Skip to main content

Singapura

Semakin banyak kapal dengan kargo bahan terlarang dikesan di perairan SG

Kapal-kapal tangki mencurigakan yang membawa minyak yang dikenakan sekatan dan barangan terlarang lain semakin banyak dikesan di perairan sekitar Singapura, menimbulkan keprihatinan keselamatan di salah satu laluan pelayaran paling sibuk di dunia.
Anggaran Waktu Membaca:
Semakin banyak kapal dengan kargo bahan terlarang dikesan di perairan SG
Kapal-kapal di Selat Singapura pada 3 April 2019. (Gambar fail: REUTERS/Henning Gloystein)
SINGAPURA: Kapal-kapal tangki mencurigakan yang membawa minyak yang dikenakan sekatan dan barangan terlarang lain semakin banyak dikesan di perairan sekitar Singapura, menimbulkan keprihatinan keselamatan di salah satu laluan pelayaran paling sibuk di dunia.

Perang di Ukraine dan Timur Tengah mendorong lebih banyak kapal-kapal sedemikian ke rantau ini, menurut para pemerhati.

Data terbaharu daripada syarikat perisikan maritim Lloyd’s List Intelligence menunjukkan sekurang-kurangnya 27 kapal sedemikian melalui Selat Singapura setakat Khamis (4 Dis), dengan lagi 130 berada di Kepulauan Riau yang berhampiran.

Kapal-kapal tersebut membawa kargo yang dikenakan sekatan, biasanya menggunakan identiti yang dicuri dan taktik lain untuk menyelindung aktiviti mereka serta mengelak daripada dikesan.

Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA) menyatakan ia memantau pergerakan kapal-kapal dan aktiviti-aktiviti pemindahan antara kapal di perairannya.

SALURAN PERAIRAN YANG PENTING SECARA STRATEGIK

Selat Singapura merupakan nadi utama perdagangan maritim global.

Lebih 80,000 kapal melaluinya setiap tahun, membawa kira-kira sepertiga daripada barang dagangan dunia.

Walaupun pada dasarnya tiada yang kelihatan luar biasa, pemerhati kapal seperti Remy Osman menyedari peningkatan dalam jumlah kapal-kapal haram tersebut.

“Apabila saya mulakan hobi ini, hampir tiada satu pun yang saya lihat. Tetapi sejak setahun dua kebelakangan ini, saya melihat mereka hampir setiap hari,” kata beliau.

“Itu kerana sejak perang Ukraine bermula, dan kemudian (dengan) segala yang berlaku melibatkan Iran dan Timur Tengah, semakin banyak kapal yang dikenakan sekatan kerana mengambil minyak dari negara-negara tersebut lalu mengeksportnya.”

Encik Remy memberitahu Mediacorp bahawa kapal-kapal sedemikian lazimnya kerap menukar bendera, memalsukan butiran pendaftaran dan kadangkala mematikan sistem pengesanan bagi memastikan kargo yang dikenakan sekatan dapat terus bergerak.

Kapal-kapal armada bayangan itu melalui Singapura hampir setiap hari, biasanya menuju ke perairan antarabangsa di Laut China Selatan, di timur Malaysia.

Di sana, mereka melakukan pemindahan minyak dan barangan lain dari kapal ke kapal – selalunya pada waktu malam dan dengan pengawasan minimum.

Untuk mengelakkan daripada dikesan, banyak kapal memalsukan lokasi agar kapal itu kelihatan seolah-olah berada di perairan Singapura walaupun beroperasi jauh dari rantau itu.

Mereka juga berlindung di sebalik bendera yang mudah dipergunakan, memilih pendaftaran di negara-negara dengan pengawasan yang longgar, sekali gus menyukarkan tindakan penguatkuasaan dan menimbulkan kesulitan dalam hal-hal berhubung insurans.

“Mereka kini didaftarkan di negara tanpa pantai atau negara kecil yang langsung tidak mempunyai kapasiti untuk mengawal selia, dan mereka pun tidak berminat untuk mengawal selia,” kata Profesor Emeritus Robert Beckman, ketua program undang-undang laut dan dasar lautan di Pusat Undang-Undang Antarabangsa, Universiti Nasional Singapura.

“Mereka melakukannya semata-mata untuk mendapatkan keuntungan,” kata beliau dalam program Singapore Tonight CNA.

GUNAKAN IDENTITI YANG DICURI

Sesetengah kapal yang membentuk armada bayangan mengekalkan nama asalnya namun belayar di bawah sekatan atau tanpa memiliki insurans yang sah.

Kapal-kapal lain pula merupakan “kapal zombi” yang menggunakan identiti kapal yang sudah dilupuskan, menjadikannya sukar untuk dijejak.

Setiap kapal yang berada atau melalui Singapura mesti menyiarkan identiti dan laluannya menggunakan Sistem Pengenalan Automatik (AIS), yang menghantarkan maklumat penting – termasuk nama kapal, nombor pendaftaran, tempat asal dan destinasi – kepada penguasa pelabuhan, penjejak-penjejak global dan kapal-kapal berhampiran.

Namun AIS boleh dikonfigurasi secara manual, menjadikannya mudah terdedah kepada manipulasi.

Pengendali armada bayangan boleh memprogram semula AIS kapal untuk menghidupkan kembali identiti kapal yang sudah dilupuskan.

Kapal zombi mungkin mengecat semula badan kapal, menukar bendera dan menggunakan nama baharu bagi menyerupai kapal yang sah dan menyelinap ke dalam trafik maritim, walaupun mereka mengangkut minyak dari negara-negara yang dikenakan sekatan seperti Rusia dan Iran.

KESAN YANG TIDAK DIJANGKA

Walaupun kebanyakan daripada kapal-kapal mencurigakan itu melalui kawasan selat tanpa melakukan sebarang persinggahan, persoalan timbul mengenai apa yang boleh dilakukan oleh Singapura.

“Apa yang mereka lakukan sebenarnya ialah menggunakan hak laluan yang sah melalui Selat Singapura,” kata Encik Mathiew Rajoo, rakan kongsi di syarikat undang-undang maritim dan komersial DennisMathiew.

“Anda perlu ingat bahawa Selat Singapura sebenarnya menggunakan skim pemisahan trafik yang diguna pakai oleh Pertubuhan Maritim Antarabangsa,” tambahnya, merujuk kepada sistem laluan yang menguruskan pergerakan kapal yang bergerak dalam arah bertentangan.

Walaupun kebanyakan kapal armada bayangan melintasi selat tanpa sebarang kejadian, para penganalisis berkata kapal-kapal itu bertindak sebagai “pengganda risiko” di salah satu laluan pelayaran paling sibuk di dunia.

Kebimbangan lebih besar timbul jika kapal-kapal yang biasanya tidak mempunyai insurans itu terbabit dalam kemalangan, kata Encik Mathiew, yang boleh membawa kepada kejadian seperti tumpahan minyak.

Satu tumpahan minyak besar boleh menelan kos sehingga AS$1.6 bilion (S$2.07) untuk tindak balas dan pembersihan sahaja.

Di Asia Tenggara, kos pembersihan dianggarkan sekitar AS$16,000 (S$20,724.80) bagi setiap tan minyak.

Namun mengubah undang-undang antarabangsa bukanlah sesuatu yang mudah.

“Ketika Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut dipersetujui oleh pihak-pihak berkaitan, ketika itu isu armada bayangan ini belum wujud,” kata Encik Mathiew.

“Isu ini tidak terlintas dalam fikiran mereka,” tambah beliau.

“Jadi mungkin cara terbaik adalah untuk meminda konvensyen tersebut untuk menangani risiko sebegini, kerana ia merupakan risiko sebenar, dan kita tidak mampu menghadapi pencemaran akibat armada bayangan.”

Singapura melaksanakan sepenuhnya resolusi PBB, termasuk sekatan yang dikuatkuasakan melalui undang-undang domestik, dan MPA memantau semua pergerakan kapal di perairan Singapura.

Pemindahan dari kapal ke kapal tanpa kelulusan MPA juga tidak dibenarkan, dan Singapura bekerjasama dengan negara-negara jiran untuk membanteras aktiviti maritim haram di Selat Melaka dan Singapura.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita