Semakin banyak klinik GP, poliklinik dilatih tawar khidmat kesihatan mental
Sekitar 480 Klinik Doktor Swasta (GP) di seluruh Singapura telah menjalani latihan untuk mendiagnosis dan merawat pesakit kesihatan mental.
Satu lukisan yang dipamerkan di satu pameran mengenai budaya dan kesihatan mental, yang dibuka pada hari biasa hingga hujung Oktober ini di pusat SAMH Space2Connect.
Begitu juga bagi 22 daripada 26 poliklinik merata negara yang dilengkapi dengan latihan dan kemahiran untuk menyediakan khidmat kesihatan mental, sedang Singapura berusaha untuk membina rangkaian sokongan yang meluas dalam masyarakat.
Menjelang 2030, semua doktor keluarga di bawah program SG Lebih Sihat dan semua poliklinik akan dapat berbuat demikian.
Usaha ini tertakluk di bawah strategi kesihatan mental dan kesejahteraan negara yang dilancarkan tahun lalu untuk mengembangkan kapasiti khidmat kesihatan mental untuk memberikan sokongan holistik dan tepat pada masanya kepada golongan yang berisiko.
AKSES LEBIH MUDAH KEPADA JAGAAN KESIHATAN MENTAL
Pakar perubatan keluarga Dr Mark Yap berkata dengan mendekatkan khidmat sedemikian dengan rumah orang ramai, mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental mungkin berasa lebih digalakkan untuk mendapatkan bantuan.
Pesakit mungkin berasa lebih selesa di klinik, daripada pergi ke Institut Kesihatan Mental (IMH), yang boleh mencetuskan kebimbangan dibelenggu stigma, tambah Dr Yap.
Doktor Cashew Medical and Surgery di Bukit Panjang itu berkata: “Dengan berbuat demikian, ia akan menjadikan klinik GP sebagai rakan kongsi, ia akan membolehkan lebih ramai pesakit mendapatkan bantuan tepat pada masanya.”
Profesor Madya Swapna Verma berkata membina dan mengukuhkan khidmat kesihatan mental dalam masyarakat penting kerana pengesanan awal dan campur tangan boleh membawa kepada pencegahan.
"Campur tangan awal membuat perbezaan besar kepada pemulihan," kata pengerusi Lembaga Perubatan IMH semasa diwawancara dalam rancangan Singapore Tonight terbitan CNA.
"Dengan menjadikan jagaan lebih mudah diakses dan mudah, orang ramai akan mendapatkan bantuan lebih awal, dan ia berupaya menghalang keadaan mereka daripada menjadi lebih serius ... dan menghalang mereka daripada memerlukan rawatan di hospital atau jagaan pakar."
SOKONGAN MASYARAKAT
Selain itu, individu yang berisiko mengalami keadaan kesihatan mental boleh beralih kepada pasukan mendekati masyarakat untuk mendapatkan sokongan.
Bagi mereka yang menunjukkan gejala sederhana, klinik-klinik GP akan bekerjasama dengan pasukan intervensi masyarakat untuk menyediakan khidmat penilaian, intervensi terapeutik psikososial, kaunseling dan rawatan perubatan.
Menjelang 2030, Kementerian Kesihatan (MOH) merancang untuk memperluaskan bilangan pasukan mendekati masyarakat dan pasukan intervensi masing-masing kepada 90 dan 50, termasuk 15 pasukan setiap satu untuk golongan belia.
Antara beberapa agensi khidmat sosial yang terlibat dalam inisiatif tersebut ialah Persatuan Kesihatan Mental Singapura (SAMH).
Pertubuhan bukan untuk mengaut untung itu menjalankan aktiviti pendidikan dan program mendekati masyarakat mengenai kesihatan mental, dan menyediakan khidmat kaunseling online dan di sembilan lokasi merata Singapura.
Salah satu program intervensi terapeutik kreatifnya ialah terapi seni, di mana peserta meluahkan dan memproses pemikiran dan emosi mereka melalui seni.
Pusat SAMH Space2Connect di Maude Road kini menganjurkan pameran yang mempamerkan karya seni unik daripada 12 belia tentang bagaimana pengalaman budaya dan zaman kanak-kanak telah membentuk kesejahteraan mental mereka.
Pengarah Eksekutif persatuan itu Ngo Lee Yian berkata golongan belia itu menjalani proses pembikinan seni selama tiga bulan, disokong oleh eksekutif program yang terlatih dalam terapi seni.
"Mereka cuba mengakses ingatan mereka, bagaimana mereka melalui zaman kanak-kanak mereka, dan mereka menghasilkan pelbagai modaliti seni untuk mengekspresikan diri mereka," katanya.
PENCEGAHAN KESIHATAN MENTAL
Sekurang-kurangnya satu daripada tujuh orang di Singapura telah mengalami gangguan mental, menurut tinjauan kesihatan mental terakhir MOH pada 2016.
Isu kesihatan mental yang paling biasa dihadapi rakyat Singapura termasuk gangguan kemurungan utama, gangguan bipolar, gangguan kebimbangan umum, gangguan obsesif kompulsif dan gangguan penggunaan alkohol.
Prof Madya Verma berkata kebimbangan timbul mengenai peningkatan kadar penyakit mental, terutamanya berikutan pandemik COVID-19, dan khususnya dalam kalangan belia.
"Orang ramai kadang-kadang melihatnya sebagai kelemahan peribadi, atau mereka merasakan bahawa pesakit yang mengalami penyakit mental adalah berbahaya. Itu menimbulkan banyak stigma. Orang yang mengalami penyakit mental kemudian bimbang tentang pandangan masyarakat terhadapnya, dan menangguhkan keputusan untuk mendapatkan bantuan,” katanya.
Beliau menambah bahawa kesedaran sangat penting untuk memudahkan pengesanan awal.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.