Selepas 3 tahun menunggu, impian beraya di rumah sendiri tercapai jua akhirnya
Peluang memiliki rumah sendiri menjadi perkara paling menggembirakan bagi pasangan muda Nur Jannah Jalil dan suaminya Muhammad Afeeq Mohd Radzi.

(Gambar: BERITAmediacorp/Nur Hazimah Anuar)
SINGAPURA: Peluang memiliki rumah sendiri menjadi perkara paling menggembirakan bagi pasangan muda Nur Jannah Jalil dan suaminya Muhammad Afeeq Mohd Radzi.
Lebaran kali ini lebih bermakna kerana buat pertama kalinya, mereka dapat beraya di rumah sendiri.
"Setelah menunggu lebih kurang 3 tahun dan akhirnya dapat kunci untuk flat ini, kami berasa gembira dan teruja dapat meraikan hari raya bersama keluarga besar dan sahabat handai yang lama tidak dijumpai," kata Nur Jannah Jalil, 28 tahun penuh gembira.
"Sekatan COVID-19 sudah dilonggarkan. Saya dapat menjemput keluarga besar kami dan dapat meriahkan suasana hari raya ini," celah suaminya Muhammad Afeeq.

Mereka membeli flat Bina-Ikut-Tempah (BTO) ini di bawah Skim Penjualan Baki Flat (SBF) pada September 2018.
Mengikut perancangan awal, mereka sepatutnya mendapat kunci flat 5-bilik di Punggol ini pada suku ketiga 2020 tetapi pembinaan projek flat BTO mereka tertangguh akibat COVID-19.
Sebelum berpindah ke flat baru mereka ini pada awal tahun ini, pasangan yang mendirikan rumahtangga pada 2019 ini terpaksa menumpang di rumah ibu bapa masing-masing di Woodlands dan Jurong West.
"Sementara kami tunggu untuk mendapatkan kunci flat ini, kami tinggal di rumah mertua saya dan kadangkala kami tinggal di rumah mak ayah saya pada hujung minggu dan kami rasa yang ada lagi ruang di rumah mereka untuk buat sedemikian," kongsi Muhammad Afeeq lagi.

Flat ini merupakan pilihan pertama pasangan ini kerana ia terletak berdekatan tempat kerja Encik Muhammad Afeeq di Changi dan sekolah anak sulung mereka.
Ketibaan flat itu juga tepat pada waktunya kerana pasangan ini bakal menimang sepasang anak kembar pada bulan depan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.