Skip to main content

Singapura

Semakan Kanun Keseksaan: Saranan tidak jadikan percubaan bunuh diri satu jenayah dialu-alukan

Saranan untuk tidak lagi menjadikan percubaan membunuh diri sebagai satu jenayah dialu-alukan para pakar sebagai pendekatan lebih baik dalam memberikan bantuan sewajarnya, selain memberikan sedikit kelegaan kepada keluarga golongan yang mempunyai kecenderungan melakukan sedemikian.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 11 Sep 2018 12:35PM Dikemas Kini : 11 Sep 2018 08:47PM

BERITAmediacorp: Saranan untuk tidak lagi menjadikan percubaan membunuh diri sebagai satu jenayah dialu-alukan para pakar sebagai pendekatan lebih baik dalam memberikan bantuan sewajarnya, selain memberikan sedikit kelegaan kepada keluarga golongan yang mempunyai kecenderungan melakukan sedemikian.

Menurut Encik Hamidul Haq dari syarikat guaman Rajah & Tan, usulan itu konsisten dengan amalan sekarang di mana orang yang cuba membunuh diri jarang dikenakan dakwaan di mahkamah meskipun ia merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 309.

Malah beliau berpendapat perundangan sedia ada yang bertujuan untuk mencegah perbuatan sedemikian tidak lagi berkesan apabila seseorang itu sudah sampai ke tahap kemurungan yang amat teruk sehingga tidak lagi mengambil peduli tentang padah akibat perbuatannya itu.

“Jika seseorang itu dihukum kerana cuba untuk mengambil nyawanya sendiri memandangkan mereka terdesak atau dalam keadaan mental yang amat teruk, mereka akan lakukannya juga. Sebarang hukuman ke penjara boleh menguatkan lagi hasrat untuk membunuh diri,” kata Encik Hamidul.

Buat masa ini, percubaan membunuh diri adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun Jawatankuasa Semakan Kanun Keseksaan (PCRC) dalam laporannya kepada pemerintah pada 31 Ogos mengusulkan bahawa tindakan sewajarnya adalah untuk memberikan rawatan kepada golongan bermasalah itu dan bukan hukuman.

Encik Hamidul percaya pemansuhan undang-undang tersebut tidak mungkin akan menyebabkan lebih banyak percubaan untuk membunuh diri.

Selain itu, ia juga dapat memberikan sedikit kelegaan kepada keluarga yang mempunyai ahli keluarga bermasalah kerana mereka tidak lagi perlu bimbang tentang kemungkinan ahli keluarganya itu dipenjara atas percubaan membunuh diri.

Seiringan dengan pemansuhan undang-undang tersebut, Presiden Kelab Heal Dr Radiah Salim juga berharap agar masyarakat dapat menghulurkan lebih banyak sokongan kepada golongan yang mempunyai kecenderungan untuk membunuh diri.

“Yang penting, kita sebagai masyarakat perlu memikirkan bagaimana untuk mengurangkan atau membasmi percubaan mahu mengambil nyawa sendiri dan caranya adalah pencegahan iaitu dengan cepat-cepat mendapatkan pertolongan yang wajar bagi orang yang mahu mengambil nyawanya sendiri,” tegas beliau.

Dr Radiah juga menekankan perlunya ada kesedaran yang lebih tinggi mengenai tanda-tanda awal bagi masalah kesihatan mental seperti kemurungan dan keresahan, selain menunjukkan keprihatinan terhadap mereka yang menunjukkan hasrat untuk membunuh diri.

Ini boleh dilakukan menerusi tiga langkah yang beliau panggil sebagai ‘ACT’ - A bagi ‘Acknowledge’ atau akur akan masalah yang dialami orang yang mempunyai masalah kesihatan mental; C bagi ‘Care’ atau ambil berat terhadap orang yang ingin dibantu dan T bagi ‘Treatment’ atau mengajak orang tersebut mendapatkan rawatan sewajarnya daripada para pakar.

“Jadi misalnya, ahli keluarga kita atau kawan kita melahirkan hasrat yang dia mahu mengambil nyawanya sendiri menerusi percakapan atau perbuatannya, kita cepat-cepat ajak dia untuk mendapatkan rawatan. Kita tunjukkan keprihatinan kita kepada orang-orang yang dekat dengan kita, kita mengajaknya untuk berjumpa doktor atau kaunselor supaya masalahnya dapat dibendung dari awal lagi,” kata beliau. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita