'Selamat pulang ke tanah air': Di sebalik misi SIA bawa pulang rakyat SG dari perang Timur Tengah
(Dari kiri) Pengurus dalam pesawat Gan Bee Bee, kapten Leonard Wee dan Colin Aw, pemangku pengurus operasi lapangan terbang pada 17 Apr 2026. (Gambar: CNA/Liew Zhi Xin)
Ia adalah ungkapan yang sudah didengar oleh pengurus penerbangan itu berkali-kali sepanjang 25 tahun kerjayanya bersama syarikat penerbangan tersebut. Namun, apabila menceritakannya semula kepada Mediacorp pada Jumaat (17 Apr), Cik Gan menitiskan air mata.
Beliau adalah antara anak kapal dalam penerbangan pertama SIA pada 7 Mac lalu, yang membawa pulang 152 rakyat Singapura dan tanggungan mereka dari Muscat, Oman, di tengah-tengah perang Timur Tengah yang penuh emosi.
Berpuluh-puluh kakitangan dan anak kapal SIA, termasuk Cik Gan, terlibat dalam mengendalikan penerbangan SQ8001, penerbangan pertama daripada dua penerbangan muhibah yang dilancarkan oleh syarikat penerbangan itu dan diaturkan oleh Kementerian Ehwal Luar (MFA) untuk memindahkan rakyat Singapura serta beberapa warga asing dari zon konflik.
“Pengumuman itu dibuat oleh ketua pramugari saya yang duduk di sebelah saya. Beliau berkata, ‘Saya tidak tahu sama ada saya boleh menyebutnya dengan betul tanpa menangis’, jadi saya katakan, ‘Anda mahu tahu sesuatu? Anda mewakili kami, anda mewakili rakyat Singapura, dan kita benar-benar sudah pulang ke tanah air’.”
Selepas mendarat dan berehat, Cik Gan ternampak catatan di media sosial yang menunjukkan penumpang bersatu semula dengan orang tersayang mereka di Lapangan Terbang Changi. Pada ketika itulah, beliau benar-benar menyedari betapa besarnya makna misi tersebut.
“Saya rasa, bagi penerbangan kami… ia benar-benar bermaksud ‘pulang’ bagi mereka, kerana kesemua 152 penumpang itu adalah rakyat Singapura,” katanya.
Penerbangan itu diterajui oleh ketua juruterbang Leonard Wee. Juruterbang veteran dengan pengalaman lebih 20 tahun itu berkata, apabila beliau menyeru agar ada yang tampil sebagai sukarelawan, sambutan yang diterima sangat luar biasa.
“Kami faham betapa pentingnya membawa pulang rakan-rakan senegara kami. Kami faham perasaan mereka. Kami boleh merasakan belas ihsan kerana mereka berada di wilayah itu buat sekian waktu, dan kami rasa ada tujuan murni dalam apa yang perlu kami lakukan,” kata Kapten Wee.
Walaupun proses mengumpulkan anak kapal penerbangan adalah mudah, mendapatkan keizinan daripada anak perempuannya yang berusia 13 tahun terbukti lebih sukar.
“Dia agak emosi dan risau, tetapi saya meyakinkannya bahawa kami sudah membuat segala persiapan,” kata Kapten Wee.
“Saya berkongsi dengannya bahawa apa sahaja yang dia rasa, ada orang lain, keluarga lain, anak perempuan orang lain di Singapura yang merasakan perasaan yang sama, dan saya berada dalam kedudukan yang bertuah untuk cuba membantu orang itu - jadi kami akan melakukan tugas ini,” tambahnya.
SUASANA DALAM PENERBANGAN
Cik Gan berkata penerbangan itu berjalan lancar tanpa sebarang kejadian buruk, tetapi suasana di dalam pesawat sangat berbeza. Semasa pesawat berlepas, beliau menyedari sejumlah penumpang menitiskan air mata.
“Ada yang memandang ke luar tingkap, kelihatan seperti mereka sedang termenung jauh,” katanya.
Sebelum penerbangan, beliau mengarahkan anak kapalnya untuk mengelak daripada membincangkan “topik sensitif” dan peka terhadap emosi penumpang.
“Saya beritahu anak kapal saya, mari kita kendalikan mereka dengan cara berbeza. Kita tidak akan bercakap tentang perkara itu (perang). Biarkan mereka menikmati makanan, jika mereka perlu berehat, biarkan mereka berehat,” kata Cik Gan.
Beliau juga menyelaraskan tugas dengan Kapten Wee untuk memaklumkan kepada anak kapal sebaik sahaja pesawat meninggalkan ruang udara Timur Tengah supaya penumpang berasa tenang.
“(Kami memberitahu mereka) anda sudah keluar dari sana, anda kini selamat.”
Selepas makanan dihidangkan, ramai penumpang tidur dengan nyenyak.
“Mereka sudah lama tidak mendapat rehat yang mencukupi, dan walaupun ia hanya tidur sebentar selama kira-kira dua jam, itulah tidur paling aman yang mereka rasai,” katanya.
Apabila pesawat mendarat, Cik Gan menyaksikan pertemuan penuh emosi antara seorang penumpang dengan anak perempuannya.
“Beliau berkata, ‘Saya cuma ingin mengucapkan terima kasih kerana membawa ayah saya pulang’,” katanya. “Sangat menyentuh hati.”
PERANCANGAN LUAR JANGKA
Walaupun perjalanan itu sendiri berjalan lancar, ia disokong oleh perancangan menyeluruh di darat. Kapten Wee berkata pasukannya sudah bersedia menghadapi pelbagai senario.
“Kami memasuki lapangan terbang yang berdekatan dengan tempat berlakunya konflik. Jadi terdapat banyak perancangan di sebalik tabir,” katanya. “Kami benar-benar meneliti dan membuat pelan luar jangka untuk memastikan penerbangan kami selamat.”
Satu cabaran utama ialah SIA tidak beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Muscat dan tidak mempunyai ejen pengendali di sana. Akibatnya, kakitangan SIA dihantar ke Muscat untuk menyokong dan menerajui operasi di darat.
Melihat kepada keadaan yang tidak menentu, rancangan luar jangka juga dibuat untuk melencongkan pesawat atau mengisi minyak di tempat lain jika perlu.
Menyelaraskan usaha dari Singapura ialah pemangku pengurus operasi lapangan terbang, Colin Aw.
“Bahagian yang paling sukar adalah kami beroperasi dalam persekitaran di mana kami tidak tahu keadaan sebenar di darat atau prasarana di Lapangan Terbang Muscat,” katanya.
Walaupun banyak perkara yang tidak diketahui, beliau mempunyai “satu objektif yang sangat jelas” - memastikan penumpang dapat menaiki pesawat dan berlepas dengan selamat.
Sama seperti mereka yang berada di dalam pesawat, Encik Aw hanya berasa lega sebaik sahaja pesawat meninggalkan ruang udara Timur Tengah.
ADAKAH MEREKA AKAN LAKUKANNYA LAGI?
Ditanya sama ada beliau akan melakukannya lagi, Kapten Wee berkata beliau tidak akan teragak-agak untuk berbuat demikian.
“Apabila kami terbang pulang ke Singapura dan melihat kegembiraan terpancar pada wajah penumpang serta orang tersayang mereka, saya rasa selama bertahun-tahun ini, perkara itulah yang menguatkan lagi cinta kami kepada pekerjaan ini.”
Bagi Cik Gan, reaksi awalnya apabila ditugaskan untuk penerbangan itu adalah rasa tidak pasti. Namun apabila suaminya bertanya sama ada beliau benar-benar mahu melakukan perjalanan itu, beliau teringat akan keluarga yang sedang menunggu di tanah air.
Beliau memberitahu suaminya: “Saya terfikir tentang orang tersayang yang sedang menunggu mereka (penumpang saya), sama seperti bagaimana anda akan menunggu saya nanti.”
Beliau tidak memberitahu ibu bapanya tentang tugas itu terlebih dahulu kerana tidak mahu mereka berasa risau.
Ditanya sama ada beliau akan melakukannya lagi, Cik Gan berkata beliau sanggup berbuat demikian.
“Mungkin perasaan itu bukan sekadar kerana saya mewakili SIA,” katanya. “Ia adalah perasaan berasa selamat… harapan bahawa seseorang boleh membawa anda pulang ke tanah air dengan selamat.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.