Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Selesai tunaikan umrah selepas 5 bulan tempuhi perjalanan darat dari SG ke Makkah

Anggaran Waktu Membaca:
Selesai tunaikan umrah selepas 5 bulan tempuhi perjalanan darat dari SG ke Makkah

(Gambar: Facebook/3G Family Adventure)

SINGAPURA: Setelah hampir lima bulan menempuhi perjalanan darat dan merentasi sempadan sekitar 10 negara, Encik Fadli Abdullah sekeluarga selamat menunaikan umrah di Tanah Suci. 

Beliau bersama  isteri, anak dan ibu mertuanya memulakan perjalanan ke Arab Saudi dari Singapura dengan menaiki van pada bulan Jun lalu. 

Keluarga itu memandu lebih 28,000 kilometer dari Singapura merentasi Malaysia, Thailand, Laos, China, Kazakhstan, Uzbekistan, Tajikistan, Afghanistan, Iran, Dubai, Abu Dhabi di Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan akhirnya ke Arab Saudi. 

(Gambar: Facebook/3G Family Adventure)

Mereka tiba di Arab Saudi pada 30 Oktober lalu. 

“Tahap kerohanian kami sangat tinggi. Kami mempercayai Allah akan permudahkan segala urusan kami. Walaupun ada masalah, Allah sediakan huraiannya,” kata Encik Fadli. 

“Apabila sampai itu, memang tidak terkata-kata. Saya pandang balik betapa lamanya kita memandu untuk sampai ke sini. Kami akhirnya tiba,” tambah beliau. 

Ia merupakan kali pertama Encik Fadli dan keluarganya itu mengerjakan ibadah umrah.

(Gambar: 3G Family Adventure)

Isteri Encik Fadli memeluk agama Islam sekitar lima tahun lalu manakala ibu mertuanya baharu sahaja menjadi seorang Muslim pada awal tahun ini. 

Berkongsi tentang pengalaman mengerajakan umrah, beliau berkata: “Alhamdulillah, saya dapat melakukan umrah buat dua kali. Kali yang kedua itu, saya melakukan badal umrah untuk arwah ibu bapa saya kerana mereka tidak sempat melakukannya.” 

“Saya rasa yang paling terkesan dengan pengalaman ini adalah isteri saya. Semasa di Makkah, kalau boleh dia tidak mahu pulang ke hotel. Dia sentiasa ingin berada di Masjidil Haram. Dari pagi ke malam,” kata pemilik syarikat permotoran, The Hangout, itu.  

PELBAGAI MASALAH DILALUI

Pelbagai cabaran yang perlu mereka hadapi dan tangani sepanjang lima bulan itu. 

Menurut Encik Fadli, antara cabaran terbesar yang dilalui keluarganya adalah jenis kenderaan yang mereka gunakan iaitu van ‘Camper Modular’ jenama Mercedes.

(Gambar: 3G Family Adventure)

Dalam tempoh lima bulan itu, Encik Fadli mengatakan bahawa beliau perlu menghantarkan van itu ke bengkel sebanyak tiga kali untuk kerja-kerja pembaikan. 

Antara faktor kerosakan itu adalah perjalanan yang jauh yang mereka tempuhi iaitu kira-kira 400 hingga 500 kilometer setiap hari.

“Pertama, di Laos, apabila ’stabiliser’ bahagian kiri van itu tidak berfungsi. Ini pun sebab jalan yang kami lalui tidak rata. Kedua, saya menghantar van ke bengkel di China kerana ada masalah penapisan minyak. Apabila di kawasan pergunungan, di altitud yang tinggi, kalau nisbah minyak yang diletakkan tidak betul, ia akan timbulkan masalah. Saya juga menghantar van ke bengkel di UAE, selepas pam air van itu pecah,” kata Encik Fadli. 

(Gambar: Facebook/3G Family Adventure)

Encik Fadli juga akur bahawa menggunakan kenderaan itu mendatangkan masalah kerana negara berbeza menggunakan bahagian atau peralatan yang berbeza-beza untuk kenderaan mereka. 

Misalnya, apabila berada di Iran, Encik Fadli mendapati kenderaannya itu memerlukan bahan tambahan minyak. Namun, ia tidak boleh didapatkan di negara itu. Lantas, beliau perlu memandu ke Afghanistan untuk mendapatkan apa yang diperlukannya. 

Antara lain, Encik Fadli juga mengatakan bahawa pemohonan visa serta undang-undang setiap negara juga merumitkan lagi keadaan.

(Gambar: Facebook/3G Family Adventure)

“Saya rasa, semangat saya terus menjunam ke tahap serendah-rendahnya, di Arab Saudi. Awak bayangkan, selepas ribuan kilometer saya memandu untuk berbulan-bulan, di Arab Saudi, di garisan penamat, kami tidak dibenarkan masuk. Sebabnya, mereka tidak membenarkan kenderaan yang mana pemandunya di bahagian kanan di negara itu,” kata Encik Fadli kepada wartawan Nurhelmy Hakim. 

Akhirnya, keluarganya itu perlu patah balik ke UAE dan mengambil bas untuk memasuki Arab Saudi. 

MULAKAN ‘LONG WAY HOME’ TAHUN DEPAN

Encik Fadli dan keluarganya kini berada di Amiriah Arab Bersatu (UAE) sehingga 28 November, sebelum mereka mengambil pesawat pulang ke Singapura. 

Ini disebabkan Encik Fadli perlu menjalani pembedahan, yang sudah ditetapkan jauh sebelum perjalanan mereka ke Saudi. 

Mengambil kira waktu untuk pulih daripada pembedahan itu, keluarga itu akan berada di Singapura sehingga Januari tahun depan, sebelum mereka akan semua kembali ke UAE. 

Buat sementara waktu, van Encik Fadli ditinggalkan di UAE bersama golongan ekspatriat Singapura di sana. 

(Gambar: Facebook/3G Family Adventure)
(Gambar: Facebook/3G Family Adventure)

Apabila tiba di UAE, barulah mereka akan memulakan perjalanan pulang mereka ke Singapura yang digelarkan Encik Fadli sebagai misi “Long Way Home”. 

Beliau menganggarkan akan mengambil masa setahun untuk pulang ke Singapura. 

Encik Fadli berkata: “Memandang balik, kami sebenarnya agak mengejar masa dalam perjalanan ke Saudi. Ini kerana kami ada tarikh-tarikh tertentu kita perlu berada di Makkah, Madinah, disebabkan penempahan hotel dan sebagainya. Kali ini, untuk pulang, kami ingin mengambil masa dan tidak terburu-buru dan cuba untuk mengembara.”

(Gambar: Facebook/3G Family Adventure)

“Rancangan kami kali ini, untuk masuk ke negara seperti Yaman, Oman, juga memasuki benua Eropah dan menjelajahi negara-negara Scandinavia. Ada peluang besar kami akan meluangkan Ramadan di Arab Saudi, kalau boleh di Makkah dan Madinah,” tambah beliau lagi. 

Memandangkan keluarga Encik Fadli akan mengambil masa yang lama di luar negara, beliau merancang untuk menyewakan rumahnya di sini serta menjual kenderaannya kerana tidak akan digunakan untuk waktu yang lama.

Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan