Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Semakan isu wanita jangkaui undang-undang; perlu terus pupuk kesaksamaan jantina dalam masyarakat, tegas Shanmugam

Semakan mengenai isu-isu wanita di Singapura akan meneliti dengan lebih terperinci tentang bagaimana kesaksamaan jantina boleh berakar dalam masyarakat Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Semakan isu wanita jangkaui undang-undang; perlu terus pupuk kesaksamaan jantina dalam masyarakat, tegas Shanmugam

Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam. (Gambar: Try Sutrisno Foo)

Diterbitkan : 24 Sep 2020 02:54PM Dikemas Kini : 24 Sep 2020 02:56PM

SINGAPURA: Semakan mengenai isu-isu wanita di Singapura akan meneliti dengan lebih terperinci tentang bagaimana kesaksamaan jantina boleh berakar dalam masyarakat Singapura dan ini bagi menangani sebarang tingkah laku yang boleh membawa kepada kesalahan-kesalahan seksual, kata Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam.

Dalam podcast Heart of the Matter yang diterbitkan pada Khamis (24 Sep), Encik Shanmugam turut ditanya mengenai kontroversi-kontroversi yang melibatkan kes-kes kesalahan seksual berprofil tinggi baru-baru ini. Menurut Encik Shanmugam, undang-undang lebih ketat dan hukuman lebih berat hanyalah satu aspek daripada isu tersebut.

"Saya boleh meminda undang-undang dan mengetatkannya, saya sudahpun berbuat demikian atas izin Parlimen, Tetapi ia cuma satu aspek saja, terdapat satu lagi aspek yang lebih penting. Apa yang akan berlaku jika remaja lelaki dan perempuan mempunyai tanggapan yang berbeza mengenai kesaksamaan, menerima kesaksamaan sebagai satu prinsip asas?" kata Encik Shanmugam dalam wawancara pada Rabu.

"Saya rasa terdapat ruang, dan rakan-rakan Kabinet saya juga berpendapat terdapat ruang, untuk mencuba dan memupuk semangat yang berbeza dalam masyarakat. Kita perlu berbincang secara menyeluruh dan bukan setakat mengenai hukuman saja."

Encik Shanmugam mengumumkan pada Ahad bahawa pemerintah Singapura akan melancarkan semakan menyeluruh mengenai isu-isu wanita, yang akan dikemukakan dalam Kertas Putih menjelang separuh pertama tahun depan.

HORMATI WANITA "NILAI ASAS"

Satu siri perbincangan akan diadakan dengan matlamat untuk mengenal pasti dan menangani isu-isu yang melibatkan kaum wanita di Singapura. Menteri Negara Pembangunan Sosial dan Keluarga Sun Xueling, Menteri Negara Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Low Yen Ling dan Setiausaha Parlimen Kesihatan Rahayu Mahzam akan menerajui semakan itu.

Salah satu perkara yang akan diteliti oleh Cik Sun Xueling, Cik Low Yen Ling dan Cik Rahayu Mahzam ialah bagaimana kesaksamaan jantina dan sikap hormat terhadap kaum wanita boleh terus dipupuk sebagai nilai-nilai asas sejak kecil lagi, menurut Encik Shanmugam melalui podcast Heart of the Matter.

"Jika (kesaksamaan jantina) dapat terus dipupuk, harapan saya adalah (sesiapa yang berpotensi melakukan kesalahan) tidak akan begitu cenderung untuk melakukan kesalahan, atau mereka akan lebih memahami kesannya, dan tidak akan menganggapnya sebagai satu gurau senda atau sesuatu untuk memuaskan diri masing-masing, mereka akan bersikap lebih bertanggungjawab dan berhemah," katanya.

Apabila ditanya sama ada kes-kes jenayah terhadap kaum wanita baru-baru ini menunjukkan isu-isu lebih mendalam dan asas, Encik Shanmugam menjawab: "Saya tidak begitu pesimis." Beliau berkata statistik menunjukkan bahawa jenayah terhadap wanita di Singapura adalah jauh lebih rendah berbanding tempat-tempat lain dan undang-undang terhadap jenayah sedemikian juga lebih berat di sini.

Meskipun cara kesalahan seksual ditangani merupakan antara isu yang dibangkitkan dalam semakan tersebut, ia juga bertujuan untuk merangkumi aspek-aspek lain berhubung kesaksamaan jantina, katanya.

"ISU STRUKTUR"

Bercakap berdasarkan pengalaman peribadinya dalam industri undang-undang, Encik Shanmugam turut mendedahkan bahawa kaum wanita diwakili secukupnya, tetapi tidak semestinya bagi sektor-sektor lain.

Jumlah wanita yang menganggotai lembaga pengarah dalam 100 syarikat utama yang tersenarai di Bursa Singapura hanya 16.2 peratus setakat tahun lalu.

"Saya seorang peguam yang bertugas dalam sebuah firma swasta dan firma saya ketika itu adalah firma guaman terbesar di Singapura, lebih separuh daripada rakan kongsi adalah wanita. Tiga daripada lima anggota yang bertanggungjawab menggubal dasar adalah wanita," katanya lagi.

"Oleh itu, anda tahu anda dikelilingi oleh kaum wanita yang berhemah, berbakat dan sangat bijak, dan anda tidak akan berpendapat bahawa kaum wanita ditindas."

Bagaimanapun terdapat sebilangan isu struktur di Singapura yang merupakan "hasil sampingan sistem sosio-budaya" dan belum ditangani secukupnya, katanya. Sebagai contoh, wanita memikul tanggungjawab lebih berat dalam menjaga dan membesarkan anak-anak dan ramai terpaksa memilih antara keluarga dengan kerjaya.

Isu-isu ini tidak boleh ditangani oleh Pemerintah sahaja, katanya, sambil menarik perhatian bagaimana di negara-negara Scandinavia, para bapa dijangka mengambil cuti untuk menjaga anak-anak mereka.

"Ia menunjukkan bahawa peranan yang dimainkan kaum lelaki sangat penting dalam mengubah perspektif, dan ia tidak boleh dilakukan oleh Pemerintah sahaja... Saya berpendapat semua ini juga perlu diteliti." 

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan