Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Semakin ramai ambil bantuan profesional (bukan amah) untuk jaga warga emas di rumah

Mereka memberi khidmat menjaga orang tua tapi mereka bukan amah. Ada yang berkelulusan diploma atau sarjana muda berkaitan perubatan dan penjagaan. Yang pasti permintaan bagi khidmat jagaan khas seperti ini, kian melonjak

Anggaran Waktu Membaca:
Semakin ramai ambil bantuan profesional (bukan amah) untuk jaga warga emas di rumah

Gambar fail TODAY.

Diterbitkan : 25 Apr 2021 10:55PM Dikemas Kini : 25 Apr 2021 11:01PM

SINGAPURA: Sheila Ofalia datang ke Singapura dari Filipina untuk bekerja lima tahun lalu. Tetapi tidak seperti kebanyakan wanita dari negaranya, Cik Ofalia bukan seorang pembantu rumah. Dia adalah seorang penjaga yang tinggal sebumbung.

Sejak tiga tahun lalu, wanita berusia 30 tahun itu menjaga seorang wanita berusia 93 tahun yang mesra dia panggil "mama". Tugas utama Cik Ofalia adalah menjaga wanita itu yang tinggal sendirian dengannya.

Cik Ofalia memang dilatih bagi peranan itu setelah tamat kursus sebagai pembantu jururawat di negara asalnya. Dia kemudian bekerja sebagai penjaga duduk serumah di Filipina selama lebih setahun untuk menimba pengalaman sebelum memohon untuk ke Singapura.

Cik Ofalia adalah salah seorang daripada 1,600 penjaga yang tinggal serumah di Singapura, kata Encik Teo Koon Cho, ketua eksekutif Active Global Specialized Caregivers, satu-satunya agensi yang menawarkan khidmat tersebut. Jumlah ini lebih sedua kali ganda berbanding 700 penjaga yang diambil bekerja pada 2018.

"Kami menyaksikan peningkatan tetap permintaan untuk penjagaan khas bagi warga emas," kongsi Encik Teo.

Penjaga yang tinggal serumah dibawa ke Singapura dengan permit kerja seperti pembantu rumah hijrahan.

MENGAMBIL MEREKA KERJA

Cik Jade Tang, 62 tahun, menggajikan Cik Ofalia untuk menjaga ibunya setelah wanita berusia 93 tahun mengalami serangan angin ahmar ringan. Wanita tua itu juga tidak boleh berjalan.

Cik Tang memberitahu Mediacorp ibunya juga menghidapi pelbagai masalah kesihatan lain.

"Oleh sebab semua keadaan ini, anda memerlukan seseorang yang memiliki setidak-tidaknya latar belakang kejururawatan yang dapat mengenal pasti gejala, atau tanda-tanda amaran. Pembantu rumah (biasa) tidak dilatih untuk semua itu," katanya.

"Seorang pembantu rumah biasanya dapat menguruskan tugas harian seperti memandikan dan memberi makan, tetapi mengapa saya lebih suka penjaga khas seperti Cik Ofalia adalah aspek kejururawatan dan perubatan, kerana dia sentiasa memerhatikan simptom... dan juga tanda-tanda amaran UTI (jangkitan saluran kencing)," kata Cik Tang.

Cik Ofalia juga memasak dan melakukan sedikit kerja-kerja pembersihan sebagai sebahagian daripada bidang kerjanya.

PERBEZAAN ANTARA AMAH DENGAN PENJAGA KHAS

Encik Teo dari Active Global berkata adalah penting untuk mengupah orang terlatih untuk menjaga warga emas jika mereka mempunyai keadaan khusus yang memerlukan perhatian dan mempunyai keperluan tertentu.

Ini termasuk bantuan dengan kegiatan kehidupan seharian, penjagaan khusus untuk keadaan kesihatan tertentu dan rutin senaman, katanya.

"Apabila menjaga seseorang dengan keadaan perubatan, sangat penting untuk penjaga mempunyai latihan yang tepat, kerana mereka akan mengetahui tindakan yang tepat pada masa-masa kecemasan, ”katanya.

Beliau menambah bahawa pembantu rumah sering perlu mengimbangi banyak tugas.

"Untuk mengharapkan mereka menggalas tanggungjawab untuk menjaga seseorang dengan keadaan perubatan dengan betul boleh membebankan kerana mereka tidak dapat memberikan tumpuan dan perhatian yang diperlukan," katanya.

Penjaga khas yang tinggal serumah adalah "pengasuh profesional yang berkelayakan dan fokus terhadap memberi rawatan pesakit yang bermutu", katanya.

MEREKA ADA KEMAHIRAN, KEWIBAWAAN BANTU PESAKIT PULIH

Encik Teo menambah bahawa merangsang dan mendorong pesakit untuk mengikuti rutin senaman, dan mendorong mereka untuk menjadi lebih berdikari "sering mencabar bagi seorang pembantu atau anggota keluarga", katanya.

"Tidak seperti pembantu rumah tangga, penjaga khas memiliki latihan dan kewibawaan untuk mengetahui bagaimana untuk 'mendorong' pesakit lebih lanjut, yang membantu mereka pulih lebih cepat. Ini perlukan keseimbangan antara penyayang dan perangsang, yang hanya seseorang yang mempunyai latihan jururawat bertahun-tahun yang tahu bagaimana untuk melakukannya,” katanya.

Active Global merekrut dan melatih jururawat dan pembantu jururawat asing dari Myanmar, Sri Lanka, India, Filipina dan Indonesia untuk bekerja sebagai penjaga serumah di sini, tambah beliau.

Para penjaga di bawah agensi itu semuanya berkelulusan ijazah, diploma dan sijil dalam bidang kejururawatan atau pengasuhan di negara asal mereka dan dipilih setelah menjalani "proses wawancara yang ketat" oleh perekrut jururawat kami, kata Encik Teo.

Penjaga yang tinggal serumah mempunyai kontrak langsung dengan majikan mereka selama dua tahun, dan boleh menerima gaji antara S$600 hingga S$1,200 sebulan berdasarkan tahap kemahiran mereka.

KHIDMAT IKUT JAM, TIDAK TINGGAL SERUMAH

Agensi-agensi lain yang menyediakan khidmat jagaan sepanjang masa melalui giliran 12 jam seperti Homage dan Caregiver Asia turut menyaksikan peningkatan permintaan.

Agensi-agensi seperti ini menggajikan pekerja bebas warga Singapura dan penduduk tetap untuk tugas penjagaan dan khidmat lain seperti teman jagaan dan terapi. Klien boleh memilih jenis khidmat yang mereka perlukan, dan jangka masa yang mereka perlukan.

Caregiver Asia menyatakan bahawa sekitar 20 hingga 25 peratus permintaan jagaan kejururawatan adalah untuk khidmat sepanjang masa, meningkat dari 10 hingga 15 peratus tiga tahun lalu.

Antara sebab peningkatan permintaan adalah peningkatan kesedaran mengenai kelelahan penjaga dan pilihan yang ada, penduduk yang semakin menua dengan penjaga dalam kalangan anggota keluarga yang juga berumur dan tidak larat menjaga ibu bapa yang lanjut usia, serta kesukaran untuk mengambil pembantu rumah hijrahan baru kerana COVID-19, kata seorang jurucakap.

LEBIH RAMAI PENDUDUK BERPENYAKIT KRONIK

Ketua eksekutif Homage, Gillian Tee berkata bahawa sejak 2018 hingga sekarang, "kami telah melihat pertumbuhan 10 kali ganda permintaan untuk penjagaan di rumah secara amnya".

Seiring dengan penduduk yang makin menua, Cik Tee menarik perhatian bahawa terdapat peningkatan jumlah penduduk yang berpenyakit kronik.

"Ini menghasilkan pertumbuhan pesat bilangan warga emas yang memerlukan bantuan penjagaan jangka panjang dengan kegiatan kehidupan seharian mereka dan selain itu juga, khidmat menyeluruh yang memenuhi keperluan perubatan dan bukan perubatan," katanya.

Di Homage, khidmat penjagaan sepanjang masa berharga dari S$19 setiap jam, bergantung pada kerumitan jenis jagaan yang diperlukan, sementara di Caregiver Asia, khidmat 24 jam biasanya berharga sekurang-kurangnya S$576.

Bagi Cik Tang, menggajikan Cik Ofalia untuk menjaga ibunya yang lanjut usia menelan kos "beberapa ratus (dolar) lebih" daripada seorang pembantu rumah, namun baginya perbelanjaan itu berbaloi.

“(Cik Ofalia) bijak dan bertanggungjawab, dan ini adalah penting kerana ia memberi saya ketenangan, kerana saya tidak tinggal dengan ibu saya," kata beliau.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan