Semakin genting untuk ASEAN perkukuh integrasinya, kata PM Wong
(Gambar: NHAC NGUYEN / AFP)
SINGAPURA: Perdana Menteri Lawrence Wong berkata, masanya kini lebih genting lagi untuk ASEAN memperkukuh integrasinya, bagi menguatkan suaranya di pentas global di tengah-tengah persaingan geopolitik.
Untuk kekal berkesan kata beliau, ASEAN perlu mengutamakan kerjasama dengan rakan-rakannya - bukan secara sedirian.
Demikian rumusan PM Wong semasa menggulung Sidang Puncak ASEAN beliau yang pertama di Laos.
Perbincangan tiga hari yang cukup berhasil, baik di kalangan negara-negara ASEAN, mahupun dengan rakan lain.
PM Wong berkata, ada kemajuan positif untuk mempercepat integrasi serantau.
Usaha mendekati rakan lain seperti China dan Korea Selatan, juga mencatat kemajuan dalam usaha menggalak dagangan bebas.
PM Wong berkata: "Kita melihat lebih banyak penekanan terhadap kepentingan keselamatan, bermakna negara di mana-mana memikirkan tentang perlindungan - lebih banyak perlindungan perdagangan.
"Jadi saya rasa penting untuk ASEAN dan rakan-rakan ASEAN menunjukkkan bahawa ada cara lain untuk kita bekerjasama dan meraih manfaat daripada integrasi lebih luas - bukan dengan lebih banyak pemencilan. Kita boleh meraih manfaat daripada kerjasama saling menguntungkan serta dagangan bebas."
PM Wong turut mengimbas peranan penting ASEAN sejak beberapa dekad lalu, selain menekankan peri pentingnya bagi blok serantau itu untuk bersikap realistik tentang tahap keupayaannya.
Beliau menggunakan perang saudara di Myanmar sebagai contoh di mana konflik masih berlarutan.
Jadi, dialog membina perlu terus menerus disokong katanya.
Sidang Puncak ASEAN kali ini merupakan yang pertama bagi Encik Wong selaku Perdana Menteri.
Walau pernah menghadiri acara sedemkian sebelumnya, ini adalah kali pertama beliau duduk di meja utama.
PM Wong berkongsi, interaksi dengan para pemimpin yang hadir paling bermakna, terutama dalam meningkatkan perpaduan ASEAN.
"Kebanyakan perbincangan berlaku di luar bilik mesyuarat, di mana kami berinteraksi secara tidak formal. Ada secara dua hala, namun kebanyakannya semasa waktu rehat, semasa waktu makan. Dalam tempoh dua, tiga hari, ia cukup intensif di mana semua pemimpin bersama-sama, berinteraksi antara satu sama lain. Saya dapati ia peluang sangat berguna untuk membina hubungan dengan rakan-rakan sejawatan," tambah PM Wong.
Ini termasuk pelbagai program dua hala bersama para pemimpin Laos, selepas Sidang Puncak ASEAN ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.