Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Selamat tinggal'; 3 kakitangan mapan ini imbau kenangan mulakan kerjaya di Taman Burung Jurong

Anggaran Waktu Membaca:
'Selamat tinggal'; 3 kakitangan mapan ini imbau kenangan mulakan kerjaya di Taman Burung Jurong

Gambar: Haney Khairunnisa/BERITAmediacorp

SINGAPURA: 'Selamat tinggal!,' bunyi seekor burung kakaktua jambul jingga tatkala tampil membuat persembahan di Taman Burung Jurong pada Selasa (30 Ogos).

Ungkapan tersebut ternyata bukan gurauan semata-mata, meskipun burung kakaktua bernama Big John itu jelas kedengaran melawan kata penjaganya yang sebaliknya menyuruhnya mengucapkan 'hello' kepada para pengunjung.

Ungkapan Big John seakan-akan membayangkan burung kakaktua itu mempunyai naluri sememangnya ia hanya tinggal sekitar empat bulan saja untuk menyambut para pengunjung di taman tersebut.

Setelah 52 tahun, Taman Burung Jurong mengumumkan pada Selasa (30 Ogos) bahawa ia akan ditutup pada 3 Januari 2023.

Para kakitangan dan semua spesies burung akan membuat persiapan untuk berpindah ke rumah baru di Bird Paradise di Mandai Wildlife Reserve (WRS).

AKAN RINDU SUASANA

Apabila khabar tentang penutupan itu sampai ke telinga Penolong Pengurus Persembahan Haiwan, Mohammad Saad Yahya, hatinya terjentik.

"Saya sudah bekerja di taman burung ini selama 39 tahun dan tentunya apabila kami berpindah, ia membuahkan satu kenangan pahit manis. Saya akan sangat merindui suasana di sini," kata beliau.

Pada awalnya, ketika menyertai Taman Burung Jurong pada tahun 1983, Encik Saad mengorak langkah tersebut semata-mata kerana mahu bermain bola sepak dengan pasukan di sana.

Encik Saad memulakan tugas dengan Jabatan Unggas di mana beliau membuat penyelidikan tentang pembiakan burung enggang sehingga berjaya membiakkan burung enggang hitam yang pertama di Singapura pada 1992.

Gambar: Haney Khairunnisa/BERITAmediacorp

“Lama-kelamaan, saya mula berminat dengan burung enggang. Dah suka dengan kerja ini kerana ada kepuasan lebih-lebih lagi sejak saya jaga burung dan ia membiak, bermakna saya sudah melakukan satu perkara yang betul,” ujarnya.

Encik Saad kemudian bertukar angin untuk menyertai pasukan Persembahan Haiwan pada 2014. Beliau adalah dalam kalangan pasukan utama yang membangunkan 'High Flyers Show', iaitu pertunjukan yang mempamerkan keupayaan semula jadi burung-burung seperti burung kakaktua merah dan burung enggang Great Pied, sekali gus memupuk penghargaan terhadap haiwan itu dalam kalangan pengunjung.

Ketika ditanya perkara paling disenangi tentang tugasnya, Encik Saad berkata beliau "paling suka" bab menjaga haiwan atau 'husbandry' , terutama dalam memastikan burung-burung tidak berasa tertekan dan hidup selesa di taman yang dihuninya.

Namun, seperti kerja lain, ia juga tidak lekang daripada cabaran yang tersendiri.

"Cabaran adalah cuaca. Biasanya kita ada amalan standard tetapi kalau hujan, kita tidak sampai hati nak batalkan (acara) jadi kita kena tukar kepada pelan gantian sewaktu cuaca hujan dan ini semua dilakukan secara spontan. Kadangkala porak-peranda," ungkap beliau.

Meskipun Encik Saad masih membuat kemunculan tatkala sesi persembahan haiwan, beliau kini banyak meluangkan masa untuk melatih dan membimbing generasi penyampai persembahan seterusnya.

Seorang daripada anak didiknya ialah Sadali Mohamed Tali, penjaga kanan yang mula bertugas di Taman Burung Jurong sejak tahun 2000 lagi.

Gambar: Haney Khairunnisa/BERITAmediacorp

Ketika itu, Encik Sadali menggalas peranan sebagai penjaga unggas di bahagian burung enggang, di mana beliau memainkan peranan utama dalam Projek Burung Enggang Singapura pada tahun 2008.

Di bawah projek itu, beliau berganding bahu dengan pelbagai pertubuhan rakan kongsi dan membebaskan burung-burung di bawah jagaannya untuk hidup liar semula. Langkah tersebut menyumbang kepada kepulangan burung enggang spesies Oriental Pied yang dahulunya dikatakan pupus di Singapura.

"MEMANG SUSAH" ANDAI TIADA MINAT

Hubungan yang terjalin antara Encik Sadali dengan burung-burung terserlah akrab sehingga rasa cemburu boleh berputik pada ‘Maggie’ – burung enggang jagaan yang begitu rapat dengannya.

“Kami memang tidak boleh berenggang. Ia pernah ingin "serang" isteri saya apabila dia datang ke taman ini. Apabila burung ini suka seseorang, dia akan setia dengan pemiliknya,” kongsi Encik Sadali yang kini ditugaskan untuk menjaga burung tiung spesies Bali serta kepak hitam di Wings of Asia.

“Hari-hari kerja saya kasi burung makan, bersembang dengannya,” kata beliau yang menambah bahawa biarpun sudah membina persefahaman dengan burung-burung di taman tersebut dan saling serasi apabila bersama, cabaran menjaga unggas itu terletak pada bagaimana untuk menilai keadaannya.

“Burung kalau ia sakit, ia tidak akan tunjuk. Jadi cabarannya adalah memahami dan melihat perwatakan burung-burung ini.”

Minat mendalam terhadap tugas yang dilakukannya menjadi pemangkin untuk Encik Sadali terus menyediakan jagaan terbaik kepada para ‘penghuni’ di Taman Burung Jurong.

“Kalau tidak ada minat yang mendalam memang susah nak kerja di sini sebab kita akan meluangkan masa lapan jam bersamanya, berbual dan bermain dengannya,” ungkapnya.

SKOP PEKERJAAN LUAR JANGKAAN

Minat, bagaimanapun, bukanlah faktor yang mendorong Encik Roslee Mustafa untuk menyertai Taman Burung Jurong pada tahun 1991.

Apabila diambil bekerja sebagai Teknisyen Penguin ketika itu, tidak terlintas pun dalam fikiran Encik Roslee bahawa beliau perlu memberi jagaan kepada haiwan tersebut.

Hakikatnya, skop tugas beliau lebih daripada sekadar bertanggungjawab ke atas sistem-sistem penapisan dan penyejukan di pameran penguin.

Gambar: Haney Khairunnisa/BERITAmediacorp

"Tidak sangka yang saya perlu menjaga penguin dan memberinya makan... membersihkan sarangnya dan memastikan anaknya dapat menetas dengan betul," katanya.

Beliau akur pada mulanya beliau berasa canggung menjalankan tugas itu kerana perlu menyarung sut selam awal pagi lagi bagi membersihkan tempat penguin. 

Menurut Encik Roslee, sewaktu memberi penguin makan, beliau perlu memberikan sedikit ulasan dan tiada keyakinan diri untuk berbuat demikian pada awalnya. Namun, selepas ia ibarat satu rutin di tempat kerjanya, beliau akhirnya berjaya mengaburi rasa malunya dan tidak lagi mengelak daripada melaksanakan tanggungjawab tersebut. 

"Ia (penguin) ada sikap tertentu jadi saya perlu membiasakan diri dengan perkara itu. (Saya) tidak minat pada awalnya sebab saya tertumpu pada aspek teknikal. Selepas itu baru saya bina jalinan bersama penguin," kongsi beliau lanjut.

Kini, Encik Roslee menguruskan pasukan balik tabir yang bertanggungjawab menjalankan kerja-kerja pembaikan dan elektrik serta pertukangan demi memastikan taman burung itu dapat beroperasi dengan lancar tanpa sebarang kegenjotan. 

Seperti Encik Saad dan Encik Sadali, pengalaman Encik Roslee bekerja di Taman Burung Jurong selama lebih tiga dekad bukan sahaja merakamkan kenangan indah yang tidak dapat dilupakan. Ketiga-tiga kakitangan mapan itu bahkan menjadi saksi kepada transformasi yang dilalui taman tersebut sebelum ia berpindah ke lokasi baru kelak.

Harapan Encik Saad agar pemindahan itu akan menawarkan persekitaran lebih baik buat burung-burung di taman tersebut.

Kekayaan pusaka dan warisan taman itu akan dikongsi dengan para pengunjung melalui siri kegiatan 'A Flight To Remember' bermula 3 September hingga 3 Januari tahun depan, sebelum ia ditutup selamanya dan berhijrah ke tapak baru di Mandai Wildlife Reserve (WRS).

Pemindahan taman itu ke Mandai bakal menandakan peristiwa penting terbesarnya setakat ini, sekali gus menyertai daya tarikan lain seperti taman haiwan dan kemudahan wisata yang akan dibangunkan. 

Taman Burung Jurong, yang  sudah beberapa kali berubah wajah, menyambut lebih 41 juta pengunjung dalam tempoh 52 tahun ia beroperasi.

Sumber : BERITA Mediacorp/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan