Skip to main content

Singapura

Semakan kriteria masuk ke maktab rendah selari dengan pelaksanaan penuh Skim SBB: Dr Maliki

Anggaran Waktu Membaca:
Semakan kriteria masuk ke maktab rendah selari dengan pelaksanaan penuh Skim SBB: Dr Maliki

(Gambar: Maktab Rendah Temasek)

SINGAPURA: Langkah menyemak semula kriteria kemasukan ke Maktab Rendah (JC) selari dengan pelaksanaan penuh Skim Pengumpulan Berdasarkan Subjek Secara Penuh (SBB) di semua sekolah menengah.

Skim itu menggantikan sistem aliran akademik - Ekspres, Normal (Akademik) dan Normal (Teknikal) dengan tiga baharu kategori iaitu G1, G2 dan G3.

Mulai 2028, pelajar yang ingin ke maktab rendah akan dinilai berdasarkan lima mata pelajaran GCE 'O', bukan enam seperti sebelumnya, menurut pengumuman Kementerian Pendidikan (MOE) pada Khamis (6 Mac).

Dengan pelaksanaan kriteria L1R4 dalam proses kemasukan, pelajar perlu memperoleh sekurang-kurangnya 16 mata atau lebih baik dalam lima mata pelajaran, menggugurkan salah satu subjek dengan markah terbaik daripada pertimbangan. Walau bagaimanapun, keperluan untuk lulus mata pelajaran bahasa ibunda (D7 atau lebih baik) akan kekal.

Menteri Kedua Pendidikan, Dr Mohamad Maliki Osman, menekankan bahawa perubahan itu adalah sebahagian daripada usaha menyelaraskan sistem pendidikan bagi memastikan peralihan yang lebih lancar dari sekolah menengah ke peringkat seterusnya.

"Kita harus lihat perubahan ini selaras dengan atau seiring dengan perubahan yang berlaku di sekolah menengah kita di sekolah menengah kita sudahpun mengenalkan sistem baharu ataupun 'full subject based banding', di mana tidak lagi ada sistem aliran-aliran. Kita sudah memansuhkan aliran Ekspres, Normal (Akademik) dan Normal (Teknikal) sudah dimansuhkan hari ini," kata Dr Maliki kepada wartawan Nur Arina Ahmad Anis ketika mengulas tentang perbahasan Jawatankuasa Peruntukan bagi MOE.

BOLEHKAN PELAJAR BERI TUMPUAN KEPADA KEKUATAN MASING-MASING

Menurut Dr Maliki, semakan semula kriteria kemasukan akan membolehkan pelajar mengambil jumlah mata pelajaran yang lebih sesuai dengan kemampuan mereka, sekali gus mengurangkan tekanan dan memberi mereka ruang untuk fokus pada kekuatan masing-masing.

Dr Maliki berkata: "Apa yang penting ialah keupayaan masing-masing. Apa yang akan menjadi akar kekuatan pelajar itu, sama ada beliau kuat dari segi semua subjek ataupun hanya dua tiga subjek sahaja. Dengan ini, kita memberi ruang pada para penuntut untuk mengenal pasti apakah subjek-subjek yang mereka rasa mereka boleh mempunyai prestasi yang baik."

Beliau menambah bahawa perubahan tersebut juga memberi peluang kepada pelajar untuk menikmati pembelajaran dengan lebih mendalam dan bermakna.

Dalam masa yang sama, beliau menegaskan bahawa sistem pendidikan Singapura tidak hanya menumpukan kepada pencapaian akademik semata-mata, tetapi juga bertujuan membangunkan pelajar dengan kemahiran yang relevan untuk masa depan.

"Apa yang pihak MOE ingin lakukan ialah sistem pendidikan kita bukan tertumpu sahaja kepada subjek-subjek yang dipelajari. Apa yang penting ialah kita menyediakan mereka dengan keupayaan ataupun kemahiran-kemahiran baharu yang digelar 'keupayaan abad ke 21'. Kemahiran sedemikian seperti kemahiran berkomunikasi, inovasi keupayaan bekerjasama dengan kumpulan kerana pada masa hadapan, inilah kemahiran-kemahiran yang diperlukan untuk mereka berjaya dan kami akan masukkan kemahiran tersebut dalam kurikulum kami.

"Jadi ini memastikan bahawa sistem persekolahan sistem pendidikan hari ini berlainan sekali dengan sistem dahulu. Bukan sahaja dari aspek subjek-subjek mereka tetapi juga kemahiran yang diperlukan untuk masa hadapan," tambahnya.

SOKONGAN DIPERLUAS UNTUK MASYARAKAT BERKEPERLUAN KHAS

Bagi menyokong golongan berkeperluan khas, Institut Pendidikan Teknikal (ITE) akan memperluaskan peluang latihan amali dan sokongan pekerjaan bagi membantu pelajar beralih ke alam pekerjaan.

Dalam perbahasan COS bagi MOE, diumumkan bahawa Program Latihan Amali dan Sokongan Kerjaya ITE-SG Enable (SGE) akan diperluas bagi memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar ITE dengan keperluan pendidikan khas (SEN).

Dr Maliki mendedahkan bahawa 80 peratus daripada pelajar berkeperluan khas kini memasuki sekolah nasional, menjadikan sokongan yang bersesuaian amat penting bagi membantu mereka mencapai aspirasi masing-masing.

Beliau menekankan bahawa latihan amali bukan sahaja membekalkan pelajar dengan kemahiran yang diperlukan, tetapi juga memberi peluang kepada majikan untuk memahami keperluan mereka dengan lebih baik.

"Walaupun mereka mereka berkeperluan khas, mereka mempunyai keupayaan untuk menjadi pekerja, untuk menjadi kakitangan mereka juga dan ini memberi peluang kepada para penuntut yang berkeperluan khas memandang bahawa ada masa depan untuk mereka.

"Bukan sahaja masa depan dari segi mencapai sijil pendidikan tetapi masa depan dari segi pekerjaan kerana ibu bapa mereka juga khuatir apakah akan berlaku pada mereka jika mereka habis persekolahan tapi tidak mempunyai pekerjaan," kata Dr Maliki.

SKILLSFUTURE BANTU RAKYAT KEKAL BERDAYA SAING

Inisiatif SkillsFuture yang menawarkan elaun kepada pekerja pertengahan kerjaya berusia 40 tahun ke atas akan diperluas bagi merangkumi program separuh masa, sekali gus memberi lebih banyak pilihan kepada pekerja yang ingin meningkatkan kemahiran mereka.

Mulai awal tahun depan, pekerja yang mendaftar dalam kursus separuh masa akan menerima elaun tetap sebanyak S$300 sebulan bagi membantu menampung perbelanjaan pendidikan mereka.

Sementara itu, bagi kursus sepenuh masa, elaun kekal pada 50 peratus daripada purata pendapatan individu dalam tempoh 12 bulan lalu, dengan had maksimum S$3,000 sebulan.

Dr Mohamad Maliki Osman menegaskan bahawa langkah ini bertujuan untuk memberi keyakinan kepada pekerja bahawa pemerintah komited dalam membantu mereka kekal relevan dalam pasaran kerja yang semakin mencabar.

"Kami harap ia akan memberi mesej kepada para pekerja mapan kita bahawa pemerintah bersungguh-sungguh ingin anda bersedia mendapat kemahiran baharu supaya dalam dunia di mana kita terus menghadapi cabaran-cabaran ekonomi, kita dapat menarik pelaburan-pelaburan baru yang dapat mewujudkan pekerjaan-pekerjaan baharu.

"Ini walaupun pekerjaan tersebut memerlukan kemahiran yang baharu, para pekerja kita bersedia untuk meningkatkan kemahiran mereka untuk mendapatkan pekerjaan baru yang secocok dengan kemahiran baharu mereka."

Antara sektor yang dijangka meraih manfaat terbesar daripada Program Peningkatan SkillsFuture termasuk industri teknologi dan logistik.

Dr Maliki memberi contoh Pusat Inovasi Hyundai Motor di Daerah Inovasi Jurong sebagai satu model yang menggunakan teknologi canggih dan memerlukan tenaga kerja berkelayakan.

"Untuk Singapura terus maju, kita harus mengembangkan ekonomi kita. Dan untuk mengembangkan ekonomi kita, kita harus faham dan akur bahawa kita harus menarik pelaburan-pelaburan yang mereka rasa Singapura tempatnya untuk mereka berkembang di mana pelaburan mereka akan membawa hasil.

"Dengan itulah kita harus memberi mereka kepastian bahawa kita ada para pekerja yang dapat memberi mereka kepastian tersebut dan pembelajaran sepanjang hayat hari ini bukan sahaja untuk peningkatan diri sendiri tetapi juga peningkatan untuk masa depan mereka," ujar beliau.
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita