Sekurang-kurangnya S$38 juta hilang dalam kes penipuan samaran pada 2019
Para mangsa hilang sekurang-kurangnya S$38 juta dalam kes-kes penipuan samaran antara Januari dengan November tahun lalu, sedang jumlah kes seumpama itu meningkat.
Gambar fail.
SINGAPURA: Para mangsa hilang sekurang-kurangnya S$38 juta dalam kes-kes penipuan samaran antara Januari dengan November tahun lalu, sedang jumlah kes seumpama itu meningkat.
Dalam jawapan bertulis di parlimen, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-undang K Shanmugam berkata jumlah kes penipuan yang dilaporkan dan jumlah wang yang hilang akibat penipuan meningkat sepanjang tiga tahun lalu.
Tiga jenis penipuan yang khususnya membimbangkan adalah: Pelaku menyamar sebagai pegawai dari China, penyamaran di media sosial dan penipuan sokongan teknikal, kata Encik Shanmugam.
Tambahnya lagi, antara Januari dengan November tahun lalu, terdapat 401 kes melibatkan penipu menyamar sebagai pegawai dari China. Ini berbanding 188 kes pada 2017.
Jumlah wang yang hilang juga meningkat kepada sekurang-kurangnya S$18.8 juta pada 2019, berbanding S$12.8 juta pada 2017.
Kes penipuan menerusi media sosial melonjak hampir 10 kali ganda iaitu dari 71 kes pada 2017 kepada 672 kes dari Januari hingga November 2019, sementara jumlah wang yang hilang turut meningkat dari S$168,000 pada 2017 kepada S$7.2 juta.
Penipu di media sosial menyamar sebagai rakan atau keluarga mangsa dengan menggunakan akaun palsu.
Jumlah penipuan sokongan teknikal juga melonjak dari 53 kes yang dilaporkan pada 2017 kepada 224 kes pada 11 bulan pertama tahun lalu.
Jumlah wang yang terlibat dalam kes seperti itu naik kepada S$12 juta tahun lalu berbanding S$36,000 pada 2017.
Encik Shanmugam mendedahkan hal tersebut selepas Pasukan Polis Singapura mengeluarkan maklumat tentang pelbagai jenis penipuan yang berlaku tahun lalu.
Beliau menambah, golongan lebih muda turut menjadi mangsa kes penipuan.
Menurutnya, para mangsa kes-kes penipuan penyamaran pegawai dari China sebelum ini dari pelbagai peringkat umur.
Namun, lebih separuh daripada mangsa pada 2019 berusia bawah 30 tahun.
Bagi penipuan di media sosial pula, 60 peratus mangsa pada 2019, berusia antara 20 dengan 40 tahun.
Kedua-dua warga emas dan golongan muda juga menjadi mangsa penipuan sokongan teknikal.
Bagi meningkatkan kesedaran orang ramai, polis sudah bekerjasama dengan pelbagai pertubuhan termasuk Majlis Pencegahan Jenayah dan jawatankuasa-jawatankuasa penduduk, kata Encik Shanmugam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.