Skip to main content

Singapura

Sekurang-kurangnya S$480,000 hangus angkara kes tipu tiket konsert sejak Jan

Anggaran Waktu Membaca:
Sekurang-kurangnya S$480,000 hangus angkara kes tipu tiket konsert sejak Jan

Gambar: SPF

Diterbitkan : 06 Jul 2023 11:37PM
SINGAPURA: Para penipu kini menyasarkan pengunjung konsert untuk dijadikan mangsa.

Disebabkan itu, lebih 400 orang kehilangan sekurang-kurangnya S$480,000 sejak awal tahun ini.

Demikian menurut polis pada Khamis (6 Jul).

Dengan barisan artis terkemuka seperti Taylor Swift dan Coldplay yang bakal datang ke Singapura untuk mengadakan konsert mereka, terdapat kenaikan dalam jumlah kes penipuan yang melibatkan penjualan tiket konsert.

Sekurang-kurangnya 462 individu sudah menjadi mangsa kes penipuan sedemikian sejak Januari.

Menurut polis, mangsa akan ternampak iklan mengenai konsert tiket di platform media sosial dan e-dagang seperti Carousell, Xiaohongshu, Facebook, Telegram dan Twitter.
Related article image
Gambar: SPF
Mereka kemudian akan menghubungi penipu menerusi fungsi pemesejan dalam aplikasi platform tersebut atau dibawa ke aplikasi pemesejan seperti WhatsApp, Telegram atau WeChat untuk membeli tiket.

Apabila ditanya sama ada tiket tersebut adalah tulen, penipu akan memberi tangkapan skrin atau video yang menunjukkan tiket atau resit palsu.

"Untuk menggesa mangsa membuat pembayaran dengan cepat, penipu mendakwa bahawa penjualan tiket itu sensitif masa atau terhad dalam jumlahnya dan juga berjanji untuk menghantar emel atau memindahkan tiket ke akaun Ticketmaster mangsa selepas pembayaran berjaya," menurut polis. Ia menambah bahawa pembayaran biasanya dibuat melalui kredit maya, PayNow atau pindahan bank.

"Dalam sebilangan kes, penipu juga meminta bayaran tambahan dengan alasan seperti ia tidak menerima bayaran yang dibuat mangsa," tambah polis.

Sejurus menerima bayaran tersebut, penipu akan menangguhkan penghantaran tiket dengan mendakwa bahawa mereka tidak dapat memindahkan tiket kepada mangsa. Mereka kemudian tidak akan dapat dihubungi lagi.

Mangsa yang menerima tiket menerusi emel atau WhatsApp, hanya akan menyedari bahawa mereka ditipu pada hari berlangsungnya konsert tersebut apabila mereka mendapati bahawa tiket tersebut tidak sah atau apabila penipu enggan memberi tiket fizikal.

Polis mengingatkan orang ramai supaya bersikap bijak dalam menilai apabila berbelanja secara online, terutama sekali apabila membeli tiket konsert daripada penjual semula pihak ketiga online.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melungsuri laman ScamAlert atau menghubungi talian antipenipuan di 1800-722-6688.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita