Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Selongkar kembara seni Dr Iskandar Jalil dalam pameran solo terbaru

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pakar tembikar tersohor Singapura, Dr Iskandar Jalil mengadakan pameran solo karya-karya beliau di Japan Creative Centre (JCC) mulai hari ini (13 Ogos).

Pameran bertajuk Kisah Perjalanan Pakar Tembikar: Pameran solo oleh Dr Iskandar Jalil menampilkan lebih 40 karya seni beliau yang dihasilkan sejak tahun 2020.

Dr Iskandar, 83 tahun, menghasilkan karya-karya tembikar itu di Temasek Potters studio di Tampines.

Disebabkan sekatan perjalanan kerana pandemik COVID-19, studionya dijadikan ruang untuk mengembara secara 'maya', sekaligus mengimbau kembali pengembaraannya menerusi karya-karya seninya.

Para pengunjung akan dibawa meneroka karya seni beliau yang diilhamkan sewaktu pengembaraannya di Asia, Timur Tengah dan Eropah, serta pengalaman-pengalaman yang membentuk daya kreativitinya.

Mereka dapat menikmati sendiri perjalanan seni Dr Iskandar menerusi falsafah-falsafah, teknik dan tanah liat yang berbeza ketika beliau sedang mengembara.

Antara karya menarik yang dipamerkan yang dinamakan 'Kota Bahru' yang menyusuri perjalanannya menaiki bot di Asia Tenggara.

DR ISKANDAR JALIL 'SEDIAKAN' TIGA PELAPIS

Karya seninya turut mencerminkan bagaimana Singapura tetap menjadi negara kediamannya dan pencetus daya ilhamnya meskipun terdedah kepada pengaruh dari luar negara.

--

"Saya kini berumur 83 tahun, sudah hendak 84 tahun. Mesti ada pengganti. Cari orang yang betul-betul gemar berdikari sendiri. Saya sudah sediakan tiga orang yang akan menggantikan saya. Tetapi saya hairan orang-orang ini semua orang Cina. Saya beri contoh, orang buat mee rebus, asyik bungkusnya begitu, ramuannya pun begitu. Kenapa tidak mahu ubahkan?" luah Dr Iskandar kepada pihak BERITAmediacorp.

Apabila ditanya jika ada sebarang nasihat kepada generasi muda yang berkecimpung dalam seni tembikar, ini katanya: "Kita mesti bersikap inovatif dan sering meneroka cara-cara yang berlainan. Jangan buat tembikar itu untuk cawan, cerek, mangkuk. Buat lebih daripada itu. Kalau kita buat begitu saja, kita rugi."

Pameran yang dianjurkan oleh Japan Creative Centre (JCC), Kedutaan Jepun di Singapura dan Tembusu Art Gallery akan berlangsung sehingga 27 Ogos ini.

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan