Skip to main content

Singapura

Semakan gaji pemegang jawatan politik: Pemerintah tangguh pertimbangan saranan sehingga kesan perang Timur Tengah 'lebih jelas'

Sebuah jawatankuasa bebas yang ditubuhkan untuk menyemak gaji pemegang jawatan politik sudah menyelesaikan tugasnya, namun pemerintah memutuskan untuk menangguhkan pertimbangan terhadap saranan-saranannya disebabkan ketidaktentuan yang timbul daripada perang di Timur Tengah.

Anggaran Waktu Membaca:
Semakan gaji pemegang jawatan politik: Pemerintah tangguh pertimbangan saranan sehingga kesan perang Timur Tengah 'lebih jelas'

Bangunan Parlimen di Singapura. (Gambar fail: CNA/Syamil Sapari)

SINGAPURA: Sebuah jawatankuasa bebas yang ditubuhkan untuk menyemak gaji pemegang jawatan politik sudah menyelesaikan tugasnya, namun pemerintah memutuskan untuk menangguhkan pertimbangan terhadap saranan-saranannya disebabkan ketidaktentuan yang timbul daripada perang di Timur Tengah.

Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam Chan Chun Sing berkata demikian pada Rabu (6 Mei) dalam jawapan bertulisnya kepada soalan Anggota Parlimen Alex Yam (PAP-Marsiling-Yew Tee), yang bertanya berhubung status semakan gaji itu berikutan perkembangan global baru-baru ini.

Encik Chan sebelum ini berkata di parlimen pada Januari bahawa sebuah jawatankuasa bebas sudah ditubuhkan untuk menjalankan semakan terhadap rangka kerja gaji pemegang jawatan politik yang diperkenalkan pada 2012.

Jawatankuasa tersebut sudah menyiapkan semakan tersebut dan mengemukakan saranannya kepada pemerintah pada April, kata Encik Chan, yang menjawab bagi pihak Perdana Menteri Lawrence Wong pada Rabu.

“Pemerintah mengakui bahawa perang di Timur Tengah masih berterusan, menyebabkan ketidaktentuan ekonomi yang besar dan menjejas prospek Singapura,” kata beliau.

“Dalam konteks ini, pemerintah telah memutuskan untuk menangguhkan pertimbangan terhadap saranan jawatankuasa itu, sehingga kesan perang tersebut terhadap Singapura menjadi lebih jelas.”

Beliau menambah bahawa pemerintah akan mengeluarkan laporan jawatankuasa itu bersama responsnya pada masa yang sesuai.

“Para Anggota Parlimen (AP) akan berpeluang untuk meneliti laporan tersebut bersama maklum balas pemerintah ketika itu, bagi perbahasan yang lebih bermakna.”

Pada Januari, Encik Chan berkata “tepat pada masanya” untuk menjalankan semakan, sambil menambah bahawa rangka kerja gaji semasa ditetapkan oleh sebuah jawatankuasa semakan pada 2012, dengan pemerintah bersetuju dengan saranannya bahawa rangka kerja tersebut akan disemak oleh jawatankuasa bebas setiap lima tahun.

Rangka kerja itu meliputi gaji bagi semua pemegang jawatan politik, serta AP dan Anggota Parlimen Dilantik (NMP).

Rangka kerja gaji serta gaji pemegang jawatan politik belum pernah diubah sejak ia berkuat kuasa pada Mei 2011.

Satu semakan pada 2017 menyaksikan pemerintah mengekalkan struktur dan tahap gaji tersebut.

Semakan seterusnya - yang dijadualkan pada 2023 - ditangguhkan disebabkan “isu-isu mendesak lain” yang perlu ditangani ketika itu, seperti ketidaktentuan geopolitik global dan kebimbangan ekonomi.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita