Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Selepas buka restoran, Fatimah Mohsin buka salun kecantikan pula walau dalam pandemik

Untuk bertahan dalam dunia niaga di tengah-tengah gangguan COVID-19 sekarang ini, peniaga perlu mempelbagaikan perniagaan dan bukan setakat 'menunggu' sehingga pandemik itu berlalu.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Untuk bertahan dalam dunia niaga di tengah-tengah gangguan COVID-19 sekarang ini, peniaga perlu mempelbagaikan perniagaan dan bukan setakat 'menunggu' sehingga pandemik itu berlalu.

Demikian antara strategi usahawan berpengalaman Fatimah Mohsin, 46 tahun, yang kini mempunyai dua perniagaan baru yang dibuka semasa tempoh COVID-19.

BUKA SALUN KECANTIKAN SELEPAS RESTORAN THAI

Baru sekitar tujuh bulan beliau membuka restoran 555 Halal Thai. Namun kini Fatimah Mohsin, yang memang terkenal dalam bidang andaman dan solekan, membuka satu lagi perniagaan yang luar dari bidang kepakaran beliau. Iaitu memberanikan diri membuka salun rambut berkonsep Jepun dua minggu lalu.

Salun tersebut yang bertempat di 59 Arab Street itu diberi nama The Right Look.

Keputusan membuka salun itu dibuat sedang perniagaan restoran dan andaman beliau kian teruk terjejas sehingga merosot “sekurang-kurangnya 70 peratus” akibat sekatan-sekatan COVID-19.

Namun semangat keusahawanannya jelas tidak mudah luntur begitu sahaja.

"Kalau kita nak kekal kukuh dalam pandemik ini, kita perlu mempelbagaikan perniagaan dan terus berdaya maju.

"Kalau perniagaan kita betul-betul dah tak boleh gerak, duduk situ diam-diam, duit pun tak jatuh, jadi sebab itulah mempelbagaikan perniagaan sangat penting untuk saya sekarang untuk kita lebih maju dengan penjenamaan yang saya ada," kongsi Fatimah, yang juga banyak mendekatkan diri dan berkongsi idea dengan para pemilik niaga lain yang lebih mapan.

USAHASAMA ADIK-BERADIK FATIMAH DAN HANNAN MOHSIN

The Right Look adalah usahasama antara Fatimah dan adik bongsunya, Nur Hannan Mohsin, yang punya 15 tahun pengalaman dalam bidang dandanan rambut.

Dibuka dengan modal $150,000 yang turut disumbangkan tiga adik beradik lain, konsep salun Jepun ini dipilih kerana tahap kebersihan, khidmat layanan pelanggan, disiplin dan teknik Jepun yang “begitu bagus”, kata Hannan.

Ini antara motivasi dan pertimbangan dua beradik ini untuk mewajarkan pembukaan perniagaan baru itu.

Fatimah berkata: "Selepas setahun lebih kita mengharungi pandemik ini, kita tahu ada lebih banyak peluang daripada kita menunggu sampai semuanya selesai dan sebagainya.

"Pada waktu itu, mungkin agak terlalu terlambat dan mungkin bila ekonomi kembali pulih, semuanya agak lebih mahal. Jadi kita membuat keputusan ini kerana dia (Hannan) telah bersedia untuk menjadi seorang bos."

The Right Look turut dibuka dengan pelan dan strategi perniagaan serta dorongan jurulatih perniagaan yang membantu memastikan perniagaan ini dapat membuahkan hasil dalam masa-masa sukar ini.

HASRAT KONGSI KEMAHIRAN

Hannan, 34 tahun, bersetuju membuka salun rambut tersebut kerana ini bermakna beliau akan mampu meluaskan lagi impiannya.

"Pada masa hadapan saya ingin mengajar dan mendidik siapa-siapa yang berminat dengan dandanan rambut dengan pelbagai teknik, yang sedikit lain daripada lain. Itu impian saya untuk benar-benar berkongsi apa yang sudah saya pelajari," ujar Hannan.

Salun dua tingkat itu juga berhasrat menyediakan khidmat menyeluruh dengan memperkasa para usahawan wanita lain berlatih dan berkongsi idea pada masa akan datang.

Yang jelas, dengan kemahiran Hannan serta bimbingan perniagaan dan pengalaman Fatimah, The Right Look menjadi contoh perusahaan yang dapat dibuka dengan yakin, meskipun dalam keadaan mencabar ini.

Beliau ada nasihat untuk anak-anak muda yang mahu berjinak-jinak atau baru menceburi bidang perniagaan.

(Gambar-gambar: Ira Musfirah)

"Kalau kita tidak mengharungi kesusahan, itu bukan perniagaan. Perniagaan, kita mesti kena lalui pasang surut, itu akan membuat kita lebih kuat, lebih gigih untuk menempuh masa depan and yang penting adalah untuk tidak berputus asa, berdaya tahan dan terus kuat dan jangan pernah berputus asa," tekan Fatimah.

"Ramai sangat yang angkat tangan masa pandemik ini."

Lantaran itu kata beliau kalau mereka tidak dapat mengharunginya, mungkin pada masa depan mereka juga tidak boleh memasuki sesebuah bidang dengan jayanya kerana kita tidak boleh "mengharapkan masuk dalam satu bidang itu semuanya indah".

Hanya dengan menempuhi segalanya kata Fatimah, faktor yang boleh menjadikan seseorang peniaga menjadi lebih kuat. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan