Skip to main content

Singapura

Seligi Tunggal sambut ulang tahun ke-60; lebarkan sayap lancarkan Seligi Tunggal Nusantara

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 30 Oct 2023 01:34AM Dikemas Kini : 30 Oct 2023 09:53PM


SINGAPURA: Sebuah perkumpulan silat nusantara menggabungkan para penggiat seni pertahanan diri dari Singapura, Malaysia dan Indonesia dilancarkan pada Ahad (29 Okt).

Dipanggil Seligi Tunggal Nusantara, ia ditubuhkan sempena sambutan ulang tahun ke-60 Perkumpulan Silat Seligi Tunggal Singapura.

Related article image
Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Sekitar 80 perguruan silat berkumpul di Kelab Masyarakat Keat Hong pada Ahad malam (29 Okt) untuk meraikan ulang tahun perkumpulan silat tersebut yang ditubuhkan pada 1963 selepas berdaftar dengan Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi (4PM).

Mereka yang hadir termasuk para penggiat silat dari negara-negara jiran.

Dengan mengembangkan lagi jaringan rangkaian, perkumpulan silat itu berharap dapat terus wujud untuk melestarikan seni tersebut.

Related article image
Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri


"Antara rancangan Seligi Tunggal ialah kami ingin meneruskan ke depan dengan Seligi Tunggal Nusantara di mana Seligi Tunggal Singapura adalah bandar induk kepada Seligi Tunggal Malaysia dan juga Seligi Tunggal Indonesia, di mana di sana sudah ada empat daerah di mana guru-guru sudah mula mengadakan latihan," ujar Guru Utama Seligi Tunggal Singapura, Khaizuran Ahmad.

"Jadi kami ingin teruskan melestarikan melalui guru-guru yang ada dan juga kami akan berkumpul pada hujung tahun ini untuk membuat perancangan," tambah beliau yang juga merupakan Guru Utama Seligi Tunggal Nusantara itu.

RAIKAN GURU YANG ADA, GURU YANG SUDAH PULANG

Related article image
Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Majlis sambutan itu dianjurkan oleh kumpulan Seligi Tunggal Singapura dengan kerjasama MAEC Keat Hong.

"Kita meraikan guru-guru yang ada, kita meraikan guru-guru yang telah berpulang. Jadi hari ini penting kerana setelah musibah COVID melanda kita, kita ingin kembalikan semula suasana silat dan kembalikan silaturahmi yang telah hilang dalam tiga tahun itu," ujar Encik Khaizuran.

Bertemakan "Menyulam Khazanah, Mengikhtisar Sejarah", majlis itu turut memberi penghormatan dan memperingati individu-individu yang sudah pun menyumbang kepada Persaudaraan Pencak Silat.

Related article image
Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri


Antara yang hadir termasuk anggota kumpulan yang tertua Encik Abdul Hamid Jonid, 65 tahun.

Beliau merupakan Guru Utama Seligi Sangkapora iaitu salah satu cabang bagi Seligi Tunggal Singapura.

Acara itu juga menjadi satu peringatan tentang kekuatan, keberanian, daya tahan dan ketabahan dalam mengatasi pandemik COVID-19 buat tiga tahun.

KELAB MASYARAKAT SEBAGAI NADI MASYARAKAT

Related article image
Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri


Hadir untuk memeriahkan lagi sambutan itu ialah Anggota Parlimen GRC Choa Chu Kang dan penasihat akar umbi kawasan Keat Hong, Zhulkarnain Abdul Rahim.

"Kelab masyarakat merupakan nadi untuk sesebuah masyarakat dan ia boleh dijadikan satu wadah bagi semua lapisan masyarakat kita untuk teruskan giat dalam seni silat dan riadah dengan menjalani aktiviti yang sihat," kongsi Encik Zhulkarnain.

"Pada masa yang sama, mereka dapat mengenali dengan lebih mendalam tentang khazanah seni dan kayanya seni silat seperti yang kita saksikan malam ini," tambahnya.

Related article image
Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri
Sekitar 500 tetamu hadir untuk majlis sambutan itu termasuk guru-guru silat, penggiat budaya dan pertubuhan-pertubuhan Melayu.

Menurut pihak penganjur, acara itu juga menonjolkan semangat muhibah dan perpaduan dalam kalangan penggiat silat setempat mahupun nusantara.
Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita