Skip to main content

Singapura

Semakan bebas terhadap syarat kontrak F1 Grand Prix SG tidak temui sebarang penyelewengan

Satu semakan bebas terhadap perjanjian perlumbaan Formula 1 Singapura tidak menemui sebarang penyelewengan, kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong pada Rabu (15 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Semakan bebas terhadap syarat kontrak F1 Grand Prix SG tidak temui sebarang penyelewengan

Pelumba Mercedes, George Russell mendahului pelumba lain di permulaan F1 Singapore Grand Prix pada 5 Okt 2025. (Gambar: CNA/Syamil Sapari)

Diterbitkan : 15 Oct 2025 10:51PM Dikemas Kini : 15 Oct 2025 11:01PM
  • Satu semakan bebas terhadap perjanjian perlumbaan Formula 1 Singapura tidak menemui sebarang penyelewengan, kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong pada Rabu (15 Okt).
  • Faedah ekonomi kepada Singapura daripada perjanjian tersebut melebihi kos, dan kunjungan pelawat asing serta hasil pelancongan tambahan yang diterima negara daripada penganjuran F1 melebihi sasaran, tambah Gan Kim Yong.
  • Soalan-soalan sebelum ini dibangkitkan mengenai perjanjian perlumbaan F1 selepas mantan Menteri Pengangkutan S Iswaran ditangkap pada Julai 2023 sebagai sebahagian daripada siasatan Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB).
  • Encik S Iswaran dijatuhi hukuman penjara selama 12 bulan pada 3 Oktober 2024, kerana memperoleh hadiah bernilai kira-kira S$403,300 selama tujuh tahun.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Satu semakan bebas terhadap perjanjian perlumbaan Formula 1 Singapura tidak menemui sebarang penyelewengan, kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong pada Rabu (15 Okt).

Jawatankuasa semakan itu yang ditubuhkan oleh Lembaga Pelancongan Singapura (STB) pada 2024, menilai bahawa pemerintah "tekun, teliti dan berhati-hati" dalam pendekatannya kepada projek F1, kata Encik Gan.

"Sebagai contoh, pemerintah melantik penasihat undang-undang luar untuk memeriksa perjanjian pemudahan bagi memastikan kepentingan pemerintah dilindungi secukupnya," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan parlimen.

Encik Gan menjawab soalan oleh AP Edward Chia (PAP-Holland-Bukit Timah) yang meminta kemas kini mengenai perkembangan semakan kontrak F1.

Pada 2024, Encik Gan mengeluarkan arahan menteri supaya STB menubuhkan sebuah jawatankuasa semakan bebas untuk menyemak syarat kontrak sedia ada dengan Singapore GP bagi Grand Prix Singapura 2022 hingga 2028.

Kontrak itu kini dalam penggal keempat.

"Jawatankuasa semakan berpuas hati bahawa kepentingan pemerintah dilindungi secukupnya dan syarat perjanjian itu merupakan pertukaran kewajipan dan faedah komersial yang adil dan munasabah antara pemerintah dengan Singapore GP," kata Encik Gan.

Faedah ekonomi kepada Singapura daripada perjanjian tersebut melebihi kos, dan kunjungan pelawat asing serta hasil pelancongan tambahan yang diterima negara daripada penganjuran F1 melebihi sasaran, tambahnya.

"Jawatankuasa semakan itu menilai bahawa acara perlumbaan Grand Prix Singapura terus berkembang dari segi kerelevanan dan kepentingan kepada Singapura, dan penganjuran perlumbaan F1 terus meningkatkan penjenamaan antarabangsa Singapura. Perlumbaan dalam Penggal 4 setakat ini juga menunjukkan prestasi yang baik."

Encik Gan juga berkata jawatankuasa tersebut sudah pun mengenal pasti cara-cara untuk meningkatkan proses sedia ada antara STB dengan Singapore GP untuk lebih melindungi kepentingan pemerintah, serta bidang-bidang penambahbaikan untuk sebarang pembaharuan projek F1 pada masa hadapan.

Laporan jawatankuasa semakan itu tidak akan diterbitkan atas sebab kerahsiaan perniagaan.

Pada 2024, Encik Gan berkata dalam jawapan bertulis di Parlimen bahawa audit STB terhadap pengagihan geran dan perkara berkaitan perolehan F1 dari 2019 hingga 2022 mendapati bahawa kawalan dalaman lembaga tersebut adalah memuaskan, tanpa sebarang penemuan yang signifikan.

Soalan-soalan sebelum ini dibangkitkan mengenai perjanjian perlumbaan F1 selepas mantan Menteri Pengangkutan S Iswaran ditangkap pada Julai 2023 sebagai sebahagian daripada siasatan Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB).

Encik S Iswaran terlibat secara aktif dalam penglibatan pemerintah dengan F1, termasuk membuat penampilan di sidang media di mana pengumuman tentang masa depan acara tersebut dibuat.

Beliau mengaku bersalah pada 24 September 2024, terhadap empat pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang melarang semua pegawai awam daripada memperoleh sebarang benda berharga daripada seseorang yang terlibat dengan mereka dalam kapasiti rasmi.

Encik S Iswaran dijatuhi hukuman penjara selama 12 bulan pada 3 Oktober 2024, kerana memperoleh hadiah bernilai kira-kira S$403,300 selama tujuh tahun. Beliau sudah pun selesai menjalani tahanan di rumah.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita