Semakan adil, kebertanggungjawaban perlu bagi bina keyakinan terhadap sistem kehakiman: Shanmugam
Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam berkata semakan secara adil proses-proses yang mungkin tersilap, adalah anak kunci kepada wujudnya kebertanggungjawaban dan keyakinan awam terhadap sistem kehakiman.
SINGAPURA: Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam berkata semakan secara adil proses-proses yang mungkin tersilap, adalah anak kunci kepada wujudnya kebertanggungjawaban dan keyakinan awam terhadap sistem kehakiman.
Mengulas tentang kes amah Indonesia Parti Liyani, yang dibebaskan daripada tuduhan mencuri dari bekas majikannya, Encik Shanmugam turut memberi amaran agar ia tidak menjadi satu "usaha memburu".
"Prosesnya tidak harus menjadi seperti mempertahankan diri atau satu usaha memburu. Ia sepatutnya satu proses adil," kata Encik Shanmugam ketika ditemui di luar satu acara masyarakat di Chong Pang hari ini (8 Sep).
"Kita harus menentukan apa yang berlaku, mengapa ia berlaku dan menanganinya. Dan bertanggungjawab. Itulah cara terbaik untuk memupuk kepercayaan di kalangan orang awam dan dalam sistem," tegas beliau sambil menambah: "Kemudian memaklumkan orang ramai apa langkah-langkah yang diambil selepas semakan-semakan dijalankan."
Pejabat Peguam Negara (AGC) pada Ahad (6 Sep) menyatakan ia akan mengkaji pengadilan Mahkamah Tinggi oleh Hakim Chan Seng Onn, menyusuli pembebasan bekas pembantu rumah Cik Parti Liyani, 46 tahun daripada tuduhan mencuri daripada ketua Changi Airport Group (CAG) Liew Mun Leong dan keluarganya.
Ini bagi menilai tindakan lanjut, jika ada, yang harus diambil dalam kes itu.
Encik Shanmugam menambah beliau berasa senang melihat undang-undang tidak menyebelahi mana-mana pihak, tanpa mengira latar belakang mereka yang terlibat.
"Pada pandangan saya sendiri dan melihat kepada keputusan hakim, adalah baik melihat keadilan diberikan. Ia bukan antara seorang ahli perniagaan terkenal dengan seorang pembantu rumah warga asing. Wanita itu didakwa dalam kes jenayah berdasarkan aduan peniaga itu. Hakim meneliti fakta-faktanya dan mengesan ada kegenjotan dalam bukti. Dengan itu adalah baik untuk melihat keadilan tidak berpihak dan dilaksanakan,"ujarnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.