Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Semakan 377A libat isu lebih luas merangkumi keprihatinan sosial, kata Lawrence Wong

Anggaran Waktu Membaca:
Semakan 377A libat isu lebih luas merangkumi keprihatinan sosial, kata Lawrence Wong

(Gambar: Kementerian Kewangan)

Diterbitkan : 16 Aug 2022 03:45PM Dikemas Kini : 16 Aug 2022 03:47PM
SINGAPURA: Langkah memansuhkan undang-undang yang menetapkan bahawa hubungan seks sesama lelaki adalah satu jenayah - bukanlah satu isu perundangan sahaja tetapi melibatkan keprihatinan sosial lebih luas yang berhubung kait dengan keluarga dan perkahwinan, tegas Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong.

"Ia menjejas cara kita mencorak diri sebagai sebuah masyarakat, tidak kiralah jika ia akan menjejas nilai-nilai yang mendasari keluarga dan perkahwinan atau sebaliknya... dan inilah kebimbangan sebahagian besar rakyat Singapura," kata beliau dalam wawancaranya bersama ketua editor Bloomberg John Micklethwait pada Isnin (15 Ogos).

Transkrip wawancara tersebut turut dikongsi dengan media lain.

DPM Wong menambah, walaupun pandangan terhadap tingkah laku homoseksual yang dianggap satu jenayah berubah dari semasa ke semasa, ramai juga mempunyai pendirian tegas berhubung isu keluarga dan perkahwinan - sesuatu yang beliau tekankan adalah dua perkara berbeza.

Encik Wong mengulas demikian sedang Pemerintah menyemak semula Seksyen 377A Kanun Jenayah - undang-undang yang menurut pihak berkuasa, tidak dikuatkuasakan secara aktif. Mahkamah Tinggi Singapura juga sudah menegaskan bahawa seksyen tersebut "tidak mungkin boleh dikuatkuasakan secara keseluruhannya" dan tidak membawa bersamanya ancaman boleh didakwa.

Encik Micklethwait turut bertanya Encik Wong jika beliau berasa "segan" kerana wujudnya undang-undang sebegitu di saat Singapura sedang cuba menarik bakat luar. Ketua editor itu malah menarik perhatian bahawa Encik Wong adalah seorang kosmopolitan (warga dunia) yang pernah belajar di luar negara.

Menjawabnya, Encik Wong, yang dipilih sebagai pengganti Perdana Menteri Lee Hsien Loong, akur bahawa Seksyen 377A adalah suatu legasi yang diwarisi Pemerintah dan ia bukanlah sesuatu yang diusulkan oleh Pemerintah.

Beliau turut merujuk kepada bagaimana Kanun Jenayah Singapura disesuaikan daripada Kanun Keseksaan India pada abad ke-19, iaitu ketika Singapura masih sebahagian daripada negeri-negeri selat dan ditadbir oleh kerajaan British.

Walaupun Encik Wong akur bahawa banyak negara Asia yang dahulu dijajah British sudah memansuhkan undang-undang tersebut, beliau menegaskan bahawa ramai rakyat Singapura merasakan bahawa undang-undang itu menjadi tanda aras bagi nilai-nilai masyarakat, keluarga dan perkahwinan di sini.

"Dan itulah sebabnya mengapa... kita memulakan perbincangan tentang perkara ini, mendamping pelbagai lapisan masyarakat dan memikirkan bagaimana kita boleh terus melangkah ke hadapan dengan cara yang tidak akan meretakkan masyarakat kita," ulas Encik Wong selanjutnya.

 
Sumber : Today/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan