Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Selepas 17 tahun, Cik Jessica Irawan sambut NDP sebagai warga Singapura

Singapura baru sahaja menyambut ulang tahunnya yang ke-55 pada Ahad (9 Ogos) namun bagi sebilangan 'warga baru', inilah kali pertama mereka meraikan Hari Kebangsaan sebagai warga Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Singapura baru sahaja menyambut ulang tahunnya yang ke-55 pada Ahad (9 Ogos) namun bagi sebilangan 'warga baru', inilah kali pertama mereka meraikan Hari Kebangsaan sebagai warga Singapura.

Cik Jessica Irawan, 37 tahun pertama kali tiba di Singapura pada tahun 2003, ketika berusia 20 tahun.

Berasal dari Surabaya Indonesia, beliau ketika itu meninggalkan negara asalnya untuk mengikuti pendidikan ijazah muzik di Kolej Seni LASALLE dan mencari rezeki.

SAH JADI RAKYAT S'PURA SELEPAS 17 TAHUN DI SINI

Selepas sekian lama membina kehidupan di sini, Cik Jessica membuat keputusan untuk memohon menjadi rakyat Singapura pada 2017. Akhirnya, pada Mac 2020, beliau sah menjadi warga Singapura.

"Saya sangat bahagia sekali, saya sangat bangga kerana perjuangan untuk menjadi rakyat Singapura bukanlah sesuatu yang mudah.

"Saya juga memikirkan bahawa saya tidak dapat membayangkan hidup di negara yang lain selain di Singapura. Dan juga saya berfikir mungkin setelah ini mungkin saya juga akan berkeluarga di Singapura," kata Cik Jessica.

Lantaran itulah, walaupun sudah lama tinggal di Singapura, Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) yang ditayangkan pada sebelah pagi Ahad (9 Ogos) cukup bersejarah baginya.

"Saya merasa Hari Kebangsaan tahun ini sangatlah istimewa kerana saya sebelumnya merayakan NDP sebagai Penduduk Tetap Singapura. Tapi sekarang saya adalah warga negara Singapura!" ujar Cik Jessica sambil tersenyum lebar.

KAGUMI CIRI-CIRI ORANG SINGAPURA YANG RAJIN DAN BEKERJA KERAS

Ditanya apakah ciri-ciri orang Singapura yang beliau kagumi, ini jawapan beliau.

"Saya merasa orang-orang Singapura adalah sangat rajin dan mahu bekerja keras. Dan saya sangat terangsang untuk menjadi orang seperti itu untuk menjadi seseorang yang lebih baik lagi, seseorang yang selalu berkembang. Saya merasa itulah ciri khas orang Singapura."

Cik Jessica, yang berusia 37 tahun dan seorang penyanyi sudah menghasilkan sebuah album muzik, dan kini bertugas di sekolah muzik The Singing Loft sebagai guru muzik.

(Gambar ihsan: Napster)

(Gambar ihsan: Napster)

Bahkan, karyanya pernah menerima pengiktirafan di pertandingan X-Factor Indonesia dan pertandingan gubahan lagu antarabangsa.

PUPUK BAKAT ANAK MUDA UNTUK MERANCAKKAN INDUSTRI MUZIK TANAH AIR

Buat masa ini juga, beliau sedang sibuk menghasilkan lagu-lagu untuk sekumpulan artis-artis muda.

Berbekalkan 13 tahun pengalamannya, beliau berharap kemahiran yang ada pada dirinya dapat membantu melahirkan lebih ramai lagi bakat-bakat tempatan.

"Saya berharap bahawa lebih banyak lagi penggubah lagu tempatan akan tampil dan ada lebih banyak lagi wadah di mana mereka boleh membuat persembahan dan menonjolkan lagu-lagu mereka," jelas Cik Jessica. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan