Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Semakin banyak F&B Melayu/Islam dapatkan sijil halal MUIS

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Restoran Hjh Maimunah sudah tidak asing lagi dalam kalangan pelanggannya  dengan sajian masakan tradisional ala kampung.

Ia milik pengusaha Melayu/Islam dan status halal restoran itu tidak pernah dipertikaikan namun timbul tanda tanya apabila pihak restoran memohon untuk mendapatkan sijil halal MUIS.

RESTORAN HJH MAIMUNAH SUDAH 10 TAHUN DAPATKAN SIJIL HALAL MUIS

"Sebenarnya  pelanggan kami tidak pernah mempersoalkan tentang status halal kami. Namun apabila kami memohon sijil halal, mereka mula tertanya-tanya. Sebenarnya kami dapati apabila kami disahkan halal ia membantu dengan perniagaan.

"Kami sudah dapatkan sijil halal sejak lebih 10 tahun lalu dan ini kerana, kami hendak buat projek katering. Jadi pemerintah memang minta sijil halal pada masa itu," kongsi Ketua Pegawai Eksekutif Hjh Maimunah Group Cik Mastura Didih kepada BERITAmediacorp.

Tambah beliau, profil pelanggannya berbeza-beza dan bukan semua pelanggan mengenali Hjh Maimunah sebagai sebuah syarikat milik Melayu/Islam.

"Kami mempunyai ramai pelanggan beragama lain yang ingin makan bersama teman-teman mereka yang beragama Islam dan mereka ingin pastikan makanan yang kami sajikan adalah benar-benar halal.

"Selain itu, terdapat ramai juga pelanggan Muslim bukan Melayu yang tidak mengenali sejarah restoran kami," kata Cik Mastura.

(Gambar: Rosli Razak/BERITAmediacorp)

Kini, semua cawangannya mempunyai sijil halal MUIS, dengan cawangan terbaru Hjh Maimunah Mini di Yishun sedang dalam proses mendapatkannya.

"Bila kami sudah dapatkan sijil halal untuk jenama Hjh Maimunah, barang jualan lain yang menggunakan nama Hjh Maimunah mesti ada sijil halal, sebab MUIS perlukan ia konsisten, jadi pelanggan tidak keliru," tambah Cik Mastura 

BURGS DAPATKAN SIJIL HALAL TAHUN INI

Rangkaian burger tempatan Burgs pula mula mendapatkan sijil halal MUIS pada tahun ini.

(Gambar: Rosli Razak/BERITAmediacorp)

Menurut pengasas bersamanya Encik Muhd Shah Indra Jasni, masih ada pelanggan Melayu/Islam yang was-was akan status halal rangkaian burger itu

"Selama empat tahun beroperasi masih ada pelanggan Melayu/Islam tanya kami kalau "halal certified" atau tidak. Ada lebih kurang 50 pekerja tetapi yang Melayu/Islam, ada 30 orang. Jadi, bila pelanggan datang dan lihat pekerja Cina, mereka akan musykil sikit, jadi itu adalah salah satu sebab," kata Encik Mud Shah.

(Gambar: Rosli Razak/BERITAmediacorp)

MASYARAKAT SEMAKIN PRIHATIN TENTANG MAKANAN HALAL

Ketua Pegawai Eksekutif dan Konsultan Utama Halal Hub Consultants Ustaz Azmi Abdul Samad berkata semakin banyak syarikat Melayu/Islam yang mahu memastikan jaminan halal dan mutu makanan yang disediakan, di samping meningkatkan keyakinan pengguna.

Ia termasuk pengilang makanan, syarikat katering dan juga restoran.

"Kalau dibandingkan dengan beberapa tahun lalu memang ada peningkatan. Peningkatan dalam yang setahun mungkin kita boleh melihat dalam lebih kurang 10 syarikat Melayu/Islam yang mohon sijil halal.

"Masyarakat kita sekarang lebih peka dan prihatin tentang melanggani restoran halal. Mereka bimbang walaupun ia milik orang Islam sebahagian daripada cef ataupun sebahagian pemilik gerai tersebut mungkin tidak memahami sebahagian ramuan yang digunakan. Kadang kala tanpa mereka sedari mereka boleh menggunakan bahan makan yang tidak halal," jelas beliau.

Tambah beliau, sering kali syarikat penyedia makanan milik Islam terutama yang membekalkan ke premis-premis yang disahkan halal perlu akur dengan peraturan ketat yang ditetapkan MUIS dan pensijilan yang mereka ada sebagai pembekal membantu mengurangkan sebarang keraguan.

SANTAN BY AUNTIE BEDAH MULA PROSES DAPATKAN SIJIL HALAL MUIS

(Gambar: Rosli Razak/BERITAmediacorp)

Satu lagi syarikat milik Melayu/Islam Santan by Auntie Bedah sedang dalam proses mendapatkan sijil halal.

"Kami membekalkan kuih muih kami ke banyak kedai yang mempunyai sijil halal dan juga melakukan katering kepada agensi-agensi pemerintah. Tidak semua pegawai yang memproses tender projek yang memahami status kami sebagai sebuah syarikat Melayu/Islam dan mengikut kriteria yang ditetapkan dengan ketat. Jadi lebih baik untuk kita dapatkan semua sijil yang perlu supaya perniagaan kami lebih unggul," kata pemiliknya Cik Nadirah Hassan.

KELEBIHAN SIJIL HALAL UNTUK TEMBUS PASARAN HALAL LUAR NEGARA

Bagi Burgs dan Hjh Maimunah, sijil halal MUIS yang secara umumnya diiktiraf di peringkat antarabangsa bersesuaian dengan rancangan syarikat untuk meneroka pasaran antarabangsa.

"Bagus untuk kami mempunyai sijil halal, jadi kalau kami ingin membuka cawangan di Indonesia, Malaysia sebagai satu jenama," kata Encik Muhd Shah.

Cik Mastura berkata, syarikatnya sedang dalam proses meluaskan kilang bagi menambah kapasiti pengeluarannya.

(Gambar: Rosli Razak/BERITAmediacorp)

"Kami sebenarnya mula membuat makanan beku dan juga pes kerana ada permintaan dari pelanggan, terutama sekali pelanggan yang menetap di luar negara. Sekarang kami ada empat produk beku. Kami ada empat jenis pes dan sambal. Jadi kami mahu mengembangkan pilihan makanan beku, pes dan sambal," kongsi beliau sambil menambah ada rancangan untuk mengeksport pasaran makanan siap saji yang dibekukan ke rantau Asia Tenggara, Australia  dan Timur Tengah mulai tahun depan.

(Gambar: Rosli Razak/BERITAmediacorp)

Menjawab pertanyaan BERITAmediacorp, MUIS menyatakan: "Unit halal Muis tidak menjejaki permohonan daripada perniagaan milik orang Islam memandangkan bilangan pemohon yang kecil. 

"Pada masa ini, 50 syarikat  F&B milik Muslim disahkan halal. Perniagaan melihat nilai dalam mendapatkan pensijilan untuk memberikan jaminan yang lebih besar kepada pengguna Islam. Ia telah membuka jalan kepada lebih banyak peluang perniagaan – dalam dan luar negara apabila mengeksport produk mereka ke pasaran berkaitan yang memerlukan pensijilan halal." 

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan