Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Semakan usia persaraan bagi pegawai berseragam siap dalam 'beberapa bulan akan datang: MHA

Semakan terhadap usia persaraan bagi para pegawai berseragam akan selesai "dalam beberapa bulan mendatang," menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada Isnin (19 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Semakan usia persaraan bagi pegawai berseragam siap dalam 'beberapa bulan akan datang: MHA

(Gambar: MHA)

Diterbitkan : 20 Aug 2019 10:29PM Dikemas Kini : 20 Aug 2019 10:47PM

SINGAPURA: Semakan terhadap usia persaraan bagi para pegawai berseragam akan selesai "dalam beberapa bulan mendatang," menurut Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada Isnin (19 Ogos).

Ia susulan pengumuman Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan pada Ahad bahawa Singapura akan menaikkan usia persaraan kepada 65 tahun dan usia pengambilan semula pekerja kepada 70 tahun, menjelang 2030.

Buat masa ini, usia persaraan bagi para pegawai beruniform adalah 55 tahun.

Mereka dikecualikan daripada Akta Persaraan dan Pengambilan Bekerja Semula disebabkan "tuntutan kerja beruniform yang ketat", menurut MHA pada Selasa sebagai menjawab soalan Mediacorp.

Ini termasuk tahap kecergasan yang tinggi, ketangkasan dan keupayaan menahan kesan fisikal sekiranya berada dalam keadaan yang mungkin mengancam nyawa dan sekitaran tidak menentu, tambah MHA.

Pada 2013, MHA melanjutkan usia persaraan para pegawai baru di bawah khidmat seragam Kementerian Ehwal Dalam Negeri dari 50 kepada 55 tahun, sama seperti para pegawai kanan.

"Home Team juga melaksanakan dasar pengambilan semula para pegawai berseragam, bergantung kepada prestasi, kelakuan dan syarat-syarat kecergasan. Kami akan terus menawarkan pilihan untuk bekerja semula kepada seberapa ramai pegawai yang mungkin, bergantung kepada keperluan pasukan," tambah MHA.

Secara berasingan, MHA menyatakan 3,800 pegawai di Home Team tertakluk di bawah Akta Persaraan dan Pengambilan Bekerja Semula pekerjaan dan ia akan bekerjasama dengan Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD) untuk menaikkan usia persaraan dan bekerja semula pekerja secara bertahap-tahap.

PSD pada Isnin menyatakan usia persaraan dan pengambilan semula pekerja bagi para pegawainya, masing-masing dinaikkan setahun kepada 63 tahun dan 68 tahun, mulai Julai 2021.

USIA PERSARAAN DALAM SAF

Kementerian Pertahanan (MINDEF) pula menyatakan usia persaraan pegawai tentera "kekal relevan sehingga hari ini".

"Oleh kerana pihak tentera mempunyai tuntutan fisikal untuk memenuhi misinya, usia persaraan SAF bagi kakitangan tentera adalah dari 50 tahun bagi para pegawai sehingga 55 tahun bagi pegawai waran dan spesialis, dan sehingga 60 tahun bagi pakar tentera," menurut MINDEF.

"Usia persaraan tentera kekal relevan sehingga hari ini. Ia mengimbangi masa yang diperlukan untuk meraih pengalaman dan kepakaran serta pertimbangan operasi SAF," menurut MINDEF lagi.

Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan MINDEF menyemak semula usia persaraan secara kerap untuk "memastikan keperluan operasi SAF dipenuhi". 

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan