Selat Melaka, Selat Singapura kekal contoh kerjasama global: Jeffrey Siow
Menteri Pengangkutan Jeffrey Siow (dua dari kiri) bersama Profesor Tommy Koh (dua dari kanan) semasa pelancaran buku “The Straits of Malacca and Singapore: A Model for the World”. (Gambar: CNA)
- Jeffrey Siow menegaskan kejayaan kerjasama antara Singapura, Malaysia dan Indonesia dalam mengurus Selat Melaka dan Selat Singapura demi keselamatan pelayaran.
- Buku baharu oleh CIL NUS dilancarkan pada 24 Ogos, meneliti bagaimana tiga negara ini mengimbangi kebebasan pelayaran, kedaulatan dan perlindungan alam sekitar.
- Selat Melaka dan Selat Singapura penting kerana hampir suku perdagangan maritim dunia melaluinya, memberi manfaat kepada banyak negara.
- Peranan Singapura dalam tadbir urus maritim, termasuk kepimpinan diplomatik dan inovasi teknikal, turut disorot dalam buku tersebut.
Menurutnya, kedua-dua laluan perairan itu menunjukkan pentingnya negara-negara bekerjasama demi kepentingan bersama di tengah-tengah ketidaktentuan rantaian bekalan global.
"Selama lebih separuh abad, Indonesia, Malaysia dan Singapura telah bekerjasama rapat untuk meningkatkan keselamatan pelayaran di perairan kami, termasuk di kawasan yang masih mempunyai pertikaian sempadan maritim.
"Meskipun wujud perbezaan pandangan, kita tidak membiarkan perkara itu melumpuhkan kerjasama yang terjalin," kata Encik Siow semasa pelancaran buku “The Straits of Malacca and Singapore: A Model for the World” pada Isnin (24 Ogos).
HAMPIR SUKU PERDAGANGAN MARITIM DUNIA LALUI KEDUA-DUA SELAT
Encik Siow berkata Singapura, Malaysia dan Indonesia turut menegaskan semula kepentingan memastikan laluan perairan tersebut kekal selamat, terjamin dan terbuka demi kepentingan semua pihak.
“Manfaatnya bukan sahaja dinikmati Singapura, Malaysia dan Indonesia, malah hampir satu perempat daripada perdagangan maritim dunia melalui Selat Melaka dan Selat Singapura,” katanya.
Buku yang dilancarkan Pusat Undang-Undang Antarabangsa (CIL) Universiti Nasional Singapura (NUS) itu meneliti bagaimana Singapura, Malaysia dan Indonesia bekerjasama menguruskan kedua-dua selat tersebut.
Ia turut meneliti bagaimana ketiga-tiga negara mengimbangi kebebasan pelayaran dengan kedaulatan serta perlindungan alam sekitar.
SOROT PERANAN SINGAPURA DALAM TADBIR URUS MARITIM
Buku itu turut menyorot peranan Singapura dalam membentuk tadbir urus maritim di rantau ini.
Ini termasuk kepimpinan diplomatik Singapura dalam merundingkan rejim laluan transit semasa Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Ketiga mengenai Undang-Undang Laut.
Ia turut merangkumi inovasi teknikal bagi membantu kapal belayar dengan selamat melalui perairan tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.