Selain vaksinasi, produk suplemen kesihatan mungkin antara sebab serangan jantung budak 16 tahun
Selain kesan sampingan susuli vaksinasi, pihak berkuasa kesihatan sedang meneliti sama ada produk suplemen kesihatan mungkin menyumbang kepada serangan jantung seorang budak lelaki 16 tahun yang rebah enam hari selepas menerima suntikan pertama vaksin COVID-19.
SINGAPURA: Selain kesan sampingan susuli vaksinasi, pihak berkuasa kesihatan sedang meneliti sama ada produk suplemen kesihatan mungkin menyumbang kepada serangan jantung seorang budak lelaki 16 tahun yang rebah enam hari selepas menerima suntikan pertama vaksin COVID-19 meskipun punca keadaan beliau itu masih belum diketahui.
Profesor Madya Kenneth Mak, pengarah khidmat perubatan Kementerian Kesihatan (MOH) berkata pada Rabu (7 Jul) bahawa budak lelaki itu yang rebah di rumahnya selepas satu sesi angkat berat, juga telah mengambil beberapa produk suplemen kesihatan tambahan. Para pakar hospital tambah beliau sedang menjalankan analisis ke atas produk-produk tersebut.
Budak lelaki itu dimasukkan ke hospital pada 3 Julai. Awal sebelum itu, beliau mengangkat berat yang hampir dua kali lebih berat berbanding berat badannya, kata Profesor Madya Mak sambil menyifatkannya sebagai "kegiatan luar biasa untuk dilakukan di gim".
Budak lelaki itu menerima dos pertama vaksin COVID-19 pada 27 Jun.
"Para pakar di hospital sedang menyiasat pelbagai kemungkinan dan tentu sekali salah satu kemungkinan (serangan jantung itu) disebabkan keradangan jantung atau miokarditis," jelas Profesor Madya Mak.
Penguasa Sains Kesihatan (HSA) mendedahkan pada Isnin (5 Jul) bahawa terdapat 12 kes miokarditis atau perikarditis - keadaan yang dikaitkan dengan keradangan jantung - dikesan sejauh ini dengan tujuh daripadanya melibatkan lelaki bawah 30 tahun.
Kata Profesor Madya Mak: "Para doktor sudahpun dinasihatkan agar memantau dengan teliti pesakit yang berjumpa mereka dengan sakit dada, sesak nafas dan kadar denyutan jantung luar biasa serta menyiasat kemungkinan pesakit itu mengalami miokarditis selepas mendapatkan suntikan vaksin."
Buat masa ini, pihak berkuasa sedang memantau perkembangan tersebut, kata Profesor Madya Mak.
"Pihak hospital yang menjaga budak lelaki itu sedang melakukan yang terbaik untuk memberi jagaan yang terbaik dan ia juga kerap memberi kemas kini kepada keluarganya tentang apa yang sedang dilakukan," jamin beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.