Seluruh khidmat LRT Bukit Panjang terjejas akibat gangguan bekalan elektrik
Khidmat LRT laluan Bukit Panjang terjejas buat masa ini disebabkan oleh gangguan pada bekalan elektrik, menurut SMRT pada pagi Khamis (3 Jul).
Sebuah kereta api tiba di sebuah stesen di laluan LRT Bukit Panjang. (Gambar fail: CNA)
Dalam catatannya di Facebook pada pukul 9.18 pagi, SMRT menyatakan gangguan bekalan elektrik berlaku di laluan itu pada kira-kira pukul 8.50 pagi dan perkhidmatan bas percuma dan perkhidmatan bas penghubung disediakan kepada para penumpang yang terjejas.
SMRT menambah, pengumuman dibuat di stesen-stesen LRT untuk memaklum para penumpang mengenai perkembangan terkini, sedang kakitangan SMRT berusaha untuk menghuraikan isu tersebut dan membantu para penumpang yang terjejas.
"Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan pada perjalanan anda dan mohon kesabaran anda," tambah kenyataan tersebut.
Sistem LRT Bukit Panjang sejauh 8 kilometer menghubungkan estet-estet perumahan di Bukit Panjang dan Choa Chu Kang dengan laluan MRT Utara-Selatan dan Downtown.
Ia adalah gangguan kedua yang berlaku minggu ini, selepas kerosakan isyarat menyebabkan tambahan 30 minit pada masa perjalanan penumpang di Laluan MRT Thomson-East Coast pada pagi Selasa (1 Jul).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.