Skip to main content

Singapura

Selamat Tinggal Robinsons: Setelah 162 tahun, peruncit ikonik ini tamat operasi

Robinsons mengumumkan pada Jumaat (30 Okt) bahawa ia akan menutup dua gedung beli-belah terakhirnya di Singapura, setelah lebih 160 tahun beroperasi di negara itu.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 31 Oct 2020 07:27AM Dikemas Kini : 01 Nov 2020 12:08AM

SINGAPURA: Robinsons mengumumkan pada Jumaat (30 Okt) bahawa ia akan menutup dua gedung beli-belah terakhirnya di Singapura, setelah lebih 160 tahun beroperasi di negara itu.

Robinsons menyatakan ia sudah memulakan proses pembubaran bagi kedainya di The Heeren dan Pusat Beli Belah Raffles City, berikutan "peralihan besar dari perbelanjaan di gedung kepada jualan online" dalam kalangan pelanggan yang diburukkan lagi oleh kesan pandemik COVID-19.

Syarikat itu juga akan menutup dua gedung beli-belahnya di Malaysia.

Related article image
Gambar: Nuria Ling/TODAY

Berikut ini adalah beberapa perkara yang mungkin anda tidak tahu tentang Robinsons:

ROBINSONS BUKAN NAMA ASALNYA

Pada asalnya ia dikenali sebagai Spicer dan Robinson, dan ditubuhkan pada tahun 1858 oleh pendatang dari Australia Philip Robinson dan bekas penjaga penjara di Singapura James Gaborian Spicer.

Kedua-dua lelaki itu membuka perniagaan tersebut sebagai "gudang keluarga" di Commercial Square, yang sekarang dikenali sebagai Raffles Place, menurut sebuah artikel di perpustakaan digital Lembaga Perpustakaan Negara (NLB).

Pada mulanya, ia menjual barang makanan seperti teh, beras, gula, oatmeal, biskut, keropok, keju dan daging yang diawetkan, serta topi wanita dan kelengkapan menjahit pakaian.

Robinson menukar nama kedai itu menjadi Robinson and Company setelah Spicer meninggalkan perniagaan tersebut pada tahun 1859 dan rakan kongsi baru, George Rappa, dibawa masuk.

Anak lelaki Robinson Stamford Raffles Robinson mengambil alih syarikat itu setelah kematian ayahnya pada tahun 1886.

Pada tahun 1891, gedung tersebut berpindah ke tempat barunya di 26 dan 27 Raffles Place, dan didaftarkan sebagai syarikat dengan tanggungan terhad pada tahun 1920.

Ia kemudian berpindah ke tapak yang lebih besar di Raffles Chambers pada tahun 1941, dan menawarkan sebuah kafe berhawa dingin, salun pendandan rambut dan barang dagangan seperti pakaian lelaki dan wanita, barang-barang kulit, manisan dan barang perhiasan perak.

KELUARGA DIRAJA ANTARA PELANGGAN AWAL

Robinson menggajikan jurujual untuk menjelajah ke seluruh rantau ini untuk menarik pelanggan.

Tidak lama kemudian, senarai pelanggannya termasuk golongan bangsawan seperti pemimpin Kepulauan Melayu dan Raja Mongkut dari Siam.

Menjelang tahun 1881, gedung beli-belah itu menjadi tempat pertemuan popular bagi masyarakat Eropah di Singapura.

DUA SERANGAN BOM DAN KEBAKARAN BESAR

Bangunan syarikat itu dibom dua kali semasa pencerobohan Jepun tetapi gedung beli-belahnya kembali beroperasi pada keesokan hari.

Namun, ia tetap ditutup sepanjang penjajahan Jepun dari 1942 hingga 1945 dan hanya kembali berniaga pada tahun 1946.

Pada 21 Nov 1972, satu kebakaran besar yang disebabkan oleh litar pintas di tingkat bawah memusnahkan bangunan Raffles Place.

Kebakaran itu juga merosakkan bumbung bangunan Overseas Union Bank yang berdekatan dan memaksa dagangan di bursa saham dihentikan pada hari itu.

Sembilan orang terbunuh - lapan daripadanya terperangkap di dalam lif. Kebakaran itu juga menyebabkan kerosakan harta benda bernilai S$21 juta.

PERNIAGAAN BERKEMBANG DI SINGAPURA DAN MALAYSIA

Selepas tragedi kebakaran itu, Robinsons membuka sebuah gedung baru di Pusat Beli Belah Specialists di Orchard Road pada 11 Disember 1972 dan menambah satu lagi cawangan di Clifford Center pada Julai 1977.

Pada Jun 1983, syarikat itu memindahkan gedung utamanya di Orchard Road ke The Centrepoint dan menutup cawangan di Clifford Center pada bulan November tahun yang sama.

Gedung-gedung baru dibuka di Pusat Beli-belah Raffles City pada tahun 2001 dan di JEM di Jurong East pada 2013. Gedung utamanya di The Heeren juga membuka pintunya pada November 2013.

Ia juga mempunyai dua gedung beli-belah di Kuala Lumpur - di The Gardens di Mid Valley mall dan The Shoppes di Four Seasons Place.

Pada tahun 2008, hak milik gedung itu berubah tangan setelah Kumpulan Al Futtaim yang berpangkalan di Amiriyah Arab Bersatu membeli 88 peratus saham syarikat. Al Futtaim Group juga mengendalikan Marks & Spencer, Zara dan Ted Baker di Singapura.

Robinsons menutup gedungnya di The Centrepoint pada akhir tempoh sewanya pada Mac 2014, setelah 31 tahun menjadi penyewa utama, dan gedungnya di JEM pada Ogos 2020.

Related article image

Pada 30 Oktober 2020, syarikat itu mengumumkan ia akan menutup dua gedung beli-belah terakhirnya di Singapura kerana landskap pengguna yang berubah menjadikannya sukar bagi syarikat itu untuk meneruskan operasi kerana permintaan yang semakin lemah diburukkan lagi dengan pandemik COVID-19. 

Sumber : CNA/SU/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita