Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Selain 'tamparan hebat' pada pasukan 4G; PAP juga kehilangan 'beberapa butir permata' susuli kekalahan di Sengkang, kata PM Lee

Sebagaimana berlaku pada Pilihan Raya Umum (GE) 2011, Parti Pekerja (WP) menumpaskan Parti Tindakan Rakyat (PAP) untuk memenangi sebuah Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) pada Jumaat (10 Jul), kali ini yang baru ditubuhkan. 

Anggaran Waktu Membaca:
Selain 'tamparan hebat' pada pasukan 4G; PAP juga kehilangan 'beberapa butir permata' susuli kekalahan di Sengkang, kata PM Lee

Pasukan PAP yang bertanding bagi GRC Sengkang. (Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)

Diterbitkan : 11 Jul 2020 03:07PM Dikemas Kini : 11 Jul 2020 03:10PM

SINGAPURA: Sebagaimana berlaku pada Pilihan Raya Umum (GE) 2011, Parti Pekerja (WP) menumpaskan Parti Tindakan Rakyat (PAP) untuk memenangi sebuah Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) pada Jumaat (10 Jul), kali ini yang baru ditubuhkan.

GRC Sengkang dengan empat kerusi akan diisi oleh sebuah pasukan yang lebih muda daripada WP di mana anggota tertuanya ialah Profesor Madya Jamus Lim, 44 tahun, manakala yang termuda ialah Raeesah Khan, 26 tahun. Bagi PAP, bagaimanapun, nampaknya ia kehilangan beberapa individu yang dianggap sebagai permata.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata di satu sidang media selepas keputusan muktamad dikeluarkan: "Pastinya, saya kecewa PAP kehilangan GRC Sengkang... (pasukan itu) memang sudah tahu ia adalah satu persaingan sengit. Mereka sudah memberikan yang terbaik tetapi rakyat Singapura sudah bersuara dan kami menghormati keputusan mereka.

“Ia adalah, bagaimanapun, satu kehilangan besar kepada pasukan saya dan bagi para pemimpin generasi keempat."

Pasukan WP yang juga terdiri daripada Cik He Ting Ru, 37 tahun, dan Encik Louis Chua, 33 tahun, memenangi GRC itu dengan memungut 52.13 peratus undi berbanding 47.87 peratus yang diperolehi PAP.

Ini bermakna empat calon PAP di GRC baru berkenaan tidak mendapat kerusi di Parlimen; mereka adalah Ketua Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) merangkap Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Encik Ng Chee Meng, 51 tahun; Menteri Negara Kanan Kesihatan merangkap Pengangkutan, Dr Lam Pin Min, 50 tahun; Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan merangkap Ehwal Dalam Negeri, Encik Amrin Amin, 42 tahun; dan calon baru Raymond Lye, 54 tahun.

Encik Lee sudahpun menghubungi pasukan PAP itu untuk "mengucapkan terima kasih kepada mereka dan menggalak mereka supaya terus berkhidmat kepada parti serta Singapura dalam cara berbeza".

"PAP akan berusaha untuk merampas GRC Sengkang. Kami juga akan terus berjuang untuk memenangi semula GRC Aljunied dan SMC Hougang," kata PM Lee.

PM Lee menyifatkan kekalahan itu sebagai satu "tamparan hebat bagi pasukan 4G" semasa waktu ini terutamanya kerana Encik Ng adalah Setiausaha Agung gerakan buruh meskipun beliau akan mengekalkan jawatan tersebut.

Bagi Dr Lam pula, beliau sudah "membuat sumbangan kepada pelbagai isu berbeza" sepanjang berkhidmat dengan Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kesihatan.

“Dan Amrin Amin adalah seorang setiausaha parlimen kanan Melayu muda yang mempunyai masa depan cerah. Beliau juga sudah banyak menyumbang di Kementerian Ehwal Dalam Negeri terutamanya bagi masyarakat Melayu dalam isu dadah serta isu-isu lain yang amat sulit," kata PM Lee.

Encik Lye, seorang peguam, bukan pemegang jawatan politik tetapi PM Lee berkata beliau sudah menjadi pemimpin akar umbi yang sudah lama berkhidmat di Punggol East. Beliau mengenali kawasan itu dengan "baik" dan "secara dekat" serta "dapat menyuntik kesegaran pada pasukan itu".

Minggu lalu, PM Lee memberi perhatian kepada usaha berkempen pasukan GRC Sengkang itu dengan membuat kemunculan sebagai tetamu undangan di satu sesi siaran langsung Facebook yang diadakan pada 4 Julai. Dalam sesi itu, beliau menggesa pengundi supaya memilih "hal yang nyata" dan bukannya "sesuatu yang seakan-akan PAP" (PAP-lite).

Istilah "PAP-lite" pertama kali digunakan Dr Vivian Balakrishnan, anggota jawatankuasa eksekutif pusat PAP, apabila beliau berbahas di televisyen bersama dengan Prof Madya Lim tentang manifesto WP.

Dr Balakrishnan berkata manifesto itu mengambil kedudukan serupa dengan PAP kecuali WP menggunakannya sebagai satu titik rujukan dan membuat sedikit pengubahsuaian.

PM Lee kemudian menggunakan istilah sama untuk menekankan bahawa parti-parti pembangkang tiada rancangan untuk menangani krisis COVID-19.

Pada Sabtu, selepas pengundi memberi isyarat mereka inginkan 'PAP-lite', Encik Lee berkata: "Ia satu kehilangan untuk tidak ada pasukan GRC Sengkang dalam pasukan Anggota Parlimen saya dan dalam kabinet saya. Tetapi kami akan melangkah ke hadapan dan meneruskan perjalanan kami dari sini sebagai mana yang kami lakukan setelah Aljunied jatuh ke tangan pembangkang pada 2011," ujarnya. 


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan