Skip to main content

Singapura

Selepas tutup dua cawangan, Haig Road Putu Piring rancang buka kedai dan produk baharu

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Penutupan dua cawangan Haig Road Putu Piring meninggalkan kesan mendalam buat pemiliknya, Nooraisha Mohammad Hashim, yang mengakui ia bukan sesuatu yang mudah untuk dilalui.
Bagi Cik Nooraishah, keputusan untuk menutup cawangan di Tristar Complex merupakan satu langkah yang sukar dan menyedihkan. Cawangan itu telah beliau kendalikan selama 17 tahun sebelum akhirnya membuat keputusan untuk menamatkan operasinya.

"Penutupan cawangan kami di TriStar Complex memang sudah kami jangkakan kerana memang dari awal kami sudah berbincang untuk menutupkan cawangan itu bila kontrak sudah habis," kata Cik Nooraishah.

"Pembeli yang datang sudah semakin berkurangan. Jadi, kami mengambil keputusan untuk keluar dari situ. Lagipun, kita ada dua cawangan yang sangat berdekatan satu di Pasar Haig Road dan satu di Pasar Geylang Serai di sini. Jadi tu pasal kita mengambil keputusan untuk tutup cawangan yang di tengah tengah di Tristar Complex itu," tambahnya lagi.

Menurut beliau, antara faktor yang mendorong keputusan tersebut adalah lokasi kedai tersebut yang terletak di lokasi tengah yang tidak berdekatan dengan kawasan tumpuan seperti pasar.
Related article image
Pemilik Haig Road Putu Piring, Cik Nooraisha Mohammad Hashim. (Gambar: Hidir Ezat)
Berbeza dengan cawangan di Pasar Geylang Serai yang terletak berhampiran pasar, pelanggan biasanya akan terus membeli putu piring selepas selesai membeli-belah di pasar. Situasi yang sama juga berlaku di Haig Road.

Namun, cawangan di Tristar Complex tidak menikmati jumlah kunjungan pelanggan yang sama kerana jumlah pengunjung di kawasan pasar lebih tinggi.

Akibatnya, jumlah pelanggan di cawangan tersebut semakin berkurangan berbanding dahulu.

PENUTUPAN CAWANGAN DI HAJI LANE DISEBABKAN PEMILIK PREMIS BERTUKAR TANGAN

Bagi cawangan di Haji Lane pula, Cik Nooraishah berkata penutupan tersebut merupakan sesuatu yang mengejutkan buat mereka.

"Di Haji Lane memang kami semua terkejut. Bukan saya sahaja, malahan penyewa yang di sebelah pun dia terkejut sebab kita diberikan jangka masa waktu tidak sampai 1 minggu untuk keluar dari situ," kata Cik Nooraishah.

"Penutupan di Haji Lane, kami terpaksa keluar kerana pemilik sudah jual hartanah di situ termasuk syarikatnya sekali kepada orang asing. Jadi kami tidak mempunyai pilihan selain keluar sebab kita sudah tanya kepada pemilik hartanah baru dan mereka mahukan kedai itu sepenuhnya untuk mereka sendiri," tambahnya lagi.

Beliau berkata ramai pelanggan turut berasa sedih dengan penutupan cawangan di Haji Lane.
Related article image
Para pelanggan Haig Road Putu Piring terus memberi sokongan meskipun dua cawangan ditutup. (Gambar: Hidir Ezat)
Namun, mereka memahami keadaan yang berlaku dan terus memberikan semangat serta dorongan kepadanya untuk membuka cawangan lain.

PEMBUKAAN CAWANGAN BAHARU DI BAWAH JENAMA BAHARU, PERKENALKAN PRODUK BAHARU

Melangkah ke hadapan, Cik Nooraishah berkata mereka mempunyai beberapa perancangan yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

"Rancangan pada masa hadapan kami, alhamdulillah sekarang mungkin ramai yang sudah tahu kami juga tutup gerai di East Village Mall. Kita baru dapat kontrak yang baru di unit yang lain, berhadapan dengan unit lama kami," kata Cik Nooraishah.

"Jadi kita akan buka kedai di situ mungkin pada 1 Jun akan datang. Kita juga ada gerai lain tetapi kita bukan jual putu piring lagi. Kita akan menjual putu bambu pula. Namun, bukan di bawah nama Haig Road Putu Piring," tambahnya lagi.

Selain itu, beliau turut sedang berjinak-jinak dengan mempromosikan peniagaan beliau melalui media sosial seperti Tiktok.
Sumber : BERITA Mediacorp/hd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita