Skip to main content

Singapura

Semakan gaji menteri pada 2023 ditangguh disebabkan 'isu lain yang mendesak'

Anggaran Waktu Membaca:
Semakan gaji menteri pada 2023 ditangguh disebabkan 'isu lain yang mendesak'

Gambar fail: CNA/Try Sutrisno Foo

SINGAPURA: Pemerintah menangguhkan semakan semula gaji pemegang jawatan politik yang seharusnya dilakukan pada 2023 kerana terdapat "isu-isu mendesak lain" yang perlu ditangani, seperti ketidakpastian dalam keadaan geopolitik global dan kebimbangan ekonomi.

Demikian dinyatakan Menteri Bertanggungjawab bagi Perkhidmatan Awam Chan Chun Sing pada Selasa (9 Jan) di Parlimen. Beliau menambah bahawa pemerintah akan mengkaji semula rangka kerja gaji politik itu dan penanda aras gaji politik "dalam masa terdekat bagi memastikan ia kekal relevan dan terkini".

Beliau berkata demikian bagi pihak Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam menjawab pertanyaan Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) dari Parti Kemajuan Singapura (PSP) Hazel Poa dan AP Alex Yam (PAP-Marsiling-Yew Tee). Encik Yam bertanya tentang kemas kini bagi semakan semula itu, manakala Cik Poa mengajukan pertanyaan sama ada semakan semula yang disasarkan itu sudah dijalankan serta siapa yang berada dalam jawatankuasa semakan itu, antara lain.

Encik Chan berkata: "Pada 2023, situasi geopolitik sejagat menjadi lebih tidak menentu, dengan konflik di Timur Tengah dan Ukraine, dan (sekali gus)meneruskan persaingan geopolitik yang semakin memuncak," katanya.

"Dari segi ekonomi, ketidaktentuan yang ketara dan risiko penurunan dalam ekonomi global kekal, memberi kesan kepada ekonomi tempatan dan prospek gaji dan inflasi kita.

"Justeru, kami memutuskan untuk memberi tumpuan kepada menangani cabaran utama yang dihadapi dan menangguhkan semakan gaji politik buat masa ini. "

Saranan-saranan daripada semakan gaji politik yang lalu diumumkan pada 2018.

Menurut Encik Chan, jawatankuasa itu menyarankan agar semakan semula rangka kerja gaji politik itu dijalankan setiap lima tahun, atau bila perlu.

"Pemerintah tidak membuat sebarang perubahan kepada gaji politik berikutan semakan 2018 kerana struktur gaji masih sah dan terdapat ketidaktentuan ekonomi dalam beberapa tahun sebelumnya," katanya.
 
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita