN PROFESIONALISME

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Semangat untuk terus meningkatkan ilmu dan pengetahuan dalam bidang tersebut masih kuat lagi.

Encik Khairul kini sedang memburu ijazah sambilan dalam Pengajian Pengurusan dan Keselamatan di Universiti Sains Sosial Singapura (SUSS) sambil menjalankan tugasnya sebagai Eksekutif Kanan di Institut Industri Keselamatan, Politeknik Temasek (TP-SII).

Beliau berharap untuk menceburi bidang keselamatan di peringkat Asia Pasifik satu hari nanti.

"Saya percaya bahawa penting untuk setiap individu terus meningkatkan kemahiran mereka dan melibatkan diri dalam pembelajaran sepanjang hayat. Dalam dunia yang sentiasa berubah dengan cepat, kemahiran dan pengetahuan yang diperbaharui adalah kunci kejayaan dan kerjaya," menurut Encik Khairul.

"Proses pembelajaran berterusan juga membantu kita untuk berkembang secara peribadi dan profesional, membolehkan kita menyesuaikan diri dengan cabaran baru dan menceburi peluang-peluang baru yang muncul," tambahnya.

Bagi SII, ini aspek penting yang amat dititikberatkan bagi melengkapi para peserta programnya dengan kemahiran yang relevan dengan perkembangan semasa sektor itu.

"Program Pendidikan dan Latihan Berterusan (CET) yang ditawarkan TP direka untuk melengkapi pelajar dengan kemahiran yang relevan dan pengetahuan industri untuk berjaya dalam pasaran kerja yang berkembang dengan cepat," kongsi Ketua SII, Encik Faizal Zainal kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

Program-program tersebut bertujuan untuk memenuhi keperluan pelbagai kumpulan pelajar, seperti individu yang mencari kerjaya baru," tambahnya.

TINGKATKAN PROSPEK KERJAYA SESEORANG

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Bagi Encik Faizal, pensijilan yang diraih menerusi program itu dapat tingkatkan lagi profesionalisme industri tersebut dan prospek tangga kejayaan seseorang.

"Ini memastikan bahawa individu memiliki pengetahuan, kemahiran dan standard etika yang diperlukan dalam industri untuk menjalankan peranan mereka secara berkesan.

Ia juga memberi keyakinan kepada majikan bahawa individu itu telah menjalani latihan dan penilaian yang ketat dalam bidang-bidang kepakaran masing-masing."

Program CET itu juga selaras dengan penekanan Singapura terhadap kepentingan pelaburan dalam Pembangunan Modal dan menggalak budaya pembelajaran sepanjang hayat dengan terus meningkatkan kemahiran.

SINGAPURA SEBAGAI HAB GLOBAL; DORONG PERMINTAAN YANG SEMAKIN MENINGKAT UNTUK SEKTOR KESELAMATAN

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Malah, dengan Singapura kini menjadi hab global, ia juga mendorong permintaan yang semakin meningkat untuk sektor keselamatan di negara ini.

"Berdasarkan kedudukan Singapura dan statusnya sebagai pusat serantau, terdapat risiko keselamatan yang meningkat. Ini meningkatkan keperluan untuk profesional yang berkelayakan untuk melindungi aset penting, infrastruktur dan maklumat," ujar Encik Faizal.

Perkara tersebut turut diakui Dr Razwana.

(Gambar: AFP)

"Singapura merupakan salah satu daripada pusat perdagangan utama di dunia dengan pelabuhan sibuk dan aktiviti perdagangan yang melibatkan pelbagai negara. Permintaan untuk keselamatan dan perlindungan di pelabuhan, kawasan perindustrian dan sektor perdagangan semakin meningkat dengan meningkatnya aktiviti perdagangan antarabangsa," jelas Dr Razwana.

"Kalau kita lihat dalam sektor kewangan dan perbankan, Singapura sebagai satu pusat kewangan, menarik pelbagai institusi kewangan antarabangsa dan perlindungan aset dan maklumat sensitif menjadi kritikal dalam industri ini. Pelancongan dan hospitaliti kita juga masih meningkat di Singapura dan sebagai industri pelancongan dan hospitaliti, kita perlu juga melindungi pelancong kita yang datang ke sini," menurutnya lagi.

Dr Razwana menambah bahawa Singapura perlu dilihat sebagai 'Smart City' atau Bandar Bijak yang menggunakan teknologi dan inovasi dalam pelbagai sektor dan itu juga memerlukan pakar keselamatan.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan